IM Jabar bersama trofi dan replika cek RM100,000 yang disampaikan oleh Pengurus Besar Astro Oasis, Tuan Haji Izelan Bin Basar.
Setelah sembilan minggu berjuang dalam cabaran Imam Muda Musim ke-3, akhirnya pihak akademi sebulat suara menobatkan Imam Muda Jabar sebagai juara Imam Muda Musim Ke-3. Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Mudir (Pengetua) Program Imam Muda Musim 3, Dato Hassan Mahmud Al-Hafiz di program akhir Imam Muda Musim 3. Program Finale Akhir Imam Muda Musim ke-3 ini telah disiarkan secara serentak di Astro Oasis dan Astro Mustika HD pada hari Jumaat lalu.
Bertempat di Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (INSPENS), Bangi, program realiti TV Islamik paling popular di Malaysia ini akhirnya berjaya melabuhkan tirai dengan cukup berprestij.
Imam Muda Jabbar atau nama penuhnya Abdul Jabbar Bin Mohammad Kahar, 28 tahun, telah dijulang sebagai Juara Imam Muda Musim ke-3 selepas Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hassan yang telah merangkul gelaran juara Imam Muda pada 2 musim sebelum ini. Berasal dari Selangor, Imam Muda Jabar merupakan graduan Universiti Antarabangsa Madinah (MEDIU) dalam jurusan Sarjana Fiqh Muamalat. Beliau yang berkhidmat sebagai penolong pensyarah di sebuah institusi pendidikan tinggi Malaysia sanggup menolak tawaran kenaikan pangkat yang ditawarkan kepada beliau semata-mata untuk menyertai program realiti Islamik No. 1 di Malaysia.
Selaku peserta tertua dalam program Imam Muda Musim 3, personaliti Imam Muda Jabar berjaya menarik perhatian pihak akademi untuk menjulang beliau sebagai juara bagi musim ini.
10 Peserta Imam Muda Musim 3
Sepanjang sembilan minggu bersiaran, kesemua 10 finalis Imam Muda Musim Ke-3 telah diberikan pelbagai ujian dan cabaran dalam melaksanakan tugasan masing-masing. Menyorot kembali episod-episod Imam Muda Musim 3, mereka telah diberikan cabaran dan tugasan mendekati golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dengan penduduk setempat, menyertai majlis Solat tahajud dan Qiamullail anjuran Astro Oasis dan banyak lagi. Kesemua cabaran tersebut berjaya dilaksanakan dengan cukup baik oleh para peserta.
Persembahan pembukaan oleh 3 finalis Imam Muda 3
Daripada 10 peserta Imam Muda Musim 3, akhirnya 3 finalis berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Imam Muda iaitu Imam Muda Jabar, Imam Muda Hafiz dan Imam Muda Naufal.
IM Asyraf dan IM Hizbur menyarungkan jubah graduasi kepada IM Naufal
Imam Muda Naufal, 21 tahun, telah diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga Imam Muda Musim 3 dengan membawa pulang sebuah trofi Imam Muda, wang tunai berjumlah RM15,000 sumbangan Astro dan wang tunai RM10,000 sumbangan Bank Islam (M) Berhad.
Mudir Dato Hassan Mahmud Al-Hafiz menyarungkan jubah graduasi kepada Naib Johan, IM Hafiz
Imam Muda Hafiz pula menyandang Naib Juara Imam Muda Musim ke-3 dengan membawa pulang sebuah trofi, wang tunai berjumlah RM35,000 sumbangan Astro dan wang tunai berjumlah RM15,000 sumbangan Bank Islam (M) Berhad.
3 Finalis Akhir Imam Muda Musim 3
Syabas diucapkan kepada semua finalis Imam Muda Musim ke-3. Semoga apa yang diperolehi dari tenaga pengajar di akademi dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam meneruskan legasi dakwah di bumi Malaysia dan seantero dunia.
Ucapan tahniah juga diucapkan kepada tenaga pengajar yang diketuai Mudir Dato’ Hassan Mahmud Al-Hafiz dan pihak pengurusan dan penerbitan Imam Muda musim ke-3 yang diketuai Penerbit Muhammad Najib yang telah berjaya menjadikan program Imam Muda Musim Ke-3 sebagai sebuah progam popular dengan kenaikan rating penonton berbanding musim sebelumnya.
Pihak penerbitan dan pengurusan Imam Muda Musim ke-3 juga dilihat berjaya menyuntik elemen baharu dalam menjadikan program Imam Muda Musim 3 lebih segar dan ianya menarik perhatian penonton untuk setia mengikuti program ini selama 9 minggu berturut-turut.
Kredit juga wajar diberikan kepada hos Imam Muda Musim 3 yang cukup berwibawa, Ustaz Akhil Hayy.
Semoga program realiti TV Imam Muda ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Bagi mereka yang ketinggalan menonton Finale Akhir Imam Muda, anda masih boleh mengikuti siaran ulangan pada hari Sabtu, 4 Ogos ini pukul 5.30 petang atau hari Ahad 5 Ogos 2012 pukul 10 pagi di Astro Oasis.
-Munsyeed{Dot}Com.
Sumber: Astro & Portal Budiey.com.
p/s: Selepas 3 musim berlalu, adakah pihak Astro Oasis akan meneruskan program realiti TV Imam Muda dengan kemunculan Imam Muda Musim ke-4 atau mungkin pihak Astro bercadang untuk buat Imam Muda mega yang bakal menampilkan ketiga-tiga juara Imam Muda Musim 1, 2 dan 3? Biar Astro yang umumkan!