Dalam kesibukan memenuhi undangan persembahan serta menerbitkan karya-karya nasyid baru, kumpulan Inteam tidak lupa memenuhi tanggungjawab sosial dengan menyertai Misi Kemanusian Musim Sejuk 2024 ke Lubnan.
Inteam yang dilantik sebagai salah satu ikon kemanusiaan rasmi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia telah berangkat ke Lubnan pada Khamis, 11 Januari 2024 dengan 3 orang anggotanya; Mohd Syahril, Abdul Rahim dan Muhammad Hazamin beserta seorang jurugambar saudara Aminurrasyid.
Manakala saudara Hisyam Ahmad pula tidak dapat turut serta dalam misi kali ini dan beliau akan mewakili Inteam ke Final Anugerah Carta 114 di TV Al-Hijrah pada 13 Januari ini.
“Kami akan mengedarkan bantuan-bantuan musim sejuk berupa makanan panas dan kotak barangan dapur, roti, pakaian dan kelengkapan musim sejuk termasuk selimut dan minyak diesel serta bahan bakar untuk pemanas kepada penghuni khemah-khemah pelarian Syria di Lubnan” ujar Syah Inteam.
Misi kali ini akan menumpukan kawasan perkhemahan di Arsaal sekitar AlBeeqa’ yang bersempadan dengan Syria.
“Ini merupakan misi kali 3 yang disertai anggota kumpulan Inteam bersama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang mana kali pertama dan kedua dahulu kami mengedarkan bantuan musim sejuk di perkhemahan A’azaz bersempadan dengan Turki” Tambah Hazamin.
Ditanya mengenai isu keselamatan di Beirut, Lubnan, Abdul Rahim menjawab “Kami ada menyemak dengan pihak NGO tempatan yang mana kami bekerjasama di Lubnan iaitu URDA (Union of Relief and Development Associations) berkenaan keadaan di sana dan mereka juga akan memastikan keselamatan delegasi sepanjang di Lubnan akan terjaga dengan baik. Mohon doakan kami dapat menjalankan misi ini dengan jayanya dan mencapai objektifnya”
Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2024 turut disertai kumpulan Nasyid UNIC dan Qariah Farhatul Fairuzah yang telah berangkat lebih awal pada 5 Januari yang lalu.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti dan sumbangan boleh layari laman web www.peduliinsan.org dan media sosial Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.