Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Dengan berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa CEO TV Alhijrah, Dato Haji Bukhari Che Muda telah meninggal dunia awal pagi tadi kira-kira jam 6.08 pagi. Berita pemergian allahyarham ini disampaikan kepada kami oleh Fadzli UNIC menerusi aplikasi Whatsapp.
CEO TV Alhijrah, Allahyarham Dato Haji Bukhari Che Muda sebelum ini menderita penyakit Kanser Tulang tahap 4. Walaupun berdepan dengan penyakit yang kritikal, allahyarham masih kuat dan cekal melawan penyakit tersebut dan menjalani tugas-tugas dan rutin harian seperti biasa.
Allahyarham terkenal dengan sikap ramahnya terhadap staff, rakan kerja dan orang disekelilingnya. Sebelum menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di TV Alhijrah, allahyarham pernah berkhidmat di Media Prima Berhad. Allahyarham pernah mengendalikan slot Falimi & Islamik di TV3. Allahyarham merupakan tunggak disebalik rancangan Kisah-Kisah Anbiya di TV3.
Kemudian Allahyarham diamanahkan untuk menjadi Ketua Pegawai Operasi di TV9. Dibawah pengurusan beliau, TV9 berjaya mencatatkan peningkatan jumlah penonton yang tinggi menerusi pengenalan program-program Islamik dan kekeluargaan. Pihak kami difahamkan, allahyarham juga merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan program realiti tv Islami Akademi Nasyid di TV9 pada tahun 2008.
Kejayaan Dato Haji Bukhari Che Muda mengendali dan menguruskan TV9 telah menarik perhatian Dato Mashitah Ibrahim yang kemudiannya mencadangkan nama allahyarham untuk memimpin Stesen TV Islami No 1 di Malaysia, TV Alhijrah.
TV Alhijrah melakarkan satu demi satu kejayaan dibawah pengurusan Dato Haji Bukhari Che Muda. Sepanjang 3 tahun penubuhannya, TV Alhijrah berjaya mencatatkan jumlah penonton yang tinggi dan memberi impak positif kepada masyarakat menerusi program-program tv yang berbentuk Islami dan positif.
Jenazah Allahyarham Dato Haji Bukhari Che Muda akan dibawa ke rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam untuk dimandikan dan dikafankan. Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam untuk disembahyangkan. Difahamkan, jenazah akan dikebumikan selepas Solat Zohor.
Munsyeed Dot Com merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Dato Haji Buhari Che Muda dan seluruh warga kerja TV Alhijrah diatas pemergian allahyarham Dato Bukhari Che Muda. Kami mendoakan semoga ALLAH SWT mengampunkan segala dosa-dosa allahyarham dan menempatkan allahyarham dikalangan hamba-hambaNYA yang beriman dan bertaqwa.
– Munsyeed Dot Com.