Nasyid tidak pernah berhenti untuk berevolusi. Dari zaman seawal kumpulan Al-Jawaher, El-Suraya dan Orkes Sinar Murni, nasyid diberi suntikan baharu dengan kemunculan Raihan, Hijjaz dan Rabbani yang keluar dari ‘underground’. Seterusnya, Saujana, In-Team dan Mirwana dengan formula-formula pembaharuan yang membuahkan hasil. Sejak itu, pembaharuan demi pembaharuan dibawa oleh artis baharu. Terbaru, artis muda AEYDAN mula menghulurkan salam, bereksperimentasi dengan single terbaru berjudul Bintang!
AEYDAN mendapat namanya dari Bahasa Latin atau Greek iaitu Eden, bermaksud suatu tempat yang indah dan cantik. Dianggotai 6 orang anak muda yang berusia 20an, AEYDAN terdiri daripada anak-anak daripada anggota kumpulan Rabbani sendiri. malah, tidak hairanlah di awal kemunculan mereka, mereka tampil sebagai Rabbani Junior.
Seiring dengan penjenamaan semula AEYDAN, AEYDAN kini berusaha keras untuk berdikari dan tampil dengan jenama sendiri tanpa dibayangi Rabbani. Kemunculan single Bintang adalah bukti iltizam mereka.
Bintang merupakan sebuah karya hasil kerjasama kreatif komposer terkenal Daqmie dan Wan Salleh yang sinonim dengan genre nasyid moden dan irama World Music. Manakala lirik turut ditulis oleh Daqmie sendiri.
Bintang merupakan penceritaan tentang tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam dunia dakwah khususnya penasyid-penasyid generasi awal. Mereka adalah idola AEYDAN dan jasa mereka menyebarkan dakwah melalui seni suara akan dikenang dan disambung.
Video muzik Bintang telah diterbitkan oleh Kashfy Studio dan mendapat sentuhan Pengarah Suhairil Izham. Muzik video ini dirakamkan berlatar-belakangkan hangar kapal terbang di Politeknik Banting. Satu mesej besar yang dibawa pengarah dalam muzik video ini adalah : Dari Banting ke Bintang. Tanpa ilmu, usaha dan impian tinggi tak bisa dicapai.
Langkah AEYDAN yang terdiri daripada Ilham, Izwan, Farhan, Haikal, Fardeen dan Alif tidak lagi akan terhenti. Segala cabaran akan disahut, segala halangan akan ditempuhi demi sebuah keazaman untuk kekal di landasan dakwah ini sepertimana bintang-bintang (penasyid) yang bersinar.
Single Bintang ini adalah terbitan Scriptology Sdn Bhd dan Rabbani Empire Resources. Edaran digital oleh Euphoria Media. Lagu ini sudah berada di semua platform penstriman muzik digital.
Bonus: Lirik Lagu Bintang oleh AEYDAN
Sebutir bintang berkerlipan di angkasa, Seakan berbisik kepadaku, Menyatakan rindu yang membara dan bergelora.
Dan aku melirik senyuman bersahaja, Seakan mendengar dan senada, Terbang tinggi meleraikan rindu yang membara. Cahayamu berkilauan, Grafiti diri, Raikan cinta yang bersemi dan abadi.
Lihat itulah dia bintang, Permata berkilau di angkasa, Penuhi lah ruang ruang, Kagum dan takjub, memenuhi rasa.
Lihat bintang-bintang di langit, Bersinarlah dengan cahayamu, Biar bintang-bintang di hati, Hias malamku dengan rindumu.
Biar cubaan yang mendatang usahlah bimbang, Kan tetap teguh berdiri berjalan bersama, Seiring waktu jalan yang diyakini.
Penyanyi: AEYDAN Lagu: Daqmie & Wan Saleh (OP: Daqmie Music Factory) Lirik: Daqmie (OP: Daqmie Music Factory) Label: Scriptology Music (Scriptology Sdn Bhd)
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.