Connect with us

Berita

Wangian Tular Sampai ‘Sold Out’! Inteam & Earth Home Products Kini Jalin Kerjasama Rasmi

Diterbitkan

pada

Siapa sangka, “aura” yang dirasai peminat ketika Konsert Kasih Kekasih Inteam (Ulang Tahun ke-25) pada 28 September 2025 bukan sekadar datang daripada alunan lagu-lagu penuh jiwa, tetapi turut dipacu oleh satu elemen istimewa yang menyelinap ke deria tanpa disedari iaitu wangian.

Fenomena tular yang tercetus secara tidak dirancang itu kini berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar apabila Earth Home Products Malaysia dan kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam, akhirnya memeterai satu kolaborasi rasmi baru-baru ini.

Impak Dari Konsert Inteam Kasih Kekasih, Produk ‘Sold Out’!

Segalanya bermula apabila wangian yang digunakan untuk menyegarkan ruang konsert sewaktu Inteam menyampaikan lagu Setanggi Syurga mencuri perhatian penonton, lantas mencetuskan perbualan hangat di media sosial. Ramai peminat berkongsi pengalaman mereka dan mula bertanya produk apa yang digunakan, sebelum ia dikenal pasti sebagai Oasis Air Fragrance Pink Blossom.

Impaknya luar biasa apabila permintaan terhadap produk Oasis Air Fragrance Pink Blossom meningkat secara mendadak dan produk tersebut dilaporkan habis terjual dalam tempoh singkat. Rata-rata pasar raya besar dan kedai dalam talian mengalami kehabisan stok setelah produk ini tular pasca Konsert Kasih Kekasih Inteam.

Pengalaman Pengguna – Bina Hubungan Antara Pengguna dan Produk

Melihat keserasian semula jadi antara pengalaman konsert, reaksi peminat dan identiti jenama, Earth Home Products Malaysia mengambil langkah untuk memeterai kolaborasi bersama Inteam, menjadikan momen tular itu sebagai asas kepada satu kerjasama strategik.

Menurut Pengarah Urusan Earth Home Products Malaysia, Mr. Okada Shotaro, kolaborasi ini membuktikan betapa kuatnya pengalaman pengguna sebenar dalam membina hubungan jenama yang lebih bermakna.

“Kolaborasi ini sangat istimewa buat kami kerana ia bermula daripada reaksi tulen peminat. Apabila kami melihat bagaimana wangian ini memberi kesan emosi kepada penonton, kami sedar ia bukan sekadar produk, tetapi satu pengalaman. Inteam membawa nilai, emosi dan spiritualiti yang selari dengan falsafah Earth Home,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak syarikat berasa terkejut apabila permintaan produk Oasis Air Fragrance Pink Blossom tiba-tiba meningkat secara mendadak dan laku keras sehinggakan stok produk ini habis dalam masa yang singkat. Walaupun pihak syarikat telah meningkatkan pengeluaran produk, tetapi permintaan terhadap produk ini masih tinggi dan berterusan.

Perkara Kecil Yang Dilakukan Dengan Ikhlas, Beri Kesan Mendalam Kepada Peminat

Bagi Inteam, kerjasama ini turut dirasakan lahir daripada satu kebetulan yang tidak disangka-sangka. Anggota Inteam, Hazamin, menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak dirancang namun penuh makna.

“Kami sendiri tidak menjangka wangian yang digunakan dalam konsert akan memberi kesan sebesar ini. Apa yang berlaku membuktikan bahawa perkara kecil yang dilakukan dengan ikhlas boleh meninggalkan kesan mendalam kepada peminat. Kolaborasi ini lahir daripada suara mereka,” ujarnya.

Wangian Memberi Rasa Tenang dan Melengkapkan Emosi Lagu Inteam

Sementara itu, Syah berkata pemilihan Oasis Air Fragrance Pink Blossom begitu bertepatan dengan suasana dan mesej yang dibawa Inteam melalui muzik mereka.

“Wangian ini memberi rasa tenang dan damai. Ia seolah-olah melengkapkan emosi lagu-lagu kami, khususnya Setanggi Syurga. Apabila peminat menggambarkannya sebagai ‘syurgawi’, kami rasa ia datang daripada rasa yang sama,” katanya.

Hubungan Organik Artis, Produk dan Peminat – Rahim Inteam

Bagi Rahim, kolaborasi ini membuka dimensi baharu hubungan antara artis, produk dan peminat yang jarang berlaku secara organik.

