Selepas kejayaan single pertama mereka, kumpulan nasyid kontemporari BITARA kini kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul “Selamat Tinggal Sahabat”.
Lagu ini merupakan sebuah manifestasi terhadap perjuangan dalam dunia nasyid serta sebagai tribut khas buat sahabat-sahabat yang telah lama terpisah.
Bagi BITARA, lagu ini turut didedikasikan khas buat sahabat mereka, Allahyarham Ahmad Haffiez.
Dicipta sepenuhnya oleh Dr Abdul Halim Masnan (Dr Abdul), lagu ini membawa mesej penuh emosi mengenai nilai persahabatan yang kekal abadi meskipun dipisahkan oleh waktu dan takdir.
Gabungan lirik yang menyentuh hati dengan susunan muzik oleh Zaki Norizan menjadikan lagu ini sarat dengan makna dan nostalgia.
“Selamat Tinggal Sahabat” diterbitkan oleh Amin Nordin di bawah rakaman Smart Audio Studio.
BITARA dianggotai oleh Dr Abdul Halim Masnan (Dr Abdul), Mohd Fadhli Rosli (Lie), dan Abdul Mueiz Rosli (Eiz),
Menariknya, muzik video rasmi lagu ini telah menjalani penggambaran di lokasi bersejarah, iaitu Kampus Lama UPSI dan Perpustakaan Tuanku Bainun.
Ahmad Yamashita bertindak sebagai videografer manakala Amin Nordin sebagai editor bagi memastikan hasil visual yang memukau dan menyentuh hati.
BITARA – Gabungan Penggiat Seni Dari UPSI
Ditubuhkan pada Februari 2024, BITARA atau singkatan kepada Bicara Tanpa Ragu merupakan sebuah kumpulan nasyid baharu yang dianggotai oleh kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tiga anggota kumpulan ini datang daripada latar belakang yang berbeza, merangkumi kakitangan akademik, pengurusan dan profesional, serta kakitangan pelaksana.
Menariknya, Dr Abdul Halim Masnan, salah seorang ahli BITARA, merupakan bekas anggota kumpulan nasyid popular Brothers.
Sebelum BITARA, mereka pernah bergiat aktif dalam kumpulan D’Kesakti, yang bernaung di bawah Pusat Kebudayaan (PUSKEB) UPSI.
Berkat pengalaman dan bakat yang dimiliki, mereka pernah meraih kejayaan sebagai johan pertandingan nasyid peringkat negeri Perak pada tahun 2023 serta berpeluang berkolaborasi dengan artis terkemuka seperti Lah Ahmad.
Dengan pelancaran “Selamat Tinggal Sahabat”, BITARA berharap lagu ini mampu menjadi penghubung emosi buat sesiapa sahaja yang pernah mengalami perpisahan dengan insan tersayang.
Sikap penuh kasih sayang antara anak dan ibu kembali mencuri perhatian netizen apabila satu video tular memperlihatkan penyanyi dan peserta Talk To My Manager, Hadie, menghadiahkan kasut kepada ibunya yang juga personaliti terkenal, Ina Naim, di butik Ijmal.
Apa yang lebih mengharukan, Hadie bukan sekadar menghadiahkan kasut tersebut, malah dengan penuh hormat dan kasih sayang, beliau turut memakaikan sendiri kasut itu ke kaki ibunya – satu tindakan yang ramai netizen sifatkan sebagai simbol “act of service” seorang anak soleh yang menyantuni ibunya.
Video yang dimuat naik di media sosial itu kini telah mencecah lebih 85,000 tontonan dan meraih lebih 5,000 tanda suka, dengan komen-komen positif yang memuji keikhlasan dan kelembutan Hadie dalam melayani ibunya.
Antara komen yang menarik perhatian termasuk:
“Sejuk perut ibu mengandung. Moga Hadie terus berjaya dunia akhirat,”
“Beginilah cara seorang anak lelaki menghargai ibu tanpa perlu kata-kata.”
“bahagianya seorang ibu dilayan macam ini sebab ayahnya pun seorang yang cukup sopan”
“Didikan SS (Suhaimi Saad).. seorang bapa yang hebat.. Sejuk mata memandang..”
Sikap Hadie yang terkenal dengan keperibadian sopan dan mesra keluarga ini turut mencerminkan nilai sebenar kasih sayang yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda.
Ramai juga yang memuji hubungan erat antara Hadie dan Ina Naim yang sering ditonjolkan secara semula jadi tanpa dibuat-buat di media sosial.
Hadie yang merupakan finalis program Talk To My Manager Musim Pertama terbitan Astro, kini sedang rancak menyusun karier seninya dengan dibantu oleh Ina Naim yang bertindak sebagai pengurus.
