“Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”
Majlis Anugerah Nasyid IKIMFM 2014 sudahpun berlalu. Namun, di sebalik selesainya penganjuran anugerah itu, ianya menimbulkan banyak buah mulut dari ramai pihak khususnya peminat nasyid.
Paling menjadi buah mulut adalah isu ketiadaan kumpulan Hijjaz di dalam majlis yang besar seperti itu. Adalah menjadi satu perkara pelik apabila kumpulan Hijjaz yang merupakan antara kumpulan nasyid yang senior di Malaysia tidak hadir ke majlis demikian.
Setakat Hijjaz tidak hadir, tidak mengapa lagi. Perkara ini semakin menjadi tanda tanya apabila semasa slot persembahan penutup yang membawa tema mengenang nasyid otai, artis undangan hanya menyanyikan lagu-lagu Raihan dan Rabbani sahaja sedangkan Hijjaz adalah sezaman dengan 2 kumpulan itu.
Raihan, Hijjaz dan Rabbani. Tiga lagenda yang banyak menyumbang di dalam industri nasyid tanahair dan antarabangsa.
Perkara ini mesti ada sebabnya.
Mungkin ada salah faham atau sesuatu yang perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku. Namun, suasana seperti ini sememangnya satu suasana yang tidak sihat kepada industri nasyid tanahair. Dalam usaha IKIM.Fm mahu menaikkan martabat nasyid dengan penganjuran anugerah ini, tetapi ada pula cerita kurang enak yang kedengaran di telinga penggiat dan peminat nasyid tanahair.
Banyak khabar-khabar angin yang didengar namun saya enggan mempercayainya bulat-bulat. Saya berpendapat, mungkin Munsyeed Dot Com harus bertanyakan hal ini kepada kedua-dua belah pihak supaya ia tidak berterusan menjadi fitnah. Sekurang-kurangnya ia menutup lubang-lubang fitnah dan memuaskan hati para peminat yabg tertanya-tanya.
Buanglah yang keruh. Ambillah yang jernih.