Connect with us

Terkini

DENGAR – TV Alhijrah Ajak Penonton Selami Kesusahan Rakyat

Diterbitkan

pada

Terlalu ramai yang hendak bercakap dan bersuara. Tetapi, terlalu sedikit yang sedia untuk mendengar. Melihatkan kekosongan yang ada, atas dasar tanggungjawab dan prihatin, stesen TV Alhijrah tampil dengan sebuah rancangan baharu berjudul DENGAR.

DENGAR adalah sebuah program semi-realiti yang mendengar permasalahan individu-individu yang tular di media sosial lantas memberikan bantuan serta mencari solusi terbaik buat permasalahan tersebut. DENGAR disiarkan secara langsung bermula 4 Mac 2021, setiap Khamis, 13 episod, jam 9 malam secara langsung.

Dengan tagline Mendengar Masyarakat, tim penerbitan DENGAR akan segera turun padang setiap kali menerima aduan atau kisah kesusahan yang dikongsikan netizen menerusi emel rasmi program DENGAR. Tujuan turun padang adalah tidak lain tidak bukan untuk memastikan kesahihan serta menilai ruang penyelesaian serta saluran terbaik untuk memberikan bantuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris, “Masyarakat pada hari ini menjadi sangat selektif dalam meminjamkan pendengaran. Kemahiran mendengar selalu diabaikan di dalam komunikasi yang berkesan. Obsesi kita terhadap isu-isu yang kita pilih untuk lihat, beri perhatian dan solusi menyebabkan gambaran permasalahan secara besar tersasar malah gagal difahami secara menyeluruh.

“Allah menciptakan manusia sempurna dengan dua pasang kaki, tangan, mata dan telinga. Namun Allah ciptakan kita semua dengan satu mulut sahaja. Maka kurangkan bercakap namun lebihkan mendengar dan mengambil tindakan.

“Ini yang kita cuba terapkan di dalam rancangan DENGAR. Kita percaya bahawa mendengar itu sendiri adalah syifa’, penyembuh dan rawatan buat yang memerlukan. Apatah lagi selepas itu kita susulkan pula dengan tindakan lanjutan yang membawa kepada penyelesaian permasalahan tersebut.” jelas Namanzee.

“Program DENGAR ini adalah hasil cetusan idea dan inspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menuntut penglibatan dan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat. Ini adalah gerak kerja bersifat 360 darjah. Bermula dengan aduan yang kami terima daripada netizen, krew DENGAR akan turun padang meninjau dan menjalin hubungan awal dengan responden yang sedang berada dalam musibah.

Hazeman Huzir dan Wan Kamarudin sedang meneliti kes-kes yang yang sedang tular dan akan diketengahkan dalam DENGAR

“Kerja tim penerbitan tidak habis di situ. Mereka kemudiannya perlu membuat kajian lanjut serta berhubung dengan agensi-agensi dan pihak-pihak yang terlibat dalam mencari solusi terbaik. Kemudiannya, kita akan jemput responden ke studio digital TV AlHijrah untuk sesi perkongsian.

“Kita selit pula elemen kejutan buat responden. Di studio, responden akan menerima bantuan yang diperlukan samada dari pihak penaja atau agensi-agensi yang berkenaan. Bantuan pula tidak tertumpu kepada material semata, ia termasuk sokongan emosi dan psikologi”, jelas Namanzee lanjut.

DENGAR mempertaruhkan dua nama besar negara dalam bidang pengacaraan iaitu Wan Kamarudin Wan Ibrahim selaku hos di studio dan Hazeman Huzir sebagai wartawan lokasi.

Jadi jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan DENGAR pada setiap khamis di TV AlHijrah. Ayuh kita sama-sama jadi masyarakat yang benar-benar mendengar untuk memahami dan membuahkan respons.

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita

Selepas Menyanyi, Kini Inteam Berlakon Dalam Drama Pendek Raya! Penampilan Istimewa Anita Baharom dan Naufal Azrin.

Diterbitkan

pada

Inteam Raya 2024 - Asam Pedas Mak. Sumber: Inteam Digital

Bakat dan keupayaan mereka dalam bidang nyanyian sudah tidak dapat disangkal lagi. Kali ini, kumpulan nasyid tersohor; Inteam mencabar diri untuk tampil berlakon dalam satu drama pendek raya terbitan Inteam Digital.

