Connect with us

Berita

Gabungan NowSeeHeart dan Saujana Tampilkan Superband AWLA

Diterbitkan

pada

Maulidur Rasul yang lalu menyaksikan dua kumpulan nasyid popular tanah air iaitu NowSeeHeart dan finalis Gema Gegar Vaganza, Saujana sekali lagi bergabung di dalam sebuah projek khas superband mereka. Jika sebelum ini peminat pernah diperlihatkan dengan gabungan ini menerusi album Jalan Sehala, kali ini mereka tampil di bawah satu nama baru yang dikenali sebagai AWLA.

Gabungan dua nama besar industri nasyid tanah air di dalam AWLA yang dianggotai oleh Azahari NowSeeHeart, Idzhar NowSeeHeart, Suffian Saujana, Azalinor Saujana dan Zuhaidi Saujana adalah sebuah kolaborasi untuk merakamkan lagu selawat yang berjudul Salamun Alaika. Penampilan pertama kumpulan AWLA dilihat lebih unik apabila ianya turut menampilkan penglibatan bekas peserta Gegar Vaganza 5 yang juga pelakon popular tanah air iaitu Izzue Islam dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan Meru, Selangor iaitu YB Ustaz Mohd. Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar bersama-sama mengalunkan Salamun Alaika.

Azahari yang bertindak selaku penerbit, komposer dan penulis lirik Salamun Alaika menyifatkan gabungan AWLA dan kerjasama di antara mereka, Izzue dan YB Ustaz Mohd. Fakhrulrazi adalah amat luar biasa. Ini kerana kolaborasi sedemikian merupakan sesuatu yang julung kalinya dilakukan.

“Gabungan ini sebenarnya cuba untuk memberi mesej bahawa sesiapa sahaja tidak kira kerjaya, perlu memperbanyakkan selawat kepada baginda Rasulullah SAW,” kata beliau.


Menjelaskan lagi keunikan kolaborasi yang cuba diketengahkan oleh AWLA, Suffian Amrin mendedahkan latar belakang kerjaya anggota AWLA dan dua artis jemputan mereka yang menjadikan kolaborasi di dalam karya Salamun Alaika ini sesuatu yang istimewa.

“Saya seorang DJ Radio. Azahari adalah seorang guru. Idzhar pula seorang Perunding Latihan dan Motivasi. Azalinor seorang jurutera IT. Zuhaidi seorang usahawan. Izzue seorang pelakon dan Ustaz Fakhrulrazi adalah seorang wakil rakyat,” jelasnya lagi yang turut mengakui bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah tanda cinta kita terhadap baginda.

Bagi Azalinor dan Zuhaidi, peluang begini sukar untuk ditolak. Sememangnya gabungan begini amat istimewa dan menjadi kenangan abadi buat mereka. Selama menghabiskan masa bersama di Novarts Studio di Ara Damansara, banyak perkara dikongsikan, terutamanya berkaitan kerjaya masing-masing yang jelas berbeza.

“Kami mungkin berlainan kerjaya, namun minat kami terhadap muzik dan nyanyian tetap sama,” kata mereka.

Salamun Alaika sebenarnya adalah alunan Selawat Ibrahimiah yang diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di samping disuntik dengan lirik bahasa inggeris yang menjadikannya lebih mudah untuk diterima ramai, tidak kira di dalam negara mahupun di luar negara.

“Kami menggunakan bahasa yang universal untuk lebih mendekati semua” kata Izzue Islam yang selesa menyanyikan selawat tersebut.

Izzue Islam ketika ditanya mengenai kolaborasi ini menjelaskan bahawa beliau sememangnya sudah lama berniat untauk menyanyikan sebuah selawat.

“Saya pernah terfikir untuk mengalunkan selawat ini sejak dulu lagi, tak semena-mena abang Azahari beritahu dia ada lagu selawat dan nak ajak Izzue turut serta. Bila dah mendengar lagu itu Izzue terus setuju dan tak sabar-sabar nak rekod.,” kata Izzue Islam teruja bila diberi peluang.

“Selawat hendaklah senantiasa dialunkan oleh setiap orang yang beriman. Kita sering diingatkan untuk berselawat ke atas Nabi setiap masa dalam firman Allah dan hadis Nabi,” kata Ustaz Fakhrulrazi yang setuju untuk bekerjasama apabila ditawarkan oleh penerbit.