“Ini bukan sekadar kolaborasi komersial. Ia tentang pengalaman bersama, apa yang dirasai oleh peminat, itulah yang menjadi asas kerjasama ini. Kami sangat menghargai bagaimana peminat menjadi pencetus utama,” katanya.

Muzik dan Wangian Berkongsi Bahasa Yang Sama, Bahasa Deria

Manakala Hisyam menegaskan bahawa gabungan muzik dan wangian sebenarnya berkongsi bahasa yang sama: bahasa deria.

“Muzik adalah pengalaman deria, dan wangian juga begitu. Apabila kedua-duanya bertemu secara semula jadi, hasilnya sangat kuat. Kami teruja untuk membawa pengalaman ini ke konsert seterusnya,” jelasnya.

Wangian Eksklusif Konsert Inteam 1 Februari 2026

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Oasis Air Fragrance Pink Blossom (24ml) dipilih sebagai wangian eksklusif kolaborasi dan akan ditaja oleh Earth Home Products Malaysia untuk Konsert Inteam pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Konsert itu dijangka menghimpunkan lebih 9,500 penonton, dengan 80 peratus tiket telah terjual setakat ini.

Produk berkenaan turut boleh didapati menerusi kedai rasmi Earth Home dan Inteam di platform Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Kerjasama ini dimeterai secara rasmi menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian di Pejabat Earth Home Products Malaysia, Phileo Damansara, dan disifatkan sebagai simbol kolaborasi berasaskan komuniti peminat serta pengalaman pengguna sebenar.

Dan kali ini, jelas sekali: bila peminat “bersuara”, momen tular boleh bertukar menjadi sejarah, lengkap dengan satu “wangian” yang akan terus dikenang sampai bila-bila oleh peminat yang telah hadir ke Konsert Inteam Kasih Kekasih dan yang bakal hadir ke Konsert Inteam Nur Kasih 1 Februari 2026 nanti.

“Lagu-lagu Inteam buat saya rasa tenang..” – Mr Okada

Pada sesi soal jawab bersama media, Mr Okada Shotaro turut ditanya, adakah beliau mendengar lagu-lagu dari kumpulan Inteam? Sambil ketawa beliau menjawab, “Saya adalah orang Jepun yang tidak pernah mengenali kumpulan Inteam sebelum ini. Tetapi selepas produk ini tular dan berpunca dari konsert Inteam, saya mula mendengar lagu-lagu kumpulan Inteam. Walaupun tidak memahami, tetapi saya sukakan lagu-lagu dari kumpulan Inteam. Ia tenang dan buat saya berasa selesa. Adakalanya saya akan menyembur produk Oasis Air Fragrance Pink Blossom dan ia melengkapkan pengalaman mendengar lagu-lagu dari kumpulan Inteam ini,” jelas Mr Okada.

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita

“The Sami Yusuf Circle” – Ruang Eksklusif Untuk Peminat Ke Dunia Kreatif Sami Yusuf

Diterbitkan

pada

Komposer dan penyanyi terkenal, Sami Yusuf, baru-baru ini mengumumkan pelancaran The Sami Yusuf Circle – sebuah komuniti eksklusif untuk ahli (members-only) yang disifatkannya sebagai ruang kreatif eksklusif untuk mendekatkan peminat dengan muzik, idea serta perjalanan di sebalik karya-karyanya.

Menurut perkongsian Sami, Circle diwujudkan bagi membuka peluang kepada peminat untuk berhubung secara lebih dekat melalui sesi live Q&A, live listening session, akses awal pelancaran muzik baharu, dan momen behind-the-scenes dari konsert serta studio—seolah-olah “mengalami perjalanan dari dalam”.

Menariknya, platform ini turut disusun seperti beberapa “ruang” khas untuk ahli, antaranya:

  • The Video Room: rakaman eksklusif, footage belakang tabir dan insight proses kreatif.
  • The Listening Room: podcast eksklusif oleh Sami, perbualan bersama tetamu serta playlist kurasi.
  • The Reading Room: nota peribadi, refleksi, “thoughts of the day”, serta cadangan buku dan muzik setiap bulan.
  • Private Community Chat: ruang komuniti tertutup untuk ahli berinteraksi dan berkongsi pandangan.

Dalam masa sama, Sami juga menyatakan akan berkongsi esei, podcast, nota peribadi, serta compositional insights, termasuk segmen Members’ Spotlight yang mengangkat komuniti sebagai “watak utama”.

