“Deep betul lagu raya terbaru Daqmie dan Mestica ni…”
Yang Mulia - Daqmie x Mestica. Sumber: Daqmie
Selain Munif Hjjaz, seorang lagi figura yang aktif menghasilkan karya secara konsisten, tidak lain tidak bukan, penyanyi dan komposer terkenal; Daqmie.
Kali ini, Daqmie bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Datuk Keramat menghasilkan sebuah lagu raya terbaru berjudul Yang Mulia. Lagu ini disampaikan oleh Daqmie dan Mestica.
Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat; Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz yang juga merupakan penulis lirik, berkata lagu tersebut mengisahkan hubungan masyarakat dengan golongan mualaf di negara ini.
“Lagu tersebut dinyanyikan oleh Daqmie dan juga Kumpulan Mestica yang mengisahkan hubungan antara masyarakat dengan golongan mualaf.
“Ia sebagai salah satu usaha dakwah kami agar masyarakat turut sama terlibat dengan usaha yang kami gerakkan ini sekaligus membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika sidang akhbar yang diadakan di sini.
Menurutnya idea penghasilan single ini tercetus hasil perbincangan dengan Daqmie yang juga merupakan komposer bagi lagu tersebut.
“Selaku Duta Mualaf PERKIM Datuk Keramat, Daqmie pernah melontarkan idea agar usaha dakwah PERKIM tidak terlalu terikat dengan kaedah lama namun harus dipelbagai agar sesuai dengan zaman.
“Bermula dari situ maka terlahirlah lagu ini yang turut diterapkan dengan melodi kontemporari bagi menarik minat masyarakat khususnya generasi muda.
“Kami mengharapkan dengan kepakaran dan populariti Daqmie dan kumpulan Mestica dapat menarik minat lebih ramai anak muda dengan kerja dakwah yang aktif di platform digital dan media sosial,” ujarnya pula.
Terdahulu PERKIM Datuk Keramat meraikan golongan mualaf dengan mengadakan Majlis Berbuka Puasa sekaligus melancarkan single raya tersebut.
Sementara itu Daqmie ketika mengulas berkata cabaran utama ketika penghasilan lagu ini ialah kekangan masa sambil berharap single raya ini dapat diterima masyarakat.
“Antara cabaran ketika menghasilkan lagu ini ialah masa yang diberi agak suntuk. Ketika Ustaz (Suhaimi) maklumkan PERKIM mahu terbit lagu raya pada mulanya saya agak terkejut.
“Namun setelah berbincang dengan rakan-rakan kami akhirnya bersetuju menerima cabaran ini, alhamdulliah kerjasama yang diberikan semua pihak akhirnya single ini berjaya direalisasikan.
“Semoga lagu ini dapat diterima semua pihak sekaligus memeriahkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini,” katanya pula.
Pemilihan kumpulan Mestica sebagai rakan duet dalam lagu ini dilihat mampu mengubat rindu dikalangan peminat Mestica yang sentiasa menantikan karya baharu dari kumpulan nasyid popular tersebut.
Lagu Yang Mulia telah berada di pasaran dan boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital yang sah. Manakala video muzik Yang Mulia boleh ditonton di saluran Youtube Daqmie Channel.
Untuk rekod PERKIM merupakan organisasi yang aktif dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan untuk menyebarluaskan syiar Islam kepada golongan Islam dan belum Islam di negara ini.
Sumber: Daqmie
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.