Kami difahamkan lagu Salamun Alaika ini juga akan diterbitkan dalam pelbagai versi bahasa dan akan dikongsikan tidak lama lagi. Keputusan untuk menerbitkan selawat tersebut dalam pelbagai versi bahasa dibuat bagi membolehkan semua orang termasuk masyarakat dunia yang berbilang bangsa ini membawakannya di dalam bahasa masing-masing seperti bahasa hindi, perancis, jerman dan lain-lain. Sudah semestinya pendekatan ini mampu mendekatkan masyarakat dari seluruh pelusuk dunia kepada baginda Nabi SAW.

“Saya sendiri menulis liriknya dalam bahasa ibunda,” kata Idzhar.

Jadi, kami menggalakkan anda semua di luar sana untuk turut sama merakam dan memuat naik di platform media sosial mengalunkan Salamun Alaika versi anda. Jom sama-sama kita berselawat!

Tajuk Lagu: Salamun Alaika
Pencipta Lagu: Azahari NSH
Penulis Lirik: Azahari NSH
Penggubah Muzik: Wan Saleh
Studio Rakaman: Novarts Studio
Penerbit Lagu: Azahari NSH
Terbitan: Novarts Production Sdn Bhd

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita

Stories by Muslim Pro Dilancarkan: Penceritaan Digital Tanpa Sempadan, Madina Jadi Pembuka Tirai

Diterbitkan

pada

Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular dunia, melancarkan inisiatif kandungan baharu Stories by Muslim Pro, sebuah hab kreatif global untuk kisah-kisah autentik ummah merentas budaya, generasi dan geografi.

Pelancaran disertai sesi panel “Storytelling in the Digital Era” menampilkan Nafees Khundker (Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Muslim Pro) dan pembikin filem tersohor Abrar Hussain (One Day in the Haram, One Night in Al Aqsa).

“Muslim Pro kini teman budaya dan rohani jutaan pengguna. Stories by Muslim Pro ialah bab seterusnya menghubungkan dan menyatukan ummah dengan kisah yang menginspirasi,” Nafees Khundker.

Premiere Eksklusif: Madina: The Enlightened City

Pembuka tirai Stories by Muslim Pro ialah dokumentari Madina: The Enlightened City arahan Abrar Hussain. Menurut beliau, dokumentari ini ialah sebuah rakaman keindahan, sejarah dan aura Madinah yang turut membawakan nilai kemanusiaan, tawaduk dan pengabdian.

“Saya mahu menangkap roh Madinah, bukan sekadar visual,” Abrar Hussain.

Madina: The Enlightened City akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi Muslim Pro pada 1 Oktober 2025 dan pra-tempahan boleh dilakukan bermula 11 September 2025.

Pertandingan Filem Pendek & UGC Short – Stories of the Beloved

Di bawah jenama Stories by Muslim Pro, turut dilancarkan Stories of the Beloved, sebuah festival kandungan digital global yang meraikan bagaimana Islam dihayati, dirasai dan dizahirkan dalam kehidupan seharian. Inisiatif ini menghimpunkan pembikin filem profesional dan juga pencipta kandungan harian untuk berkongsi perspektif autentik tentang keindahan iman dalam dunia moden.

Pemilihan pemenang dibuat oleh barisan juri antarabangsa yang terdiri daripada tokoh ternama dalam dunia perfileman dan penciptaan kandungan digital. Antara juri tersebut ialah pencipta kandungan digital Malaysia, Fikri ZamRi.

Penglibatan beliau dalam barisan juri antarabangsa menyerlahkan peranan Malaysia dalam membentuk naratif Muslim di peringkat global, sekali gus menegaskan betapa pentingnya suara serantau dalam landskap penceritaan yang pelbagai.

Undian bagi UGC Shorts Viewer’s Choice Award boleh dilakukan menerusi aplikasi Muslim Pro bermula dari 9 hingga 21 September 2025.

Semua kandungan Stories by Muslim Pro, termasuk dokumentari Madina dan karya terpilih Stories of the Beloved, boleh ditonton melalui aplikasi Muslim Pro dan platform video Qalbox.

Aplikasi Muslim Pro boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store. Info lanjut di muslimpro.com.

Dengan Stories by Muslim Pro, platform penceritaan Muslim naik satu gear. Bukan sekadar menonton, tapi merasai dan menyambung kisah ummah. Jangan lupa undi karya kegemaran anda dan set reminder untuk tayangan Madina!

Continue Reading

Berita

Jalin Ukhwah – Menteri Agama Main Badminton Bersama Inteam, Munsyid Malaysia

Diterbitkan

pada

Suasana santai penuh ukhuwah tercipta apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar berkesempatan beriadah sukan badminton bersama kumpulan nasyid popular Inteam serta wakil-wakil MUNSYID Malaysia di Putrajaya, pada Rabu.

