Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang kuat mampu mengalahkan segala keletihan fizikal. Persembahannya di Anugerah Carta IKIM 2025 bukan sahaja memukau hadirin, malah menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya selama 11 tahun.
Berkongsi pengalaman pahit yang dilaluinya, Aniq menjelaskan perjalanan kesakitan yang bermula sejak bulan Jun tahun lepas.
“Saya menjalani biopsi pada bulan Jun. Sejak itu hingga ke hari Anugerah Carta IKIM, saya tak sihat. Doktor nasihatkan jangan buat kerja berat, jangan stress. Tapi bila tahu ada peluang untuk persembahan ni, saya gagahkan diri jugak,” jelas Aniq.
Kurang Seminggu Persediaan, Baru Pulang Dari Turki
Mencabar lagi, Aniq mendapat tahu mengenai anugerah tersebut ketika dalam penerbangan pulang dari Turki. Persediaan yang singkat tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik.
“Dapat tahu pun waktu fly ke Turki. Back to back betul. Honestly rasa macam tak boleh nak adapt. Tapi saya fikir, ini peluang untuk tunjuk variasi lagu-lagu ketuhanan. Kalau tak buat sekarang, bila lagi?
“Waktu tu saya masih dalam fasa berehat. Dari bulan 6 sakit, bulan 7 teruk, bulan 8 baru start healing. Sepatutnya bulan 3 atau 4 tahun ni baru saya boleh active balik. Tapi persembahan ni bulan 1, saya gagahkan jugak khas untuk peminat,” tambahnya lagi.
Persembahan Paling Seronok Dalam 11 Tahun Berkarya
Mengetengahkan lagu “Jangan Risau” bersama iringan muzik live bimbingan Tam Cobain dan orkestra dari Fakulti Muzik UiTM, Aniq menyifatkan persembahan tersebut sebagai yang paling memuaskan sepanjang kariernya.
“Alhamdulillah, saya dapat bawa dengan baik. Sepanjang 11 tahun dalam industri, itulah persembahan paling best yang pernah saya buat. Sangat-sangat seronok.
“Saya nak tunjukkan ‘Jangan Risau’ ni best. Kalau tak bawa dengan cara tu, rugi sangat,” katanya.
Mesej Self-Love Untuk Mereka Yang Bergelut Dengan Kesihatan Mental
Bukan hiburan semata, persembahan Aniq membawa mesej yang amat sarat mesej self-love dan kesihatan mental.
“Saya rasa bersyukur dapat buka mata ramai orang tentang kesihatan mental.
“Saya harap ramai sedar yang It’s okay kalau awak rasa hidup awak mungkin sedikit lambat dari orang lain sebab manusia pace nya berbeza-beza.
“Jangan rasa diri tu teruk. Jangan overthinking. Awak mungkin rasa sekarang tak dapat apa yang nak, tapi Tuhan dah sediakan yang terbaik. Hajat tu akan datang pada waktu yang betul-betul awak perlukan.
Aniq turut menekankan pentingnya menjalani hidup dengan penuh kesyukuran.
“Jangan terlalu sedih, jangan overthinking sebab benda tu boleh makan diri kita. Just enjoy your life sebab hidup kita cuma sekali. Sayangilah mereka yang nak sayang kita, bersamalah dengan mereka yang nak bersama kita,” nasihatnya.
Peminat Penuh Seat, Aniq Dibanjiri Respon Positif
Sambutan hangat peminat pada malam tersebut menjadi suntikan semangat terbesar buat Aniq.
“Terima kasih pada semua yang datang. Penuh! Ramai yang bagi feedback positif, ramai yang PM saya lepas persembahan tu.
“Alhamdulillah, ramai yang membuka mata dan dapat mesej yang saya cuba sampaikan melalui persembahan ‘Jangan Risau’ tu. Sokongan Muhaiminians malam tu memang luar biasa!
Buat peminat yang terlepas peluang hadir, Aniq ada berita gembira.
“Doakan mana tau Aniq ada buat konsert sendiri nanti. Atau mungkin ada hadiah untuk semua. Nantikan. Very, very soon,” kata Aniq menjanjikan sesuatu yang menarik tidak lama lagi.
Kini Aniq Muhai dalam proses pemulihan dan bakal kembali aktif dengan projek-projek baharu dalam masa terdekat.
TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program baharu bagi Slot Perdana 9 Malam tahun 2026 yang bakal bersiaran bermula Januari ini.
Penjenamaan semula slot ini menampilkan pembaharuan format, pengisian yang lebih interaktif serta pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat, selari dengan perubahan landskap media dan keperluan penonton masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata Slot 9 Malam kekal sebagai nadi utama penyampaian dakwah stesen itu, justeru penambahbaikan dilakukan secara strategik agar kandungannya bukan sahaja relevan, malah mampu memberi kesan mendalam kepada penonton.
