“Bestnya, vibes nak masuk Ramadan” – Peminat Suka Lagu Terbaru Aeydan, Purnama
Purnama - Aeydan
Kumpulan nasyid AEYDAN kembali dengan sebuah karya istimewa berjudul Purnama. Lagu yang penuh makna ini menampilkan sentuhan magis dari komposer dan penyanyi terkenal Hafiz Hamidun dan lirik dari penulis prolifik, ITO Lara.
AEYDAN yang terdiri daripada lima anak muda berbakat – Ilham, Izwan, Farhan, Haikal, dan Fardeen, mengakui agak teruja dengan kehadiran lagu baharu ini. Berbeza daripada lagu mereka sebelum ini, Purnama menyampaikan mesej yang jelas, mengangkat tema cinta sejati terhadap Baginda Rasulullah SAW.
Lirik yang mendalam dan menyentuh jiwa digabungkan dengan melodi penuh syahdu, menjadikan Purnama sebuah karya indah yang mampu meresap ke dalam hati setiap pendengar. Lagu ini bukan sahaja menggambarkan keindahan akhlak Nabi Muhammad SAW, tetapi juga memberikan inspirasi sejati kepada umat Islam, khususnya generasi muda.
Dengan pendekatan yang segar, AEYDAN menggabungkan elemen moden dalam muzik nasyid tanpa mengabaikan mesej kerohanian yang mendalam. Mereka berusaha membawa nafas baru dalam dunia nasyid, dengan tujuan untuk menyebarkan dakwah melalui seni muzik kepada generasi masa kini.
Rata-rata peminat meninggalkan komen yang positif di ruangan komen video muzik Purnama di Youtube.
Best nya …vibe2 nak masuk bulan ramadhan😊 – @mohdrizwan9625
Subhanallah! Sedapnya. Sentuhan HH memang dikenali daripada elemen lagunya. Semoga lagu berkualiti ini tersebar luas bagai purnama yang indah ❤ – @UmiLawa2112
AEYDAN berharap lagu Purnama ini akan menjadi asbab kepada mereka, serta para pendengar dan peminat, untuk terus mencintai dan merindui junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dengan harapan memperoleh syafaat daripada baginda.
Pelancaran lagu ini turut menandakan komitmen Rabbani Empire Resources untuk terus memajukan industri nasyid ke tahap yang lebih tinggi.
Dengan Purnama, AEYDAN sekali lagi membuktikan bahawa muzik nasyid mampu beradaptasi dengan zaman sambil mengekalkan nilai-nilai murni yang tersemat dalam setiap karya mereka.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.