Drama pendek raya berjudul Asam Pedas Mak ini menampilkan Inteam (Hazamin, Syahril, Rahim dan Hisyam), pelakon Anita Baharom, Naufal Azrin, Syafwan Abdul Rahman, Rasyid Amir dan HN Dzulkifly.

Semua anggota kumpulan Inteam mempunyai peranan yang tersendiri dalam drama pendek tersebut; Rahim sebagai penyampai radio, Hazamin sebagai pemandu van, Syahril sebagai peniaga kedai runcit manakala Hisyam sebagai penunggang motorsikal.

Seperti video pendek yang pernah dihasilkan sebelum ini, Rahim mengungguli apabila berjaya menjiwai dan menghidupkan watak yang dipegang, dengan baik sekali. Hazamin, Syahril dan Hisyam juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing tidak kekok membawa watak masing-masing.

Pujian harus diberikan kepada pelakon Anita Baharom dan Naufal Azrin selaku watak utama dalam drama pendek raya ini. Selaku pelakon professional, lakonan Anita dalam drama pendek ini sangat mengagumkan. Reaksi muka, bahasa tubuh dan lontaran dialog watak ibu disampaikan dengan sempurna oleh Anita. Begitu juga Naufal yang berjaya menjiwai wataknya sebagai anak dalam drama ini.

Dari segi penceritaan, jalan cerita drama pendek ini mudah difahami dan tidak terlalu kompleks. Cuma, di penghujung drama pendek ini, seakan tergantung. Mungkinkah akan ada sambungannya nanti? Biar Inteam yang menjawabnya.

Drama pendek Raya Inteam Digital ini juga turut memainkan dua buah lagu terbitan Inteam Digital; Rabiatul Adawiyah 2024 nyanyian Inteam dan Khai Bahar dan lagu Kepulangan Yang Dinanti yang dinyanyikan semula oleh Inteam dan dimuatkan dalam album Cahaya Lebaran.

Menariknya, drama pendek ini turut diselitkan Hadis Nabi dan nasihat-nasihat kepada para penonton.

Ada beberapa adegan yang mencuit hati penonton. Antaranya babak yang melibatkan Hazamin Inteam dan Naufal Azrin di dalam van, babak Rahim mengendalikan segmen radio dan babak Syafwan yang menggunakan bahasa Melayu dengan loghat Cina.

Drama pendek raya ini boleh ditonton di saluran Youtube rasmi Inteam Digital.

Continue Reading

Berita

“Bersedia untuk video tanpa kontroversi, tanpa babak panas…” – Hafiz Hamidun ‘Usik’ Siapa?

Diterbitkan

pada

Hafiz Hamidun. Sumber: Facebook Hafiz Hamidun

Penyanyi versatil, Hafiz Hamidun memuat naik satu video acah dan beberapa gambar acah di aplikasi Instagram milik beliau pada hari ini. Menerusi video dan gambar tersebut, Hafiz mengumumkan pelancaran lagu baharu hasil duet beliau dengan legenda Halim Yazid berjudul Zikir Dikir.

Dalam pengumuman tersebut, Hafiz memaklumkan lagu Zikir Dikir akan mula berada di semua platform penstriman muzik digital bermula Jumaat ini, 5 April 2024.

Video muzik rasmi Zikir Dikir pula akan turut dilancarkan pada hari yang sama, pada jam 5 petang.

Lagu Zikir Dikir ini merupakan lagu nasyid pertama yang disuntik elemen dikir barat yang dilancarkan secara komersial. Zikir Dikir ini dilihat satu kolaborasi yang cukup unik menggabungkan artis yang popular dengan Zikir Terapi; Hafiz Hamidun dan legenda dikir barat; Halim Yazid.

Kemunculan lagu ini merupakan sebahagian kerjasama awal Hafiz Hamidun dan Halim Yazid yang bakal berkongsi pentas di Konsert Zikir Dikir yang akan berlangsung pada 3 Mei 2024 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Pastinya kemunculan lagu Zikir Dikir ini amat dinantikan oleh para pendengar khususnya peminat nasyid dan peminat dikir barat dari pantai timur.

Tangkap layar gambar acah dari Instagram Story Hafiz Hamidun

Dalam pada itu, video dan gambar acah yang dimuatnaik Hafiz Hamidun menarik perhatian ramai apabila Hafiz meletakkan sari kata (caption) berikut pada video dan gambar acah tersebut:-

“Bersedia untuk video tanpa kontroversi?”

“Tanpa adegan, babak dan tarian panas”

“Yang ada cumalah karya ikhlas. Tak minta lebih.”

