Kolum
0 comments

Asri Ibrahim Perjuangkan Nadamurni

by on December 2, 2010
 

Nada Murni adalah Asri Ibrahim?

Jika di dalam hati sudah kita semat dengan sifat perjuangan, sampai bila-bila sifat perjuangan itu akan bertapak di dalam diri. Semakin hari, perjuangan menjadi darah daging dalam seluruh kehidupannya. Alangkah bahagia hati insan ini yang terus berjuang sehinggalah di hujung kehidupannya.

Dibesarkan di dalam keluarga yang sememangnya berdarah perjuangan Islam, Asri Ibrahim membesar dengan dikelilingi kehidupan Islam. Zaman kanak-kanak, zaman remaja yang sudah didedahkan dengan kehidupan beragama memperteguhkan lagi pegangan beliau terhadap perjuangan Islam.

Asri Ibrahim bukanlah seorang yang tinggi kelulusan akademiknya. Tetapi beliau ditinggikan martabat oleh Allah swt melalui hatinya yang tulus ikhlas berjuang dari awal hidup sehingga hari terakhirnya. Itulah bukti janji Allah yang dinyatakan dengan jelas sepertimana di dalam surah Muhammad ayat ke 7

‘jika kamu menolong agamaku, nescaya aku akan menolong kamu dan memperteguhkan kedudukan kamu’

Janji Allah sememangnya pasti. Asri Ibrahim berjuang pada landasannya yang tersendiri. Beliau diberi kedudukannya yang tersendiri.

Asri Ibrahim mula menjinakkan diri pada bidang seni suara apabila di angkat sebagai vokalis utama kumpulan nasyid di bawah pertubuhan Al-Arqam. Al-Arqam pada zaman tersebut merupakan salah satu pertubuhan yang aktif memperjuangkan Islam melalui pelbagai sudut termasuk ekonomi, kepimpinan, perniagaan, pendidikan, dan sebagainya. Seni hiburan merupakan salah satu cabang perjuangan Al-Arqam.

Titik permulaan percubaan cabang seni di dalam perjuangan Al-Arqam mendapat respon yang sangat menggalakkan daripada pendengar yang kebanyakannya terdiri daripada pengikut pertubuhan Al-Arqam ini sendiri. Bayangkan di setiap negeri mempunyai cawangannya tersendiri. Secara tidak lansung, kemunculan satu-satunya cabang hiburan di dalam Al-Arqam mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Menyedari akan hal itu, Asri Ibrahim bersama rakan-rakannya yang diperingkat awal memperkenalkan hiburan kepada Al-Arqam mendapat idea yang lebih bernas. Hiburan di dalam Al-Arqam harus diketengahkan dengan lebih serius. Organisasi mesti disusun dengan kemas. Dan semuanya dibincangkan agar cabang hiburan Al-Arqam menjadi lebih disegani.

Nada Murni ditubuhkan secara rasmi dengan perasaan yang berbunga-bunga. Semua yang terlibat dengan penubuhan Nada Murni berasa amat teruja untuk berjuang kerana itulah satu-satunya jalan perjuangan Islam yang berteraskan hiburan.

Dengan adanya Nada Murni, kehidupan Al-Arqam dilihat lebih berseri-seri. Tidak kira lapisan umur, semua ahli Al-Arqam hanya dihiburkan oleh Nada Murni.

Kelunakan suara Asri Ibrahim yang boleh dikatakan sebagai nadi Nada Murni tidak boleh dipertikaikan lagi. Kemunculan Asri Ibrahim boleh di anggap anugerah tidak ternilai buat bidang seni hiburan di dalam Al-Arqam.

Nada Murni terus berjuang dengan pelbagai sudut. Menghasilkan pelbagai album. Penghasilan album yang asalnya hanya di gelung simen, secara berperingkat semakin maju dengan wujudkan studio rakaman sendiri. Itulah kemanisannya perjuangan itu apabila semuanya dilalui bersama-sama dari zaman susah hinggalah seterusnya.

