Ketiadaan pelakon, pengarah, dan hos berpengalaman, Khir Rahman, dalam episod awal rancangan Borak Dulu Baru Buka (BDBB) menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia program tersebut.
Walaupun penonton disajikan dengan kemunculan istimewa pelawak Atu Zero yang menggantikan tempat Khir, tetapi masih ada yang bertanya mengenai ketiadaan Khir Rahman dalam rancangan bual bicara popular tersebut.
Perkara ini segera menjadi perbualan di media sosial, dengan ramai yang tertanya-tanya sama ada Khir Rahman telah digugurkan daripada BDBB atau tidak.
Munsyeed Dot Com telah berhubung dengan penerbit rancangan BDBB, Yang Zainal, bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Menurut Yang Zainal, ketiadaan Khir dalam episod awal bukanlah kerana beliau disingkirkan, sebaliknya ketiadaan Khir Rahman kerana beliau mempunyai komitmen lain yang perlu diutamakan pada ketika itu.
“Abang Khir ada. Cuma episod awal ni beliau tak dapat beri komitmen untuk BDBB kerana ada urusan kerja lain. Nantikan kemunculan Khir Rahman. Stay tuned k! Terima kasih sokong BDBB,” katanya sewaktu dihubungi pihak Munsyeed.
Akhirnya, pada hari Ahad, 2 Mac 2025, Khir Rahman kembali ke set BDBB dan kembali mengacarakan program BDBB bersama rakan hos Amin Idris dan Wany Hasrita.
Kehadirannya menghangatkan kembali program yang cukup sinonim dengan perbualan santai, kupasan menarik, dan humor bersahaja ini.
Dengan penjelasan rasmi ini, peminat boleh menarik nafas lega dan terus memberikan sokongan kepada Borak Dulu Baru Buka.
Tonton setiap hari program ini dan rebut peluang untuk menyertai Kuiz Harian BDBB. Hadiah tajaan ASNB menanti penonton yang bertuah.
Sikap penuh kasih sayang antara anak dan ibu kembali mencuri perhatian netizen apabila satu video tular memperlihatkan penyanyi dan peserta Talk To My Manager, Hadie, menghadiahkan kasut kepada ibunya yang juga personaliti terkenal, Ina Naim, di butik Ijmal.
Apa yang lebih mengharukan, Hadie bukan sekadar menghadiahkan kasut tersebut, malah dengan penuh hormat dan kasih sayang, beliau turut memakaikan sendiri kasut itu ke kaki ibunya – satu tindakan yang ramai netizen sifatkan sebagai simbol “act of service” seorang anak soleh yang menyantuni ibunya.
Video yang dimuat naik di media sosial itu kini telah mencecah lebih 85,000 tontonan dan meraih lebih 5,000 tanda suka, dengan komen-komen positif yang memuji keikhlasan dan kelembutan Hadie dalam melayani ibunya.
Antara komen yang menarik perhatian termasuk:
“Sejuk perut ibu mengandung. Moga Hadie terus berjaya dunia akhirat,”
“Beginilah cara seorang anak lelaki menghargai ibu tanpa perlu kata-kata.”
“bahagianya seorang ibu dilayan macam ini sebab ayahnya pun seorang yang cukup sopan”
“Didikan SS (Suhaimi Saad).. seorang bapa yang hebat.. Sejuk mata memandang..”
Sikap Hadie yang terkenal dengan keperibadian sopan dan mesra keluarga ini turut mencerminkan nilai sebenar kasih sayang yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda.
Ramai juga yang memuji hubungan erat antara Hadie dan Ina Naim yang sering ditonjolkan secara semula jadi tanpa dibuat-buat di media sosial.
Hadie yang merupakan finalis program Talk To My Manager Musim Pertama terbitan Astro, kini sedang rancak menyusun karier seninya dengan dibantu oleh Ina Naim yang bertindak sebagai pengurus.
Selain muncul dengan lagu Kias Cinta 2.0 yang dinyanyikan bersama kumpulan nasyid popular, Inteam dan Sallman Elkhoyri, Hadie juga dikatakan sedang dilamar oleh produksi drama yang berminat untuk mengambil Hadie berlakon dalam drama pendek.
Semoga keperibadian Hadie menjadi contoh kepada anak muda di luar sana.
