“Imran menangis real tu…” – Peminat Puji Lakonan Imran Aqil Dalam Video Muzik Di SisiMu
Imran Aqil dan Hazamin Inteam
Minggu lalu, kumpulan nasyid popular Inteam mengejutkan industri apabila memuat naik status “Hazamin Keluar Inteam” di media sosial.
Status tersebut menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada peminat, dengan ada yang terkejut, tertanya-tanya, dan ada juga yang mula berspekulasi mengenai masa depan kumpulan itu.
Namun, rupa-rupanya ia hanyalah gimik bagi pelancaran single solo pertama Hazamin berjudul Di SisiMu.
Kerjasama Dengan Komposer Dari Indonesia
Sebagai anggota kumpulan Inteam sejak awal penubuhannya, Hazamin kini mencuba sesuatu yang baharu dalam perjalanan seninya dengan tampil secara solo buat pertama kali.
Di SisiMu merupakan hasil ciptaan komposer Arie Tidar dari Indonesia dengan lirik ditulis oleh penulis lirik terkenal, ITO Lara.
Susunan muziknya pula dilakukan oleh komposer Juara Lagu AJL-39; Wan Saleh, yang turut bertindak sebagai sound engineer bersama Kirmizi.
Bonus Trek dalam Album Zikir Munajat
Lebih istimewa, Di SisiMu juga merupakan bonus trek dalam album Zikir Munajat, sebuah projek yang menjadi impian Hazamin sejak sekian lama dan akhirnya bakal direalisasikan pada awal Ramadan ini.
Menurut Hazamin, album ini adalah antara cita-citanya untuk menghasilkan sebuah karya yang penuh dengan elemen zikir dan ketenangan jiwa.
“Lagu Di SisiMu membawa mesej yang mendalam. Ia mengajak pendengar untuk sentiasa merindui dan mendekatkan diri kepada Tuhan, terutama ketika melalui ujian dan kesulitan dalam hidup. Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu peringatan tentang betapa pentingnya mencari ketenangan dalam doa dan zikir kepada-Nya,” ujar Hazamin.
Lagu ini turut melibatkan Fuad Ko sebagai penyanyi latar, dengan proses mixing dan mastering dilakukan oleh Wan Saleh di Inteam Studio dan Rekaman Studio.
Imran Aqil Sebagai Watak Utama
Menariknya, video muzik Di SisiMu turut menampilkan pelakon berbakat besar Imran Aqil sebagai watak utama dalam video muzik tersebut.
Imran begitu menjiwai watak yang diberikan dan berjaya menambah kesan emosi yang telah diberikan oleh Hazamin menerusi video muzik ini.
Turut membantu, penggiat seni Ismail Kassim yang melakonkan watak bapa kepada Imran dan HN Dzulkifly sebagai watak sampingan.
Video muzik Di SisiMu diarahkan oleh Rasyid Amir, yang turut bertindak sebagai editor dan sinematografer bersama Zulfarqan.
Sementara itu, versi audio lagu ini telah pun dilancarkan pada 14 Februari lalu dan mendapat sambutan positif daripada peminat. Rata-rata memuji vokal dan penghayatan Hazamin dalam menyampaikan lagu tersebut.
Video muzik yang dilancarkan hari ini dijangka akan memberi impak yang lebih besar dengan visual yang menyentuh emosi.
Walaupun Di SisiMu merupakan percubaan pertama Hazamin sebagai penyanyi solo, peminat tidak perlu risau kerana beliau masih kekal sebagai anggota Inteam. Gimik pelancaran yang digunakan berjaya mencuri perhatian ramai, membuktikan strategi promosi kreatif daripada pihak Hazamin dan pasukannya.
Dengan kelainan yang dibawa melalui lagu solo ini, Hazamin berharap Di SisiMu mampu memberi ketenangan kepada pendengar serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya solo pada masa akan datang, di samping terus aktif bersama Inteam.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.