“Dengan segala perkara buruk yang melanda dunia hari ini, ia menjadi suatu peluang yang penting untuk saya sebarkan mesej perpaduan, keamanan dan cinta.” – Sami Yusuf
Selepas perlantikan Sami Yusuf sebagai salah seorang duta selebriti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada tahun lalu, beliau kini kembali memulakan tahun 2015 dengan menyebarkan mesej cinta dan keamanan sejagat. Bezanya kali ini Sami Yusuf menjadikan beberapa kitab suci agama lain termasuk Islam sebagai inspirasi kepada lirik sebuah lagu yang diciptakan khas sempena minggu World Interfaith Harmony (bermula minggu pertama Febuari) berjudul “The Gift of Love”.
Bercerita mengenai proses awal pembikinan lagu “The Gift of Love”, Sami Yusuf telah didatangi oleh salah seorang kerabat diraja Jordan bagi menyampaikan hasrat kepada beliau untuk mencipta lagu tema dan klip video sempena WIHW 2015. Sepanjang 2 minggu proses penggambaran dijalankan, beliau telah menghabiskan banyak masa merakamkan klip video dibeberapa lokasi yang signifikan antaranya di Wadi Rum, Jerusalem, Petra dan juga tapak pembaptisan nabi Isa a.s.
Selain Sami Yusuf, terdapat selebriti terkenal lain yang turut mendokong usaha ini antaranya ialah pelakon wanita Hollywood, Roma Downey (Touched by an Angel) dan juga Hafiz Hamidun.
Bercakap mengenai perkembangan terbaru, beliau kini sedang giat berkerjasama dalam sebuah filem arahan Majid Majidi (Children of Heaven) bersama komposer terkenal Bollywood, A.R. Rahman selain turut terlibat di dalam 2 buah filem bajet besar Hollywood. Beliau yang baru sahaja melancarkan album terbaru berjudul “The Centre” dijadualkan bakal memulakan konsert jelajah di sekitar eropah tidak lama lagi bagi mempromosikan album tersebut.
Layari laman rasmi World Interfaith Harmony Week untuk maklumat lanjut.
– Munsyeed Dot Com