Darwish Nafi Tumpang Populariti Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana Dalam Linangan Laduni
Linangan Laduni - Darwish
Selepas kejayaan lagu Safiyyah nyanyian Darwish feat Far East, kumpulan nasyid Darwish kini muncul dengan lagu baharu berjudul Linangan Laduni.
Mempertaruhkan lagu ciptaan komposer terkenal Harry Khalifah, dan lirik oleh Yabang Khalifah, lagu Linangan Laduni nyanyian Darwish telah mula berada di pasaran sejak 7 April lalu.
Bercakap mengenai lagu Linangan Laduni, Darwish yang terdiri daripada 2 orang anak muda, Faiz dan Amin berkata, “Lagu Linangan Laduni ini mengisahkan tentang amanah yang perlu dipikul oleh seorang suami terhadap isterinya sejurus selepas melafazkan akad nikah. Bagi sesetengah pihak, kalimah “Aku terima nikahnya…” ini mungkin nampak mudah untuk dilafazkan tetapi ia membawa maksud yang amat besar dan bermakna buat pasangan suami isteri, khususnya pada suami yang akan memimpin sebuah rumah tangga dan keluarga.”
Video Muzik Tampil Nama Besar Dalam Industri Seni
Video muzik Linangan Laduni mendapat perhatian ramai lantaran nama-nama besar dalam industri seni yang terlibat dalam pembikinan video muzik ini. Ternyata, kumpulan Darwish dan syarikat rakaman MVM Production begitu serius dan berikan sehabis baik bagi menjayakan video muzik ini.
“Video Muzik Linangan Laduni ini menampilkan nama-nama besar dalam industri seperti pasangan suami isteri Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana, pelakon hebat Fauziah Nawi dan penyanyi popular, Hazamin dari kumpulan Inteam.”
Pun begitu, ketika menjawab dakwaan liar yang mengatakan Darwish menumpang populariti Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana menerusi video muzik ini, Darwish tidak cepat melatah. Menurut Faiz Darwish, mereka lebih selesa melibatkan ramai pihak dalam kerja-kerja dakwah mereka dan memposisikan seseorang itu berdasarkan kepakaran dan kemahiran mereka.
“Darwish akui penglibatan artis-artis popular dalam video muzik adalah untuk menarik minat (lebih ramai) pendengar/penonton untuk lebih tertarik dengan video muzik (khususnya) kerana kami sedar sekiranya kami sendiri yang melakonkan watak dalam video muzik tersebut, pasti tarikannya kurang apatah lagi kami tidak pernah ada ‘basic’ dalam bidang lakonan.”
“Ia lebih sesuai sekiranya mereka yang sudah berpengalaman dalam industri filem/drama tampil dalam video muzik tersebut, bukan sahaja untuk menarik minat penonton tetapi juga supaya tidak ada sebarang cacat cela dalam lakonan tersebut kerana segala ‘feel’ itu pasti mereka dapat menjiwainya memandangkan pengalaman mereka dalam bidang lakonan sangat luas. Apa yang lebih memudahkan kami adalah apabila kami beri saja situasi lakonan, mereka dapat tangkap dan terus dapat lakonkan dengan baik,” ujar Faiz lagi.
Konflik Rumah Tangga Boleh Diatasi Apabila Suami Isteri Sedar Kekhilafan Diri
“Menerusi video muzik Linangan Laduni ini, kami cuba untuk memaparkan tentang kisah kehidupan yang sering berlaku di kalangan suami isteri. Selalunya sewaktu di awal perkahwinan, bibit-bibit kebahagian akan mula dirasa oleh pasangan suami isteri. Akan tetapi, apabila usia perkahwinan semakin meningkat, maka akan mula timbul konflik dan salah faham antara mereka.”
“Dalam video muzik ini, dipaparkan konflik yang berlaku di antara suami isteri akibat salah faham dan faktor kurang komunikasi. Namun, akhirnya konflik itu berjaya diatasi apabila si suami mula sedar akan kesilapan diri dan berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan isteri. Di sini kami ingin menunjukkan bahawa, dalam rumahtangga itu pasti akan wujud konflik dan salah faham di antara pasangan suami isteri, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah beranak-pinak, bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri, tetapi tidak ada perkara atau masalah yang tidak dapat diselesaikan.”
Tambah Darwish lagi, “Sekiranya berlaku pertelingkahan atau konflik, kita perlulah sedaya upaya berusaha untuk menjadi air bagi menenangkan pasangan kita yang sedang merajuk atau marah kerana apabila air bertemu api, sudah tentu api akan padam. Tetapi sekiranya api bertemu api, sudah tentu api akan marak dengan lebih kuat lagi yang akhirnya akan menyebabkan berlaku perkara yang tidak kita inginkan dalam rumah tangga.”
Disamping itu, Darwish turut berharap agar lagu dan mesej yang ingin disampaikan mendapat tempat di hati para pendengar.
“Saya berharap lagu ini akan dapat diterima dengan baik oleh semua pendengar dan supaya kita semua dapat bersama-sama ambil manfaat dan mesej-mesej daripada lagu ini.” ujar mereka.
Lagu Linangan Laduni sudah boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital yang sah. Video muzik Linangan Laduni juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube MVM Music. – Munsyeed.com
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.