Assalamualaikum.
Epal Pedas kembali lagi! Awal kalam, tahniah diucapkan kepada TVAlhijrah atas penganjuran Anugerah Carta 114 yang berlangsung pada Sabtu lepas. Program seumpama ini bagus untuk merancakkan lagi industri nasyid dan menggalakkan penghasilan karya-karya bermutu dalam nasyid.
Dalam sesebuah pertandingan lagu, penilaian utama yang dibuat mestilah pada penciptaan sesebuah lagu. Ia merangkumi susunan muzik, lirik dan penyampaian lagu tersebut. Tema atau mesej, dalam apa jua keadaan, tidak wajar menjadi salah satu penilaian juri dalam menilai sesebuah lagu.
Memilih sebarang tema, kemanusiaan contohnya agak kurang bijak untuk satu-satu pertandingan yang mahu menjulang nama komposer yang menghasilkan karya terbaik. ‘Tema’ berkenaan datang di akhir-akhir pertandingan sedangkan program tersebut dijalankan di awal tahun lagi.
Jika pihak produksi atau juri mahu mengikut konsep AJL seperti yang dicanang, maka mungkin produksi boleh letak beberapa kategori mengikut tema-tema tertentu seperti traditional, moden, semasa, kemanusiaan, kasih sayang dan sebagainya.
Jika hanya diberi satu tema saja beruntunglah mereka yang membawa tema itu walaupun ada karya yang lebih baik dan layak diangkat sebagai juara. Cara begini seolah-olah membataskan pengkarya untuk menghasilkan karya-karya yang berbeza (out of box) dan terbaik.
Akhirnya keputusan bukan dari para juri professional yang dilantik tetapi ditangan pihak produksi sendiri.
Sementelah, akan ada pulak pihak lain yang mengambil kesempatan untuk mempromosi aktiviti masing-masing.
Jawapan ketua juri pun agak kurang tepat di situ. Nampak seperti terpaksa kerana ketetapan diberikan oleh pihak penganjur di saat akhir dan mahu menjaga hati. Jika tidak menurut maka susahlah untuk mendapat ‘job’juri akan datang.
Jika keputusan lirik terbaik tidak diumumkan lebih awal keputusan juga akan berubah. Fedtri Yahya akan memenangi kategori lirik terbaik, Fitri Haris untuk vocal terbaik. – Epal Pedas
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com