“Bagi TV AlHijrah, dakwah tidak boleh bersifat statik. Ia perlu hidup, bergerak dan berinteraksi dengan realiti masyarakat. Slot 9 malam 2026 dibina dengan roh tersebut dengan menampilkan ilmu yang sahih, dialog yang jujur dan pendekatan yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan baharu ini turut menekankan elemen interaksi dua hala agar penonton bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran dan perbincangan.
“Kami mahu penonton rasa mereka didengari, difahami dan dibimbing. Inilah teras dakwah TV AlHijrah, menyampaikan Islam dengan hikmah, empati dan kefahaman yang membumi,” jelasnya.
Antara program yang kembali dengan nafas baharu ialah Mai Mengaji, yang mula bersiaran pada 19 Januari 2026 setiap Isnin. Musim terbaharu ini tampil lebih istimewa dengan penglibatan Ustaz Husaini, di samping Ustazah Rozana dan Ustazah Aisyah Bain, sambil mengekalkan konsep pembelajaran Al-Quran secara santai yang diperkukuh dengan elemen interaksi lebih tersusun dan bermakna.
Penambahan segmen seperti Betulkan Bacaan Saya, tugasan mingguan serta penglibatan pelajar termasuk golongan mualaf menjadikan program ini lebih inklusif, praktikal dan berfokus kepada pembetulan serta pemantapan bacaan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Slot Selasa pula diisi dengan Dakwah Live yang mula bersiaran pada 6 Januari 2026, dikendalikan oleh Ustaz Izzhar Nazri. Program bual bicara secara langsung ini memberi tumpuan kepada isu kekeluargaan, kemasyarakatan dan semasa melalui perbincangan di studio yang bersifat terbuka dan berfakta. Kandungan program diperkaya dengan segmen Vlog Spot yang turun ke lapangan bagi mendekati realiti masyarakat, selain interaksi dua hala bersama penonton menerusi panggilan telefon dan platform media sosial, sekali gus menjadikan dakwah lebih responsif dan kontekstual.
Bagi slot Rabu, program Analisis kembali bersiaran pada 7 Januari 2026 dengan pengendalian Amin Idris dan Talib Husin. Program ini memberi fokus kepada perbincangan isu semasa, sosial dan keagamaan secara lebih mendalam, kritikal dan berstruktur. Dengan penglibatan pakar serta tokoh berwibawa dari pelbagai latar belakang, Analisis berperanan sebagai platform wacana intelektual yang membantu penonton memahami isu secara seimbang, rasional dan berpandukan nilai Islam.
Melengkapkan penawaran slot 9 malam ialah program baharu Dari Hati Wanita yang mula bersiaran pada 15 Januari 2026 setiap Khamis. Dikendalikan oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar, program ini menjadi ruang selamat dan berempati untuk wanita meluahkan serta membincangkan isu rumah tangga, kerjaya, emosi dan spiritual. Setiap perbincangan disulami panduan Islam yang praktikal dan menenangkan, selari dengan keperluan wanita moden yang berdepan cabaran pelbagai dimensi.
Mengulas lanjut, Namanzee Harris menegaskan bahawa gabungan ilmu, dialog dan realiti masyarakat yang dibawakan dalam slot 9 malam ini mencerminkan komitmen TV AlHijrah untuk terus menjadi platform dakwah yang progresif dan berimpak.
“Kami percaya dakwah yang berkesan ialah dakwah yang memahami konteks, mendidik dengan hikmah dan membimbing dengan kasih sayang. Slot 9 malam TV AlHijrah 2026 adalah manifestasi komitmen kami untuk terus relevan, segar dan berakar pada keperluan sebenar masyarakat,” katanya.
Dengan penawaran kandungan yang lebih tersusun, interaktif dan berfokus kepada isu semasa masyarakat, slot 9 malam TV AlHijrah 2026 dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan stesen ini sebagai rujukan utama dakwah dan wacana Islam di Malaysia.
Kumpulan nasyid generasi baru, One Path, dan penyanyi solo nasyid, Syed Salahuddin, telah mencatat kejayaan cemerlang di pentas Anugerah Carta IKIM 2025, membawa pulang empat anugerah berprestij. Kejayaan ini sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai antara peneraju generasi baharu dalam industri muzik nasyid kontemporari.
Kemenangan Berganda Lagu “Malar Hijau”
Lagu “Malar Hijau”, menjadi tumpuan utama dengan merangkul Anugerah Muzik Video Terbaik dan Anugerah Lagu Pilihan. Pencapaian ini mengesahkan kedudukan “Malar Hijau” sebagai sebuah naskhah seni yang unik dan diterima meluas oleh seluruh peminat nasyid. Bukan itu sahaja, mutu penerbitan video muzik yang disajikan turut menerima pujian meluas. “Malar Hijau” kini dilihat sebagai penanda aras baharu dalam industri muzik dan telah berjaya mencuri tumpuan ramai, menjadikannya antara lagu pilihan pendengar peminat nasyid pada tahun 2025.
