Aniq Muhai Puas Hati Dapat Sebarkan Mesej ‘Self Love’ Di Anugerah Carta IKIM 2025
Aniq Muhai dan Ustaz Adnin Roslan. Jangan Risau. Sumber: Tarbiah Sentap Records.
Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang kuat mampu mengalahkan segala keletihan fizikal. Persembahannya di Anugerah Carta IKIM 2025 bukan sahaja memukau hadirin, malah menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya selama 11 tahun.
Berkongsi pengalaman pahit yang dilaluinya, Aniq menjelaskan perjalanan kesakitan yang bermula sejak bulan Jun tahun lepas.
“Saya menjalani biopsi pada bulan Jun. Sejak itu hingga ke hari Anugerah Carta IKIM, saya tak sihat. Doktor nasihatkan jangan buat kerja berat, jangan stress. Tapi bila tahu ada peluang untuk persembahan ni, saya gagahkan diri jugak,” jelas Aniq.
Kurang Seminggu Persediaan, Baru Pulang Dari Turki
Mencabar lagi, Aniq mendapat tahu mengenai anugerah tersebut ketika dalam penerbangan pulang dari Turki. Persediaan yang singkat tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik.
“Dapat tahu pun waktu fly ke Turki. Back to back betul. Honestly rasa macam tak boleh nak adapt. Tapi saya fikir, ini peluang untuk tunjuk variasi lagu-lagu ketuhanan. Kalau tak buat sekarang, bila lagi?
“Waktu tu saya masih dalam fasa berehat. Dari bulan 6 sakit, bulan 7 teruk, bulan 8 baru start healing. Sepatutnya bulan 3 atau 4 tahun ni baru saya boleh active balik. Tapi persembahan ni bulan 1, saya gagahkan jugak khas untuk peminat,” tambahnya lagi.
Persembahan Paling Seronok Dalam 11 Tahun Berkarya
Mengetengahkan lagu “Jangan Risau” bersama iringan muzik live bimbingan Tam Cobain dan orkestra dari Fakulti Muzik UiTM, Aniq menyifatkan persembahan tersebut sebagai yang paling memuaskan sepanjang kariernya.
“Alhamdulillah, saya dapat bawa dengan baik. Sepanjang 11 tahun dalam industri, itulah persembahan paling best yang pernah saya buat. Sangat-sangat seronok.
“Saya nak tunjukkan ‘Jangan Risau’ ni best. Kalau tak bawa dengan cara tu, rugi sangat,” katanya.
Mesej Self-Love Untuk Mereka Yang Bergelut Dengan Kesihatan Mental
Bukan hiburan semata, persembahan Aniq membawa mesej yang amat sarat mesej self-love dan kesihatan mental.
“Saya rasa bersyukur dapat buka mata ramai orang tentang kesihatan mental.
“Saya harap ramai sedar yang It’s okay kalau awak rasa hidup awak mungkin sedikit lambat dari orang lain sebab manusia pace nya berbeza-beza.
“Jangan rasa diri tu teruk. Jangan overthinking. Awak mungkin rasa sekarang tak dapat apa yang nak, tapi Tuhan dah sediakan yang terbaik. Hajat tu akan datang pada waktu yang betul-betul awak perlukan.
Aniq turut menekankan pentingnya menjalani hidup dengan penuh kesyukuran.
“Jangan terlalu sedih, jangan overthinking sebab benda tu boleh makan diri kita. Just enjoy your life sebab hidup kita cuma sekali. Sayangilah mereka yang nak sayang kita, bersamalah dengan mereka yang nak bersama kita,” nasihatnya.
Peminat Penuh Seat, Aniq Dibanjiri Respon Positif
Sambutan hangat peminat pada malam tersebut menjadi suntikan semangat terbesar buat Aniq.
“Terima kasih pada semua yang datang. Penuh! Ramai yang bagi feedback positif, ramai yang PM saya lepas persembahan tu.
“Alhamdulillah, ramai yang membuka mata dan dapat mesej yang saya cuba sampaikan melalui persembahan ‘Jangan Risau’ tu. Sokongan Muhaiminians malam tu memang luar biasa!
Buat peminat yang terlepas peluang hadir, Aniq ada berita gembira.
“Doakan mana tau Aniq ada buat konsert sendiri nanti. Atau mungkin ada hadiah untuk semua. Nantikan. Very, very soon,” kata Aniq menjanjikan sesuatu yang menarik tidak lama lagi.
Kini Aniq Muhai dalam proses pemulihan dan bakal kembali aktif dengan projek-projek baharu dalam masa terdekat.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.