Penyanyi dan ahli akademik, Ts. Dr. Fitri Haris, yang juga anggota kumpulan nasyid UNIC, telah menerima pengiktirafan berprestij daripada British Academy sebagai UK Global Talent – Exceptional Promise (Ahli Akademik) dalam bidang Kemanusiaan dan Seni, khususnya dalam Etnomusikologi.
Penghormatan ini mengiktiraf sumbangan Fitri dalam muzik Islam popular dan hiburan patuh syariah, sekaligus membuka peluang baharu untuk penyelidikan serta kerjasama budaya dan akademik di peringkat antarabangsa.
Dengan pengiktirafan ini, Fitri berpeluang bekerjasama dengan universiti terkemuka di UK, mendapatkan dana penyelidikan serta menyertai projek-projek inovatif dalam bidangnya.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengukuhkan kehadiran saya di peringkat antarabangsa tetapi juga memberi peluang untuk menyertai persidangan global, memperluas rangkaian profesional, dan mengembangkan kerjaya akademik saya,” ujar Fitri.
Selain kejayaan peribadinya, Fitri juga bertekad untuk menghubungkan Malaysia, Asia Tenggara, dan UK melalui etnomusikologi.
Beliau berharap dapat memperkenalkan warisan muzik Asia Tenggara dan mempromosikan hiburan patuh syariah di platform global, sekali gus meningkatkan pemahaman silang budaya dan kolaborasi antarabangsa.
Dengan UK Global Talent Visa yang diberikan untuk tempoh 2025 hingga 2030, Fitri bersedia untuk menyelami dunia akademik di UK, meneroka perspektif baharu, serta menyumbang kepada perkembangan seni dan muzik Islam.
Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan Fitri dan UNIC, malah menjadi pencapaian bermakna buat industri muzik Islam serta etnomusikologi Malaysia di persada antarabangsa.