Bagi yang mahu mencuba, Circle menawarkan percubaan percuma 7 hari, dengan yuran langganan dinyatakan USD30/sebulan di laman pendaftaran.

Untuk info lanjut dan pendaftaran, rujuk laman rasmi: circle.samiyusuf.art

Continue Reading

Berita

Cinta Ini – Naufal Azrin Buat ‘Come Back’ Demi Peminat

Diterbitkan

pada

Selepas lebih dua tahun tidak muncul dengan karya solo, penyanyi berbakat besar Naufal Azrin akhirnya kembali menyapa peminat menerusi single terbaharu berjudul “Cinta Ini” — sebuah karya penuh emosi yang menandakan kemunculan semula beliau dalam landskap muzik tempatan.

Menariknya, “Cinta Ini” hadir dengan sisi yang lebih matang, sekali gus memperlihatkan perkembangan vokal serta interpretasi Naufal yang semakin kemas. Lagu ini mengangkat tema cinta yang jujur dan mendalam, seolah-olah menjadi “jambatan” buat Naufal untuk kembali mengikat hubungan dengan peminat yang sekian lama menanti kemunculan terbaharunya.

Lebih istimewa, lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer Juara Lagu AJL Ke-39, Wan Saleh, yang kian mencuri perhatian menerusi sentuhan muziknya yang segar serta dekat dengan citarasa pendengar masa kini. Gabungan emosi lagu dan karakter vokal Naufal menjadikan “Cinta Ini” sebuah karya yang dijangka mudah melekat di hati.

Dalam perkembangan sama, “Cinta Ini” turut mencatat satu lagi detik penting apabila menjadi single sulung Naufal Azrin di bawah naungan label Negrizen Music. Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Naufal di industri muzik, selain membuka ruang untuk memperluaskan jangkauan karya beliau ke tahap yang lebih tinggi.

Single “Cinta Ini” kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, dan diharap dapat diterima baik oleh pendengar serta menjadi penanda aras baharu buat perjalanan seni Naufal Azrin.

Continue Reading

Berita

Program Ilmu, Konsert dan Drama Menarik – Sambut Tahun Baru Versi TV AlHijrah!

Diterbitkan

pada

Artis-artis tersohor yang bakal menjayakan Konsert Gema Hijrah 2025

Jika anda ingat hujung tahun cuma tentang countdown dan bunga api, TV AlHijrah ada kejutan lain: penutup 2025 yang sarat jiwa dengan gabungan hiburan, zikir, ilmu dan karya eksklusif yang bukan sahaja memukau mata, tetapi menyentuh hati.

Menutup tirai siaran 2025 dengan pelbagai pencapaian membanggakan, stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam ini tampil dengan kandungan yang lebih matang, berani meneroka program baharu pelbagai format, selain terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam yang memikul amanah pendidikan dan pencerahan buat rakyat Malaysia, kali ini, dengan pendekatan yang lebih segar, relevan dan dekat di hati penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, stesen itu mencatat perkembangan positif sepanjang tahun 2025, sekali gus membuktikan kandungan Islamik berkualiti sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Penerimaan kukuh terhadap kandungan digital dan televisyen, serta kejayaan mempelbagaikan genre dan gaya penyiaran, menjadi antara faktor yang mengukuhkan capaian dakwah TV AlHijrah kepada penonton pelbagai lapisan.

Sebagai tanda penghargaan dan “buah tangan” buat penonton setia, TV AlHijrah mempersembahkan lima program berimpak besar khas untuk tontonan umum di penghujung 2025, daripada acara lapangan berskala mega di PICC, sehinggalah hiburan santai dan telefilem eksklusif di platform digital.

Konsert Malam Hijrah Bergema: gabungan nasyid, zikir & semangat hijrah di ambang 2026

Paling mencuri tumpuan, Konsert Malam Hijrah Bergema bakal berlangsung 31 Disember 2025 (Rabu), jam 9.00 malam di Putrajaya International Convention Centre (PICC)—sebagai konsert ambang tahun baharu yang menyatukan irama nasyid, zikir dan semangat hijrah.

Konsert ini menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, serta kumpulan Munsyid Muda melibatkan Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath dan Andika. Lebih istimewa, acara ini turut menampilkan nama legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash, menjadikan malam tersebut bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah “pertemuan generasi” yang menghidupkan seni dalam acuan dakwah.

“Konsert ini adalah usaha istimewa… sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Malaysia serta membuktikan dakwah boleh disampaikan dengan penuh seni, jiwa dan kemuliaan nilai,” katanya.