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan Pakej Haji bagi Musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji, Tuan Haji Mohd Hisham Harun berkata Jawatankuasa Urusan Haji telah melaksanakan penilaian ke atas permohonan lesen daripada 60 buah syarikat. Setelah semakan teliti meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu, 31 syarikat telah diluluskan bagi musim 1447H/2026M berbanding 37 syarikat pada musim haji lepas.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan selaras dengan tanggungjawab TH sebagi peneraju urusan haji negara,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen. Semua bakal jemaah disaran menyemak senarai rasmi PJH berlesen melalui portal TH di www.tabunghaji.gov.my.
“TH menegaskan bahawa sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam). Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu atau agensi yang terlibat dan menyeru semua umat Islam yang berhasrat menunaikan haji agar hanya berurusan dengan PJH yang sah dan dilesenkan oleh TH,” jelasnya lagi.
Senarai Syarikat Pengelola Jemaah Haji 1447H/2026M
TV AlHijrah meneruskan momentum inspirasi rakyat dengan tayangan episod kedua Projek Bangkit pada Sabtu lalu (25 Oktober 2025), menampilkan kisah perjuangan tiga usahawan asnaf yang bangkit menerusi bimbingan, ilmu dan keyakinan diri.
Projek Bangkit, yang mula bersiaran sejak minggu lalu, mengetengahkan kisah benar perjuangan usahawan kecil seluruh Malaysia yang tidak pernah menyerah kalah walaupun berdepan cabaran ekonomi dan kekangan modal. Program ini diterbitkan dengan matlamat untuk memberi inspirasi kepada masyarakat agar terus berusaha memperkukuh daya tahan ekonomi umat melalui keusahawanan berasaskan nilai Islam.
Selepas kejayaan episod sulung yang berpihak kepada usahawan penjagaan rambut iaitu Haziq Haime, episod kedua tampil lebih mencabar dengan persaingan tiga peserta hebat iaitu Mohd Asib Ismail Gany (Burger Asib), Kharudin Harun (Kraftangan Kayu) dan Nurul Asyikin Mohammad (Premium Cookies).
Ketiga-tiganya merupakan usahawan Muslim yang sedang mengorak Langkah di dalam bidang perniagaan serta dinilai oleh barisan juri berpengalaman yang terdiri daripada Dato’ Rosyam Nor, Ajak Shiro dan Talmizi Md Nor wakil usahawan berjaya dari MAIWP, manakala Amin Idris bertindak sebagai hos yang menyatukan semangat dan inspirasi sepanjang rancangan berlangsung.
Menutup tirai minggu kedua, Nurul Asyikin Mohammad diumumkan sebagai pemenang mingguan Projek Bangkit Episod 2 selepas berjaya menonjolkan strategi pemasaran yang mantap, teknik pemasaran kreatif serta inovasi produk Cocokins yang memperlihatkan potensi tinggi untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, episod kedua ini memperlihatkan bagaimana keikhlasan dan kesungguhan mampu menukar titik lemah menjadi kekuatan baharu.
“Setiap peserta membawa kisah perjuangan berbeza tetapi semuanya membuktikan bahawa ilmu, peluang dan semangat mampu membuka jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Tambahnya lagi, Projek Bangkit bukan sekadar memberi ruang kepada peserta untuk membina perniagaan, malah menjadi platform pembentukan jati diri.
“Kami mahu peserta keluar dari zon selesa dan benar-benar memahami erti berdikari. Apabila mereka belajar merancang, berkomunikasi dan memasarkan produk sendiri, di situlah bermulanya kebangkitan sebenar,” jelasnya.
Disiarkan setiap Sabtu, jam 9.00 malam di TV AlHijrah, Projek Bangkit merupakan inisiatif strategik MAIWP dan TV AlHijrah untuk memperkasa komuniti asnaf melalui pendekatan realiti TV yang membimbing peserta secara praktikal, dari latihan asas perniagaan hingga cabaran dunia sebenar.
Episod kedua bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, malah mengingatkan penonton bahawa setiap manusia berhak untuk bermula semula dengan berpaksikan usaha, bimbingan dan kepercayaan bahawa rezeki datang bersama niat yang baik.
Episod penuh Projek Bangkit boleh ditonton semula melalui YouTube TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus, manakala sorotan serta perkembangan peserta dikongsi di platform media sosial rasmi TV AlHijrah.
Projek Bangkit bukan sekadar rancangan televisyen, ia adalah gerakan perubahan, membuka mata masyarakat bahawa asnaf bukan golongan lemah, tetapi pejuang yang sedang mencari peluang untuk berdiri teguh di atas kaki sendiri.