Asri Ibrahim seorang yang tidak lokek mendidik ahli kumpulannya. Beberapa orang dilantik sebagai vokalis Nada Murni. Perkara ini bagi menampakkan Nada Murni bersifat kebersamaan. Dalam masa yang sama juga, kumpulan Nada Murni mampu untuk membuat persembahan di beberapa tempat dalam satu masa. Pengurusan Nada Murni semakin kemas dari sehari ke sehari.

Perjuangan Nada Murni melangkaui sempadannya. Bermula hanya persembahan di markas Al-Arqam dan mana-mana majlis Al-Arqam, mereka menerokai dunia yang lebih luas. Kemasukan beberapa orang penting dalam pengurusan Nada Murni menjadi faktor peningkatan yang lebih luas buat Nada Murni. Antaranya seperti kemasukan Farihin Abd Fatah yang dikatakan pemangkin perubahan dakwah Nada Murni.

Nada Murni telah berani membuat persembahan di pentas yang lebih besar seperti di Dataran Merdeka. Tidak terkecuali mereka turut membuat persembahan di pusat-pusat hiburan dan disco. Dengan penampilan pakaian mereka yang berjubah dan berserban, berbekalkan hati yang tulus ikhlas, mereka mampu menjalankan semua undangan persembahan dengan baik.

Perjuangan Nada Murni turut dilakukan melalui penyiaran dan persembahan di media. Memasuki Angkasapuri untuk berkerjasama dengan RTM. Juga bersama-sama TV3 dan juga mana-mana media seperti radio dan akhbar.

Lagu-lagu Nada Murni sering disiarkan di siaran televisyen. Satu kejayaan yang sangat baik. Asri Ibrahim dan rakan-rakannya mula merasai perjuangan mereka menjadi semakin jauh, semakin tinggi, dan semakin menyeronokkan. Setiap ahli kumpulan Nada Murni sangat teruja.

SAAT SAAT KEJUTAN

Bagaikan halilintar menerjah ke bumi, bagaikan dentuman guruh mengejutkan penghuni alam. Asri Ibrahim bersama rakan-rakan Nada Murni sangat tersentak apabila mendengar berita Al-Arqam diperintah dibubarkan oleh Kerajaan Malaysia.

Lidah kelu untuk berkata-kata. Masing-masing diam seribu bahasa. Menunggu arahan dari ketua mereka yang ketika itu menjadi buruan.

Keadaan menjadi tidak tenteram. Lagu-lagu Nada Murni dan The Zikr pada ketika itu menggambarkan perasaan mereka yang berasa ketidaktentuan. The Zikr merupakan kumpulan di bawah syarikat rakaman yang sama.

Akhirnya, Al-Arqam dibubarkan. Mimpi buruk setiap malam bertukar menjadi realiti. Asri Ibrahim agak resah memikirkan halatuju dirinya dan ahli-ahli Nada Murni yang lain.

Mereka terkapai-kapai mencari pegangan. Ashaari Muhammad, pemimpin utama Al-Arqam dan orang kanannya yang lain telah ditahan dan di ISA kan. Asri Ibrahim terus berfikir di dalam kekalutan.

Perbincangan bersama-sama rakan-rakan Nada Murni dibuat. Mereka harus meneruskan perjuangan. Mereka tidak mahu terbubar seperti mana bubarnya pertubuhan mereka Al-Arqam. Asri Ibrahim meluahkan isi hati agar terus mengekalkan Nada Murni tanpa berpecah. Asri Ibrahim mahu terus bersama rakan-rakannya di dalam Nada Murni. Beliau sangat sayangkan Nada Murni. Nada Murnilah yang menyatukan mereka, berkasih sayang, bergelak ketawa. Nada Murni adalah kehidupannya. Linangan air mata sudah tidak tertahan. Hari esok yang masih tidak pasti….

Asri Ibrahim mahu Nada Murni terus kekal sebagai sebuah kumpulan walaupun Al-Arqam sudah tiada lagi. Segala perancangan terpaksa di susun semula. Dalam keadaan sudah tiada siapa yang boleh diharapkan. Tiada lagi abuya, tiada lagi sesiapa.

Apa yang berlaku seterusnya? Mungkin kita tak tahu apa yang sebenarnya terjadi di dalam Arqam, Nada Murni, dan Asri Ibrahim… Nantikanlah episod seterusnya……..

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response