Tambahnya lagi, konsert tersebut disifatkan sebagai santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan harmoni ketika melangkah menuju tahun baharu.

Bagi mengemudi acara, gandingan dua hos berpengalaman Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad bakal menjadi taruhan untuk mengangkat mutu persembahan, manakala IKIMfm turut hadir sebagai Rakan Penyiar Radio. TV AlHijrah turut merakamkan penghargaan kepada IKIMfm serta Munsyid Malaysia atas kesudian berkolaborasi bagi memastikan konsert ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sehari sebelum konsert: Konvensyen Assalamualaikum & Bengkel Solat di PICC

Selain hiburan, TV AlHijrah turut menekankan pengisian ilmu melalui Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang dianjurkan di PICC sehari lebih awal, iaitu pada 30 Disember 2025 (Selasa), jam 10.00 pagi – 12.00 tengah hari.

Pada sebelah petang pula, dari jam 2.00 petang – 4.00 petang, akan diadakan Bengkel Solat bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Menurut Namanzee, konvensyen ini dianjurkan dalam skala besar dengan penyertaan lebih 800 peserta berdaftar, selain menampilkan tokoh tersohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

“TV AlHijrah hadiahkan Konsert Malam Hijrah Bergema dan Konvensyen Assalamualaikum buat penonton di lapangan, sebagai warkah penghargaan kepada setiap jiwa yang bersama kami menempuh perjalanan dakwah penuh harapan dan cahaya,” jelasnya.

Anugerah Carta 114 Musim Ketiga: siaran langsung 27 Disember

Bagi penonton yang tidak berkesempatan hadir ke PICC, TV AlHijrah turut menyediakan hidangan istimewa di kaca televisyen menerusi Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga.

“Anugerah Carta 114 Musim Ketiga” akan disiarkan secara langsung pada 27 Disember 2025 (Sabtu), jam 9.00 malam sebagai sebuah pengiktirafan yang meraikan karya muzik Islamik serta ketuhanan terbaik pilihan penonton sepanjang tahun. Menurut Namanzee, penganjuran ini bukan sahaja memartabatkan bakat para pemuzik nasyid, malah memperkukuh industri seni berteraskan dakwah.

“Tenang Sekejap” & 5 telefilem terbaik Disember eksklusif di AlHijrah Plus (AH+)

Dalam masa sama, TV AlHijrah turut meraikan penonton digital dengan membawa program dan telefilem khas eksklusif di aplikasi AlHijrah Plus (AH+).

Antaranya ialah program “Tenang Sekejap”, sebuah program gaya hidup Islamik yang mengetengahkan sisi peribadi asatizah dan pempengaruh Muslim melalui hobi mereka yang ringan, santai, tetapi tetap penuh makna. Untuk edisi ini, penonton akan ditemani barisan nama seperti Yousaf Iqbal, Fiekah Ishak, Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Adnin Roslan, Nadira Johari, Nabilah Aliah, Beto Khusyairi dan Ustazah Asni Mansor.

Selain itu, lima telefilem terbaik yang disiar eksklusif di AH+ ialah:
1. Surat Dari Syurga
2. Menantu Datuk Nikah Kahwin
3. Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan
4. 30 Juzuk Terakhir
5. Tanda Kiriman Tuhan

Penglibatan pelakon hebat seperti Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, PU Rozi, Nasuha Sulaiman, Syafie Naswip, Datuk Fauziah Nawi, Vanida Imran dan ramai lagi, menjadi bukti bahawa mesej dakwah boleh disampaikan melalui visual yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.

2026: AlHijrah mahu jadi “gerakan masyarakat”, bukan sekadar stesen TV

Melangkah ke 2026, Namanzee menegaskan TV AlHijrah bertekad untuk memperluas capaian, memperhebat kandungan digital, serta kembali aktif di lapangan.

“Tahun hadapan akan menjadi titik tolak untuk menjadikan AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah, dan menyantuni kehidupan melalui penyiaran yang benar-benar membawa perubahan,” katanya.

Antara perancangan utama termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi tumpuan awam, serta penganjuran Karnival Hijrah 2026 yang bakal membuka lembaran baharu hubungan fizikal antara TV AlHijrah dan masyarakat.

Dengan penuh syukur dan optimisme, TV AlHijrah menutup tirai 2025 dengan semangat baharu mengajak penonton untuk terus menyertai perjalanan dakwah, hiburan dan ilmu yang lebih luas pada tahun hadapan melalui pelbagai inisiatif stesen.

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2025 Munsyeed Edutainment