Akhirnya, Suhaimi Saad muncul dengan buah tangan terbaru khas untuk peminat. Album Zikir, Selawat & Doa ini merupakan album solo ketiga Suhaimi selepas muncul dengan album Kias Cinta dan Kalamak beberapa tahun lepas.
Dengan lontaran suara yang merdu, Suhaimi bijak memilih ‘mood’ untuk setiap track demi track yang disusun dalam album ini. The best song? Ya Badratim!
Bercerita mengenai album terbaru beliau, Suhaimi menjelaskan album solo ketiga beliau ini merupakan himpunan zikir dan selawat yang sering beliau lagukan untuk mendodoi anak-anaknya.
“Ini merupakan album solo ketiga saya. Ia adalah himpunan Doa, Zikir dan Selawat yang saya selalu lagukan untuk mendodoikan anak-anak saya. Akhirnya, saya kumpul dan albumkan. Kebetulan dapat tawaran daripada I-Art Media (untuk menghasilkan album), maka alhamdulillah, ini hasilnya.” cerita Suhaimi memulakan bicara.
Menurut Suhaimi, album ini dirakamkan di Rabbani Studio dan Pro DG Studio. Semua track di dalam album ini disertakan dengan iringan muzik kecuali ada 2 track tanpa iringan muzik iaitu Penghulu Istighfar dan Qunut Nazilah.
“Ya Badratim kita rakamkan semula dalam versi Balada yang lebih sentimental. Saya duet bersama Maliq Suhaimi, salah seorang artis I-Art Media juga. Alhamdulillah, setakat ini respon peminat dan pendengar sangat positif.” ujar Suhaimi.
Tiru Hafiz Hamidun?
“Ada juga orang kata (tiru). Saya pada mulanya ada bincangkan hal ini dengan Hafiz Hamidun. Hafiz juga mengakui, saya yang sepatutnya muncul dengan album zikir dahulu. Sewaktu saya bersama Hijjaz Records, saya pernah ditawarkan tampil dengan album Zikir. Tetapi pada waktu itu saya masih belum bersedia, jadi saya tolak tawaran tersebut.” jelas Suhaimi.
Tambah beliau lagi, beliau berasa terpanggil untuk menerbitkan album zikir supaya dapat membantu mendidik dan mengajak masyarakat untuk mengingati Allah.
Kata beliau, “Ramai orang terkeliru dan tidak tahu mengenai zikir-zikir tertentu. Jadi, saya rasa terpanggil untuk menghasilkan sesuatu supaya ianya dapat membantu ramai orang dan mendidik masyarakat.”
“Doa kalau kita nak hafal, panjang, susah. Jadi, dengar dengan melodi, maka mudah hafal.”
Album Solo Ketiga Suhaimi Saad – Zikir, Selawat & Doa
I-Art Media Jadi Pilihan
Seorang yang gemar berdikari, Suhaimi menegaskan yang beliau tidak suka terikat dan mahu bebas dalam berkarya.
“Tahun ini saya dapat banyak tawaran untuk rakamkan album baru termasuk dari Hijjaz Records sendiri. Tetapi saya lebih suka usaha sendiri. Kalau saya boleh (mampu) buat, saya mahu buat sendiri kerana nak kurangkan risiko.” jelas Suhaimi.
“I-Art Media sebuah syarikat baru berbanding syarikat lain. Selepas mengkaji beberapa tawaran, akhirnya saya pilih I-Art Media. Dengan syarikat lain, saya pernah ada pengalaman, kekurangan dan kelebihan semua saya sudah rasa dan dapat nilai. Jadi saya rasa, saya suka mencuba yang baru. Mereka (I-Art Media) pula memberi tawaran yang menarik. Kebetulan, saya tidak terikat. I-Arts Media tidak ikat saya. Ia lebih kepada kerjasama. Sebab itu saya diberi kepercayaan menjadi penerbit dalam album terbaru ini.”
Tambah Suhaimi lagi, “Dengan I-Art Media, saya berasa puas kerana semua benda saya boleh buat. Kita sudah belajar. Kita bukan lagi di zaman dahulu yang semua benda nak harapkan orang buat, PR buat. Sekarang saya suka buat semua benda sendiri. Jumpa wartawan, naik turun stesen radio. Sebab kita sudah belajar buat benda ini. Jadi, ada kepuasan disitu apabila kita berusaha untuk album sendiri.”
Inteam bersama album terbaru Suhaimi.
Suhaimi Dipergunakan Inteam?
Walaupun sudah bergerak solo, Suhaimi masih melibatkan diri dengan kumpulan lama beliau, Inteam. Terbaru, beliau dan Hisyam (Ex-Inteam) telah diundang untuk bersama dengan Inteam menerusi album Iman & Aman.