Sesi riadah itu turut disertai Presiden MUNSYID Malaysia, Muhammad Hazamin Harun yang juga ahli kumpulan Inteam, serta Timbalan Presiden MUNSYID, Wan Syahrul Amry Wan Mansor. Turut bersama, penyanyi Halim Ahmad (Devotees) dan Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Samsuddin, menjadikan pertemuan santai ini semakin meriah dan penuh nilai persaudaraan.

Dalam perkongsian di media sosial, YB Menteri mengimbau bait lirik lagu Inteam Akrab Persahabatan:

“Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan”

Katanya, riadah bukan sekadar menyihatkan tubuh badan, tetapi juga medan memperkukuh ukhuwah serta mengikat hati dengan keikhlasan.

Sentuh Hala Tuju Industri Nasyid

Menariknya, dalam sesi santai itu, Hazamin mendedahkan bahawa Dato’ Dr Mohd Na’im berhasrat untuk menerima cadangan bagi mengadakan pertemuan khusus bersama MUNSYID Malaysia bagi membincangkan hala tuju industri nasyid.

“Beberapa cadangan dan kertas kerja pembangunan industri nasyid turut kami serahkan kepada Dato’ Dr. Mohd Na’im sebagai bayangan awal. Semoga inisiatif ini menjadi langkah memartabatkan industri nasyid agar terus kekal sebagai medan dakwah Islam,” jelas Hazamin.

Perkongsian momen riadah dan ukhuwah ini nyata mencuri perhatian warganet serta peminat nasyid yang menyifatkan ia satu permulaan positif untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin agama, artis dakwah dan aktivis belia.

Sumber: Facebook YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Naim, Inteam.

Continue Reading

Berita

Ada Pihak Sabotaj Lagu Bianglala Sehingga Tidak Tercalon AIM? Ini Pendedahan Faiesh Syazwan

Diterbitkan

pada

Nama baharu dalam industri muzik tanah air, Faiesh Syazwan, kini semakin mendapat perhatian selepas kemunculan single sulungnya berjudul Bianglala. Lagu ciptaan komposer terkenal Fadzli Far East bersama Syukri Sahari, dengan lirik oleh penulis prolifik ITO Lara, menjadi tiket pertama beliau memperkenal bakat vokalnya kepada khalayak.

Namun, di sebalik penerimaan positif, Faiesh mengakui berdepan sedikit kekecewaan apabila Bianglala tidak dapat dicalonkan ke Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan apabila lagu Bianglala tidak dapat dicalonkan ke AIM. Pihak pengurusan telah cuba sedaya upaya untuk mencalonkan tetapi nasib mungkin tidak menyebelahi lagu ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Faiesh tidak menafikan hatinya sedikit hampa dengan situasi tersebut.

“Tipulah jika saya katakan saya tidak kecewa kerana lagu Bianglala tidak dicalonkan ke AIM. Tambahan pula lagu ini ‘kalah’ sebelum dipertandingkan. Tetapi, saya percaya ada hikmah di sebalik perkara ini dan saya reda. Mungkin ada rezeki saya di masa akan datang,” katanya dengan penuh positif.

Dalam masa sama, Faiesh menolak sebarang dakwaan kononnya lagu itu disabotaj sehingga gagal dihantar untuk pencalonan.

“Saya nafikan ada unsur sabotaj. Isu ini berpunca daripada masalah teknikal semata-mata, bukannya kerana ada pihak yang cuba menjatuhkan. Saya anggap ini sebagai ujian kecil,” tegasnya.

Walau begitu, perjalanan Bianglala tetap berjalan lancar. Muzik video rasmi lagu ini mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan di YouTube, selain menerima maklum balas baik daripada para pendengar yang menganggap karya tersebut segar dan menyentuh jiwa.

Tidak mahu terlalu lama menoleh ke belakang, Faiesh kini fokus mengatur langkah seterusnya.

“Alhamdulillah, video muzik Bianglala mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan. Pendengar juga berikan maklum balas positif terhadap karya indah ini.”

“Saya kini dalam proses mengumpul material baharu untuk single kedua saya. InshaAllah, jika tiada aral melintang, single kedua akan muncul tidak lama lagi. Doakan,” ujar Faiesh yang optimis dengan perjalanan seninya.

Dengan semangat dan sokongan yang semakin bertambah, peminat boleh menjangkakan lebih banyak karya segar daripada Faiesh Syazwan dalam waktu terdekat.

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2025 Munsyeed Edutainment