“Alhamdulillah, bersyukur sangat. Kami tak sangka langsung dapat menang malam ni. Terkejut juga bila host sebut nama saya dengan One Path untuk naik pentas. ‘Ala kulli haal, semuanya datang dari Allah SWT. Sokongan padu peminat yang tak putus-putus menyokong hasil kerja kami memang kami hargai sangat-sangat,” kata Syed Salahuddin.
Selain kejayaan “Malar Hijau”, One Path turut diiktiraf atas konsistensi dan pengaruh mereka dalam industri apabila memenangi Anugerah Artis Berkumpulan Pilihan di majlis anugerah yang telah berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM. Anugerah ini diberikan hasil undian peminat dan pendengar setia IKIM, sebagai penghargaan kepada One Path dalam memeriahkan industri muzik Islam di Malaysia.
Menurut One Path, mereka melihat pencapaian ini sebagai sebuah kemenangan dan kejayaan bersama seluruh barisan munsyid muda.
“Bagi kami, sebagai generasi baharu dalam arena nasyid, dan juga rakan-rakan artis baharu yang lain, adalah satu cabaran besar untuk menembusi pasaran serta bersaing dengan nama-nama besar yang telah lama bertapak dalam industri ini.
“Justeru, kami amat bersyukur atas kewujudan stesen-stesen Islamik seperti IKIMfm, dan penganjuran program Anugerah Carta IKIM, yang sedikit sebanyak telah membuka ruang untuk generasi kami berdiri sebaris dengan ‘otai’ nasyid tanah air.
Selain One Path, kumpulan Fetya, yang turut disertai oleh Syed Salahuddin, berjaya merangkul trofi Anugerah Vokal Terbaik Anugerah Carta IKIM 2025. Kemenangan ini hadir melalui persembahan bertenaga lagu “Taufan Al-Aqsa,” yang turut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.
Kumpulan nasyid Neo Haraki, Fetya, sekali lagi membuktikan dominasi kesungguhan mereka dalam industri muzik apabila berjaya merangkul Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Carta IKIM 2025 yang berlangsung pada 3 Januari 2026. Kemenangan ini diraih menerusi lagu mereka, “Taufan Al-Aqsa”.
Kejayaan ini mengukuhkan pencapaian mereka sebelum ini yang telah memenangi Anugerah Persembahan Terbaik di Anugerah Carta 114 2025 terbitan TV AlHijrah, melalui lagu mereka, “Balaklava”. Kedua-dua lagu ini terus memperkasa genre Neo Haraki, yang kekal menjadi teras identiti kumpulan ini.
Persembahan Tanpa Bendera Palestin?
Selain persembahan mereka yang penuh bertenaga, Fetya pada malam anugerah tersebut turut menarik perhatian dengan penggunaan simbol visual tanpa paparan simbol yang sinonim dengan Palestin.
Menjawab spekulasi dan pertanyaan peminat mengenai simbol yang dipaparkan di skrin LED besar yang mengiringi persembahan mereka (simbol segi tiga terbalik merah), Fetya menjelaskan bahawa setiap apa yang mereka persembahkan membawakan makna tersendiri.
“Ia adalah simbol PERLAWANAN dan PERTEMBUNGAN para pejuang yang ingin kami bawakan bersama dalam persembahan kami pada malam itu,” jelas Fuad mewakili kumpulan Fetya.
Beliau turut menjelaskan mengapa bendera Palestin tidak dipaparkan secara langsung di skrin.
“Memang sengaja kami buat begitu. Kami nak bawa para penonton lebih jauh dan mendalam dari bendera Palestin itu sendiri. Kita tampilkan semangat dan ruh perjuangan supaya hadirin dapat menghayati TEMA PERJUANGAN DAN PERLAWANAN para pejuang di sana,” ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, simbol segi tiga terbalik berwarna merah yang digunakan secara berulang-ulang dalam persembahan tersebut adalah simbol yang sering digunakan oleh para pejuang di sana semasa perang Taufan Al-Aqsa, sebagai tanda meletakkan target kepada musuh.
“Vibe yang sama kami ingin bawakan ke dalam persembahan kami agar para penonton dipasak dengan minda yang mendalam bahawa ini adalah perjuangan dan pertembungan seluruh umat Islam dalam membebaskan Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama kita. Pertembungan ini perlu melibatkan seluruh paksi kekuatan umat Islam agar ia bebas merdeka,” kata Fuad lagi, menegaskan mesej mendalam yang ingin disampaikan melalui karya dan persembahan mereka.
Kumpulan Fetya yang dianggotai oleh Bilal, Fuad, Syed Salahuddin, Muawwidz, Naim dan Nuaim berharap agar kejayaan ini dapat terus menyuntik semangat perjuangan dan kesedaran dalam kalangan peminat dan masyarakat Islam secara amnya