
Naim Helmi
Selepas Akmal Mirwana menubuhkan SAJA BAND sebagai ‘project-based‘, kini seorang lagi vokalis Mirwana tampil dengan ‘projek baharu’ apabila muncul dengan lagu solo berjudul Cukup Kau Untukku.
Naim Mirwana atau nama sebenar beliau Naemul Helmi Bin Mohd Napiah merupakan vokalis kedua Mirwana yang memecahkan kesunyian kumpulan itu dengan kemunculan single solo pertama awal September lalu.
Ketika ditemuramah, Naim, 33, menjelaskan yang penampilan solo beliau dengan nama komersil Naim Helmi ini hanyalah bersifat ‘project based‘ sahaja. Beliau masih lagi bersama Mirwana dan setia bersama kumpulan popular tersebut.
Single Solo Pertama – Cukup Kau Untukku
Menyentuh mengenai single solo pertama beliau, Naim menyifatkan lagu ciptaan Kuncidemak ini sebagai ‘salam taaruf’ beliau kepada industri sebagai artis solo.
“Lagu Cukup Kau Untukku merupakan ciptaan sepenuhnya Kuncidemak terbitan syarikat produksi milik saya sendiri, Green Mango Entertainment. Lagu ini merupakan single pertama saya sebagai penyanyi solo dan akan ada lagi single yang akan menyusul tidak lama lagi.” ulas Naim.
Naim turut menambah yang beliau akan tetap bersama Mirwana dan dalam masa yang sama akan bergerak solo. Kata beliau, “Buat masa ini saya tak terfikir untuk gerak solo sepenuhnya. Tetap akan bersama Mirwana dan dalam masa sama bergerak solo juga.”
Plan Terbit Album Solo
Ketika ditanya sama ada beliau berhasrat untuk menerbitkan album solo, Naim yang mudah menyimpulkan senyuman menjawab yang beliau ada menyimpan hasrat untuk menerbitkan album solo dan ia termasuk dalam perancangan jangka panjang beliau.
“Ada perancangan untuk terbit album solo. InsyaAllah kalau ada rezeki dan umur panjang. Buat masa ini keluar single by single. Sudah keluar single pertama. Next single pun sudah siap tapi maybe awal tahun depan (baru release).”
“Konsep lagu ini ialah pop ketuhanan. InsyaAllah, doakan semoga ia berhasil. Saya ada perancangan juga untuk buat album selawat tahun depan. Tengok keadaan macam mana.” ujar Naim.
Mirwana Masih Wujud
Kami sempat bertanya kepada Naim mengenai Mirwana yang seakan menyepi dari industri sejak kebelakangan ini.
“Mirwana macam biasa. Cuma lately ni slow down sedikit. Masing-masing sibuk. Ada kerja lain juga dan ada yang terikat dengan komitmen sana sini. Tetapi InsyaAllah (Mirwana) akan keluarkan single baru, tunggu masa yang sesuai, bergantung pada masa dan komitmen.”
“Anggota mirwana yang lain pun ada buat special project masing-masing. Akmal (dengan SAJA Band), Apis pun. Alhamdulillah saya keluar product dulu. Mereka pasti akan menyusul.” cerita Naim.

Naim Helmi – Cukup Kau Untuk Ku
Kalau Saya Duet Dengan Waris Boleh? – Naim
Naim juga memberitahu Munsyeed yang beliau juga ada perancangan untuk menghasilkan sebuah lagu rap berunsurkan ketuhanan.
“Ada plan. Kita kene ikut trend semasa supaya mesej sampai. Muzik ini medium yang ada kesan dan pengaruh yang besar. Urm… WARIS boleh?” tanya Naim sambil tersenyum.
“InsyaAllah, (saya sedang) cari juga siapa yang sesuai untuk bekerjasama. Doa-doakan lah.”
Ucapan Untuk Peminat
Sebelum mengakhiri temubual bersama Naim, kami ada meminta Naim membuat sedikit ucapan khas untuk peminat-peminat beliau yang tidak henti-henti menyokong karier seni beliau dari zaman Far East hinggalah ke era Mirwana dan solo ini.
“Terima kasih kepada semua yang banyak menyokong saya dan mirwana selama ini dan atas sebab itu juga yang memberi semangat untuk saya buat project solo. Single Cukup Kau Untuk Ku dah ada dlm pasaran digital seperti DiGi, Maxis, Celcom dan U-Mobile. iTunes tak lama lagi. Sudi-sudikan lah support dan download scara sah.” ucap Naim sebelum mengakhiri perbualan.
– Munsyeed Dot Com.