Ringkas, tajam dan tepat! Begitulah 3 perkataan yang boleh diungkapkan seusai mendengar ucapan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.
Apa yang dapat kami simpulkan, terdapat 7 intipati utama ucapan Tun Dr Mahathir
1. Perihal Malaysia Baharu – Semangat Demokrasi, Dasar Dan Pendekatan Kerajaan
Tun Dr Mahathir mengulas mengenai keberanian rakyat Malaysia menukar kerajaan yang telah berkuasa selama 61 tahun secara aman dan tanpa berlaku rusuhan mahupun tumpah darah. Tun Dr Mahathir juga menegaskan mengenai dasar Malaysia baharu yang mengutamakan keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Malaysia Baharu juga menurut Tun Dr Mahathir akan kekal menjadi rakan kepada semua tanpa dan tidak bermusuh dengan sesiapa serta mengangkat falsafah hormati jiran tetangga. Dengan menghormati negara-negara jiran, Malaysia percaya ianya akan menjadikan Malaysia lebih aman, maju dan makmur.
2. Kegawatan Ekonomi, Sosial dan Politik
Tun Dr Mahathir menegaskan dunia kini mengalami kegawatan ekonomi, sosial dan politik yang parah. Pertembungan kuasa-kuasa besar dalam persaingan ekonomi telah menyebabkan seluruh dunia turut merasai tempiasnya. Selain itu, kebebasan dalam konteks sosial telah membawa kepada terhakisnya konsep perkahwinan dan kekeluargaan, nilai moral, hormat dan sebagainya. Manakala politik mengalami kegawatan yang paling teruk apabila perlakuan keganasan dan peperangan menjadi berleluasa.
3. Ancaman Keganasan Yang Lahir Dari Tindakan Pencerobohan Israel Ke Atas Palestin
Tun Dr Mahathir juga menegaskan bahawa ancaman keganasan tidak ditangani dengan betul apabila dunia gagal mengenalpasti punca asal kepada keganasan tersebut. Menurut Dr Mahathir, keganasan yang timbul pada hari ini adalah berpunca dari tindakan merampas tanah dan wilayah Palestin demi mewujudkan Israel. Segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan bertahun-tahun telah cuba dilawan dan ditentang oleh rakyat Palestin dan jiran-jiran yang bersimpati tetapi gagal. Akhirnya, pejuang-pejuang ini memilih jalan yang dipanggil keganasan untuk mendapatkan kembali apa yang telah dirampas dari mereka.
4. Sikap Pilih Kasih Dunia Terhadap Isu Israel -Palestin
Selain itu, Tun Dr Mahathir turut membidas sikap segelintir negara-negara dunia yang bersikap pilih kasih terhadap isu Israel – Palestin. Tun mengkritik sikap membisu negara-negara dunia terhadap tindakan zalim Israel yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa, merampas kapal yang membawa misi kemanusiaan dan pengeboman rakyat Palestin yang tidak berdosa. Menurut Tun, apabila dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, ia telah membakar perasaan rakyat Palestin dan mendorong kearah keganasan dan peperangan yang tidak berpenghujung. Dengan nada sinis, Tun turut menyelar sesetengah negara anggota yang melihat peperangan sebagai satu cara untuk menyelesaikan konflik antara negara.
5. Peperangan Yang Dimanipulasikan
Tun Dr Mahathir berkata, negara pembuat senjata enggan menggunakan senjata-senjata dan bom nuklear yang telah diciptanya. Sebaliknya, senjata-senjata ini telah dibekalkan kepada negara-negara yang bergolak dan menghadapi peperangan untuk diuji kekuatan senjata-senjata tersebut. Tindakan ini tidak lebih sekadar memanipulasikan peperangan antara negara-negara lain demi kepentingan sendiri. Tun Dr Mahathir menambah, negara pengeluar senjata api mengetahui kesan dan akibat penggunaan senjata dan bom nuklear yang mempunyai radiasi dan mampu memberi kesan negatif kepada negara pengguna. Justeru, negara-negara pengeluar cuba mengekalkan keamanan negara mereka dan dalam masa yang sama membekalkan senjata-senjata ini kepada negara yang terlibat dalam peperangan. Peperangan dimanipulasi dan menjadi keuntungan besar buat negara-negara pengeluar senjata. Malah, Tun Dr Mahathir menyifatkan keuntungan yang diperolehi hasil penjualan senjata ini sebagai keuntungan yang tidak bermaruah kerana ia menjadi punca kepada kematian dan kemusnahan yang dahsyat.
6. Perdagangan Bebas – Keadilan Untuk Negara Kecil & Negara Sedang Membangun
Umum masih mengingati kenyataan Tun Dr Mahathir sewaktu berada di China baru-baru ini mengenai perdagangan bukan sahaja perlu bebas malah ia perlu adil. Di perhimpunan kali ini, Tun Dr Mahathir menekankan sekali lagi betapa pentingnya perdagangan bebas yang adil dilaksanakan dikalangan negara-negara dunia. Perdagangan bebas seharusnya tidak bersifat menekan dan perlu adil terutama terhadap negara-negara kecil dan sedang membangun. Selain itu, Tun Dr Mahathir turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk meningkatkan mutu dan kualiti minyak kelapa sawit Malaysia agar setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia akan diperakui mapan menjelang 2020.
7. Retorik Dunia Tanpa Sempadan Yang Tidak Bersifat Inklusif
Di penghujung ucapan, Tun Dr Mahathir membidas sesetengah negara yang giat mempromosi perdagangan bebas dan dunia tanpa sempadan akan tetapi dalam masa yang sama negara-negara inilah yang menyekat pintu sempadannya, menghalang kemasukan produk-produk negara kecil dan mengamalkan nasionalisme yang mementingkan diri sendiri sahaja. Tun juga sempat melontarkan pandangan beliau bahawa PBB selaku badan dunia perlu melalui proses perubahan dimana negara-negara besar dan kaya tidak seharusnya mendakwa mempunyai hak dalam menentukan hala tuju dunia selamanya. Mereka tidak seharusnya memperkudakan moral, melaungkan demokrasi dan perubahan rejim negara lain di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan bangsa bersatu tersebut. Kuasa veto, menurut Dr Mahathir tidak perlu dipegang oleh satu anggota tetap sebaliknya komposisi majlis tersebut perlu dianggotai 2 kuasa besar dan disokong 3 negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan supaya kuasa veto tidak disalahguna demi kepentingan negara-negara tertentu sahaja.
– Munsyeed