Ada yang mengatakan sari kata tersebut merupakan satu ‘usikan’ Hafiz Hamidun kepada seseorang. Walau bagaimanapun, kami percaya ia tidak ditujukan kepada sesiapa. Mengenali Hafiz Hamidun, beliau memang terkenal dengan teknik pemasaran yang kreatif dan diluar kotak.

Apa pun, nantikan kemunculan lagu Zikir Dikir pada Jumaat ini, 5 April 2024 di semua platform penstriman muzik digital yang sah.

Continue Reading

Berita

TH Umum Agihan Keuntungan Mampan 3.10% Bagi Tahun Kewangan 2023

Diterbitkan

pada

KUALA LUMPUR, 2 APRIL 2024. Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan Agihan Keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 yang mampan pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57 peratus. Agihan Keuntungan 2023 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH, berbanding agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada 8.8 juta pendeposit pada 2022, menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun, sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini.

Agihan Keuntungan 2023 dibuat setelah penyata kewangan TH tahun 2023 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan telah mengambil kira rosot nilai terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan pelaburan hartanah di United Kingdom. Agihan keuntungan bagi tahun 2023 juga adalah mematuhi Akta Tabung Haji 1995.

TH yang ditubuhkan bagi mengurus simpanan untuk tujuan haji, turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun 2023. TH berharap pelunasan zakat ini secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha Kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara. Jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan bagi pihak pendeposit adalah sebanyak RM1.37 bilion sehingga kini. Jumlah zakat TH diselaraskan kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

TH menggunakan kadar 2.57 peratus dalam pengiraan zakat TH bagi mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi, sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH. TH telah menyantuni lebih 560 ribu asnaf di seluruh negara pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah di mana TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada asnaf. Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah TH.

Pengumuman Agihan Keuntungan dan pelunasan zakat tahun 2023 telah dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar pada sidang media di TH hari ini. Turut hadir sama dalam sidang media ialah Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad.

“Ini adalah tahun ketiga ekonomi negara melalui proses pemulihan semenjak pandemik Covid-19. TH telah dapat mengekalkan kadar agihan yang sama seperti tiga tahun sebelum ini, walaupun terkesan dengan rosot nilai beberapa pelaburan legasi,” kata Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

“Kadar pulangan yang telah diselesaikan tanggungjawab zakat ini adalah kadaryang baik. Sebagai dana simpanan yang dijamin Kerajaan, TH berhati-hati dalam mengambil risiko pelaburan demi melindungi wang pendeposit. Justeru itu, Agihan Keuntungan TH 2023 adalah sejajar dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bersesuaian dengan tahap toleransi risiko TH dan selari dengan kadar pasaran semasa instrumen Kerajaan dan deposit simpanan 12 bulan perbankan Islam.”

Ekonomi global menunjukkan prestasi yang lebih perlahan pada sepanjang 2023 ekoran kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah, krisis geopolitik antarabangsa, tekanan terhadap nilai mata wang negara-negara membangun termasuk Ringgit dan kesukaran China merangsang ekonomi. Hal ini turut memberi kesan terhadap prestasi ekonomi domestik.

TH yang mempunyai sekitar 90 peratus pendedahan pelaburan dalam pasaran domestik telah berdepan dengan cabaran-cabaran seperti tekanan terhadap hasil pulangan sukuk serta prestasi pasaran saham dan pasaran hartanah yang lebih sederhana.

SOROTAN PRESTASI 2023

Prestasi TH pada tahun 2023 telah didorong oleh pelaburan patuh Syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbangkan oleh pelaburan ekuiti. Pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang juga menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan keseluruhan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, sebagai institusi simpanan bagi tujuan menunaikan ibadat haji, TH memberi penekanan kepada pelaburan yang bertanggungjawab dan mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang mensasarkan potensi penjanaan yang berdaya tahan, selamat dan mampan.

“Agihan keuntungan kepada pendeposit dibuat setiap tahun berdasarkan prestasi dan kedudukan kewangan setelah diaudit Jabatan Audit Negara. TH juga sentiasa berusaha bagi menambah baik perkhidmatan dengan melaksanakan pembaharuan bagi menambah nilai untuk manfaat pendeposit,” kata Tuan Syed Hamadah Syed Othman.

Pengiraan Agihan Keuntungan 2023 adalah berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahuntahun sebelum ini. Para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12.00 tengah hari ini, Selasa 2 April 2024 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Sumber: Tabung Haji

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2024 Munsyeed Edutainment