Penulis lirik terkenal, Atie Zam.
Oleh : Atie Zam.
Pagi tadi, di radio, ada seorang pendengar memberikan soalan ini- “Kenapa artis tetap minta bayaran walaupun itu majlis amal?”
Teringat pula masa zaman saya masih handle show artis. Daripada 10 show yang dianjurkan, 8 daripadanya ialah ‘majlis amal’. Bagi penganjur, bila mereka sebut perkataan ‘amal’, bermakna mereka mengharapkan diskaun yang sangat tinggi ATAU diskaun 100% ! Memang sedih kalau dapat penganjur macam ini. Yang lebih menyedihkan, pihak lain yang terlibat dalam show itu pun minta bayaran juga. Tapi hanya artis NASYID saja yang diminta membuat persembahan PERCUMA. Jawapan biasa yang saya selalu terima ialah :
1. “Harga artis sekian-sekian (artis komersial lain) sudah tinggi, diskaun pun sedikit sahaja (sedangkan artis itu solo saja dan artis nasyid yang mahu dijemput pula berkumpulan). Jadi, bajet kami untuk artis sudah melebihi dari yang sepatutnya. Sebab itu saya mahu minta diskaun lebih sedikit. Kalau free lagi baik la… Tak kan artis nasyid pun nak bayar tinggi kot.”
2. “Kami tidak dapat diskaun untuk sound system. Ye la.. kami pun faham juga. Diorang nak bawa barang lagi, sewa lori lagi, setup lagi, krew-krew lagi. Artis cuma datang nyanyi je kan…”
3. “Tak kan artis nasyid pun nak minta bayaran tinggi kot… RM4k mahal tu… Tak boleh kurang lagi?”
Ohoiii…. Mahu sahaja saya jawab dengan ‘lebih telus’ dengan cara yang selalu artis komersial biasa atau PR mereka jawabkan. Tetapi sabar… (sambil urut dada). Saya bukan artis. Tetapi sedikit sebanyak saya tahu kos mereka (dan kos itu tidak melibatkan jurumekap, harga baju bling-bling, dan sebagainya). Dan untuk makluman, harga show artis NASYID jauh lebih rendah berbanding harga show artis komersial selain NASYID. Dan bandingkanlah bayaran untuk artis komersial SOLO dengan artis NASYID berkumpulan. Malah artis nasyid biasanya kenakan bayaran untuk sepanjang persembahan sedangkan artis komersial biasa selalunya kenakan bayaran untuk jumlah lagu yang dibawa.
Jadi, janganlah selalu sangat guna perkataan ‘amal’ semata-mata mahukan show percuma atau diskaun yang tidak masuk akal…
“Bila dah biasa uruskan tempahan show, kita sudah boleh agak, mana satu show yang betul-betul amal dan show yang menggunakan perkataan ‘amal’.”
– Atie Zam
—————————————————————
Zuryati Isa yang popular dengan nama pena Atie Zam merupakan seorang penulis lirik tersohor dalam industri nasyid Malaysia. Hasil karya beliau telah banyak menaikkan nama-nama artis nasyid Malaysia seperti Hijjaz, Inteam, UNIC dan Mestica. Kini beliau berkhidmat di Hijjaz Records Publishing Sdn Bhd.
– Munsyeed{Dot}Com