Sudah lebih 4 bulan pemergian allahyarham Suhaimi Saad, namun video-video ‘live‘ allahyarham berkongsi ilmu agama dan nasihat ketika hayatnya, masih mendapat tontonan tinggi di kalangan penonton di TikTok. Pastinya dengan kedatangan bulan Ramadan ini, para pengikut (‘followers‘) yang sering mengikuti sesi langsung (live) saluran TikTok allahyarham, merindui perkongsian ilmu oleh allahyarham.
Menjalani Ramadan pertama tanpa Suhaimi, Ina Naim akui terlalu banyak kenangan manis pada mereka sekeluarga dan amalan-amalan di bulan Ramadan yang telah diterapkan oleh allahyarham kepada Ina dan anak-anak.
Terlalu Banyak Kenangan Bersama Antara Suhaimi, Ina dan Anak-Anak
“Kenangan manis tu sangat banyak terutama di bulan Ramadan ni. Tapi kenangan yang paling indah buat kami adalah apabila dapat mendirikan solat terawih secara bersama (berjemaah). Arwah akan imamkan kami.”
“Bersahur pun sama. Kami akan bersahur bersama-sama. Arwah akan kejut anak-anak untuk bersahur. Bila sahur kami akan makan kurma 3 atau 7 biji. Waktu berbuka kami selalunya buka dengan sederhana. Kami akan makan kurma serta buah-buahan lain 3 atau 7 biji. Yang penting mesti habiskan makanan yang ada. Waktu moreh selepas terawih, biasa kami akan keluar cari makanan yg santai di luar.”
“Kadang-kadang, time dia teringin nak makan sesuatu yang saya tak berapa pandai masak, arwah akan buat dan arwah juga akan hidangkan untuk kami.”
Suhaimi Cermat, Bersungguh-sungguh Makan, Tidak Suka Membazir
Tambah Ina lagi, “Satu yang saya amati, arwah kalau makan dia sangat bersungguh-sungguh dan menikmatinya dengan rasa syukur. Arwah tak suka membazir. Kalau makanan tu tak sedap atau tidak kena dengan selera dia, dia akan tinggal tanpa menghina atau mengutuk.”
“Arwah memang sangat sayangkan Nabi. Bila dia mkn dia akan ingat Nabi sampai boleh menangis. Arwah selalu pesan jangan menghina makanan yang tak sedap, Nabi tak pernah ajar kita macam tu.”
Dorong Anak Untuk Buat Baik
Disamping itu, Ina berkata Suhaimi merupakan seorang guru dan pendorong yang baik untuk anak-anak.
“Amalan yang arwah akan terapkan pada kami pada bulan ramadhan biasanya kena khatam Quran. Arwah akan bagi semangat pada anak-anak contohnya siapa boleh khatam Quran dalam Ramadhan ini akan dapat ganjaran RM300.”
“Arwah juga ajar anak-anak sedekah. Kalau bukan dalam bentuk duit, arwah akan bagi makanan pada jiran-jiran. Dari situ anak-anak melihat dan ikut.”
Ditanya sama ada home schooling berjalan seperti biasa sewaktu Ramadan, Ina menjawab kebiasaan, Suhaimi akan beri ‘cuti’ supaya anak-anak dapat fokus beribadah. “Aktiviti siang memang kami pulun mengaji, waktu Ramadan kelas (home schooling) akan cuti, semua fokus beribadah. Berzikir, selawat, itu semua rutin arwah.”
“Arwah juga didik anak-anak untuk amalkan solat-solat sunat seperti solat sunat sebelum Subuh, Dhuha, Terawih, Solat Sunat Taubat, Witir, dan Tahajud.”
Segala Rutin Yang Telah Diajar, Akan Diteruskan
Ujar Ina lagi, walaupun Ramadan kali ini sedikit berbeza (tanpa Suhaimi), tetapi segala rutin dan amalan yang telah diajar dan diterapkan oleh Suhaimi kepada beliau dan anak-anak, tetap diteruskan dan diamalkan sepanjang bulan Ramadan ini.
Ina dan anak-anak kini menetap di rumah keluarganya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor. Beliau menyara anak-anak dengan mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti dobi, menjual pakaian, produk minuman kesihatan dan produk kecantikan.
“InsyaAllah habis edah akan slow-slow bergerak dan melangkah untuk teruskan hidup dan mencari redha Allah. InsyaAllah,” ucap Ina.