Penampilan Suhaimi dan Hisyam sedikit sebanyak menimbulkan persoalan dan kekeliruan dikalangan peminat apabila nama mereka sebagai bekas ahli Inteam tidak ditulis. Sebaliknya, hanya nama Inteam yang menghiasi kulit album Iman & Aman.
“Mungkin akan ada yang keliru dan mengatakan Suhaimi dan Hisyam sudah menyertai Inteam . Sebenarnya, kami diundang untuk buat penampilan khas (dalam album tersebut). Tetapi dengan kemunculan album ini, mungkin ia juga dapat membantu memberitahu peminat yang saya kini bergerak solo.”
Tegas Suhaimi lagi, “Saya tak rasa dipergunakan Inteam. Malah, saya sendiri banyak mendapat manfaat dari nama Inteam. Setakat ini, Inteam bayar saya apabila menggunakan khidmat saya. Kami berurusan secara professional. Jadi, saya tak rasa Inteam mempergunakan saya. Melainkan jika mereka tak bayar dan menggunakan khdimat saya, maka itu boleh dipersoalkan. Tetapi, Inteam bayar saya untuk khidmat yang saya berikan. Jadi, saya rasa ia satu situasi menang-menang (win win situation) diantara kami.”
“Sekurang-kurang, saya rasa, saya masih ada value dalam industri. Itu tanda orang percaya pada bakat saya. Malah, sejak saya menyanyikan lagu Kau Ditakdirkan Untukku bersama Inteam, saya dapat banyak tawaran duet bersama artis Indonesia.” kata Suhaimi lagi.
Suhaimi Inteam vs Suhaimi Saad
Mengulas mengenai nama komersil yang digunakan beliau, Suhaimi menjelaskan beliau tidak rimas dipanggil Suhaimi Inteam walaupun kini beliau tampil solo dengan nama komersil Suhaimi Saad.
“Saya suka berfikir terbuka, melihat pro dan kontra. Kalau dilihat, saya memang masuk dalam industri dengan nama Suhaimi Inteam. Saya hargai jasa-jasa semua orang termasuk abang-abang Hijjaz sendiri. Saya ingat asal usul saya (dalam industri). Ramai artis pop diluar sana yang sudah pun bergerak solo tetapi masih menggunakan nama kumpulan di belakang nama komersil.” ulas Suhaimi.
“Bagi saya, kalau inteam sendiri tidak ada masalah, mengapa saya perlu rasa terganggu? Sekurang-kurangnya ramai yang mengetahui (saya pernah bersama Inteam). Cuma ia memberi cabaran kepada saya untuk membina nama baru, sejauh mana usaha dan kesungguhan saya.”
“Saya banyak belajar dari Hafiz Hamidun. Dulu dia UNIC. Hasil kerja keras dan usaha dia, akhirnya orang mengenali dia sebagai Hafiz Hamidun dan bukan Hafiz UNIC.” ujar Suhaimi sambil tersenyum.
Tak Nak Sertai Inteam?
“Saya sebenarnya agak letih menjawab soalan ini kerana sudah lama soalan ini ditimbulkan. Hayat saya menyanyi sebagai solo telahpun lebih berbanding hayat saya bersama Inteam. Jadi saya rasa mungkin tak perlu soalan seperti ini ditimbulkan lagi.” tegas Suhaimi.
“Inteam sendiri mungkin lebih selesa bergerak seperti sekarang. Saya pula bergerak solo. Dari satu sudut, penampilan solo saya mungkin boleh memberi variasi kepada peminat. Lagipun, jika Inteam serius dan benar-benar mahu saya bergabung semula, mungkin sudah lama mereka berbuat demikian (untuk bergabung).”
Inteam dan Suhaimi Saad
“Walaupun kami tidak bergabung dalam Inteam, kami masih menjalankan kerjasama dan hubungan diantara kami sangat baik.” kata Suhaimi.
Harapan Suhaimi
Sebelum mengakhiri temubual, kami sempat meminta Suhami menyampaikan ucapan dan harapan beliau untuk album terbaru beliau, Zikir, Selawat & Doa.
“Sejujurnya album ini adalah sumbangan peribadi saya untuk allahyarham ibu dan ayah saya sebab saya tahu dari kebaikan dari album ini yang saya kongsikan bersama semua orang akan menjadi jariah buat saya apabila saya sudah tiada nanti. Jadi, kebaikan-kebaikan itu ingin saya sumbangkan kepada ibu ayah saya. Juga kepada anak-anak saya sendiri. Mungkin bila saya tiada, mereka boleh dengar dan membesar dengan zikir-zikir ini. Saya juga tahu saya kena kerja keras supaya ia dapat didengari oleh masyarakat dan masyarakat dapat sesuatu daripada album ini dan itu yang lebih penting bagi saya.” ucap Suhaimi sebelum mengakhiri perbualan.
Tahniah diucapkan kepada Suhaimi. Semoga album ini memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi amal jariah terbaik buat beliau di dunia dan akhirat.
– Munsyeed Dot Com