Selain muncul dengan lagu Kias Cinta 2.0 yang dinyanyikan bersama kumpulan nasyid popular, Inteam dan Sallman Elkhoyri, Hadie juga dikatakan sedang dilamar oleh produksi drama yang berminat untuk mengambil Hadie berlakon dalam drama pendek.
Semoga keperibadian Hadie menjadi contoh kepada anak muda di luar sana.
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan Pakej Haji bagi Musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji, Tuan Haji Mohd Hisham Harun berkata Jawatankuasa Urusan Haji telah melaksanakan penilaian ke atas permohonan lesen daripada 60 buah syarikat. Setelah semakan teliti meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu, 31 syarikat telah diluluskan bagi musim 1447H/2026M berbanding 37 syarikat pada musim haji lepas.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan selaras dengan tanggungjawab TH sebagi peneraju urusan haji negara,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen. Semua bakal jemaah disaran menyemak senarai rasmi PJH berlesen melalui portal TH di www.tabunghaji.gov.my.
“TH menegaskan bahawa sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam). Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu atau agensi yang terlibat dan menyeru semua umat Islam yang berhasrat menunaikan haji agar hanya berurusan dengan PJH yang sah dan dilesenkan oleh TH,” jelasnya lagi.
Senarai Syarikat Pengelola Jemaah Haji 1447H/2026M
TV AlHijrah meneruskan momentum inspirasi rakyat dengan tayangan episod kedua Projek Bangkit pada Sabtu lalu (25 Oktober 2025), menampilkan kisah perjuangan tiga usahawan asnaf yang bangkit menerusi bimbingan, ilmu dan keyakinan diri.
Projek Bangkit, yang mula bersiaran sejak minggu lalu, mengetengahkan kisah benar perjuangan usahawan kecil seluruh Malaysia yang tidak pernah menyerah kalah walaupun berdepan cabaran ekonomi dan kekangan modal. Program ini diterbitkan dengan matlamat untuk memberi inspirasi kepada masyarakat agar terus berusaha memperkukuh daya tahan ekonomi umat melalui keusahawanan berasaskan nilai Islam.
Selepas kejayaan episod sulung yang berpihak kepada usahawan penjagaan rambut iaitu Haziq Haime, episod kedua tampil lebih mencabar dengan persaingan tiga peserta hebat iaitu Mohd Asib Ismail Gany (Burger Asib), Kharudin Harun (Kraftangan Kayu) dan Nurul Asyikin Mohammad (Premium Cookies).
Ketiga-tiganya merupakan usahawan Muslim yang sedang mengorak Langkah di dalam bidang perniagaan serta dinilai oleh barisan juri berpengalaman yang terdiri daripada Dato’ Rosyam Nor, Ajak Shiro dan Talmizi Md Nor wakil usahawan berjaya dari MAIWP, manakala Amin Idris bertindak sebagai hos yang menyatukan semangat dan inspirasi sepanjang rancangan berlangsung.
Menutup tirai minggu kedua, Nurul Asyikin Mohammad diumumkan sebagai pemenang mingguan Projek Bangkit Episod 2 selepas berjaya menonjolkan strategi pemasaran yang mantap, teknik pemasaran kreatif serta inovasi produk Cocokins yang memperlihatkan potensi tinggi untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, episod kedua ini memperlihatkan bagaimana keikhlasan dan kesungguhan mampu menukar titik lemah menjadi kekuatan baharu.
“Setiap peserta membawa kisah perjuangan berbeza tetapi semuanya membuktikan bahawa ilmu, peluang dan semangat mampu membuka jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Tambahnya lagi, Projek Bangkit bukan sekadar memberi ruang kepada peserta untuk membina perniagaan, malah menjadi platform pembentukan jati diri.
“Kami mahu peserta keluar dari zon selesa dan benar-benar memahami erti berdikari. Apabila mereka belajar merancang, berkomunikasi dan memasarkan produk sendiri, di situlah bermulanya kebangkitan sebenar,” jelasnya.
Disiarkan setiap Sabtu, jam 9.00 malam di TV AlHijrah, Projek Bangkit merupakan inisiatif strategik MAIWP dan TV AlHijrah untuk memperkasa komuniti asnaf melalui pendekatan realiti TV yang membimbing peserta secara praktikal, dari latihan asas perniagaan hingga cabaran dunia sebenar.
Episod kedua bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, malah mengingatkan penonton bahawa setiap manusia berhak untuk bermula semula dengan berpaksikan usaha, bimbingan dan kepercayaan bahawa rezeki datang bersama niat yang baik.
Episod penuh Projek Bangkit boleh ditonton semula melalui YouTube TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus, manakala sorotan serta perkembangan peserta dikongsi di platform media sosial rasmi TV AlHijrah.
Projek Bangkit bukan sekadar rancangan televisyen, ia adalah gerakan perubahan, membuka mata masyarakat bahawa asnaf bukan golongan lemah, tetapi pejuang yang sedang mencari peluang untuk berdiri teguh di atas kaki sendiri.