Ideal satu ketika dahulu sebelum melakukan comeback
Nama Aidil mungkin agak baru di kalangan pendengar nasyid. Namun, buat mereka yang mengikuti perjalanan kerjaya seni anak muda ini, pastinya Aidil bukan tergolong dalam kategori artis nasyid baharu. Dengar sahaja kemantapan paduan vokal mereka yang begitu terserlah, membuktikan Aidil adalah artis nasyid yang cukup berpengalaman dalam industri nasyid itu sendiri.
Menyorot kembali sejarah Aidil, mereka dahulunya dikenali sebagai Ideal. Kumpulan yang dianggotai 4 orang jejaka tampan ini memulakan karier sebagai artis nasyid apabila tampil dengan album pertama berjudul Bukalah Hatimu pada tahun 2004.
Selepas album pertama, Ideal seakan menyepikan diri. Hanya memenuhi undangan persembahan sekitar Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang, mungkin telahan kami masing-masing mula sibuk dengan urusan peribadi masing dan dengan kerjaya tetap masing-masing.
Rebranding! Ideal Menjadi AIDIL
2010, Ideal membuat comeback dengan mendapat sentuhan kreatif komposer muda, Hafiz Hamidun, Ideal melakukan ‘rebranding’ dari nama Ideal kepada Aidil. Kumpulan Aidil diperkenalkan semula oleh Hafiz Hamidun kepada media sewaktu Majlis Berbuka Puasa Bersama Hafiz Hamidun di Royal Chulan Hotel Ramadhan tahun lalu. Hari demi hari, Hafiz Hamidun dan Aidil bertungkus lumus untuk menyiapkan buah tangan terbaru mereka khas untuk para peminat, akhirnya pada pertengahan 2011, Aidil muncul dengan album terbaru mereka- Cuba. Menampilkan 8 track lagu baharu, Aidil melakukan comeback dengan penuh gaya dan tersendiri.
2 lagu mereka sudah dihadam baik oleh pendengar apabila ia menjadi lagu tema OST untuk 2 drama televisyen tempatan iaitu Ku Yakin Berlaku (Drama Ku Yakin Berlaku, Astro Oasis) dan Cuba (Drama Slot Zehra di TV3).
Pendakwah Juga Perlu Stylish
Bagi Aidil, transformasi yang mereka lakukan ini sesuai dengan peredaran masa. Tampil lebih matang dan segak dengan pakaian kasual, Aidil menolak persepsi bahawa artis nasyid perlu sentiasa berbaju melayu sebagai uniform rasmi penasyid.
“Kita perlu melakukan perubahan seiring dengan perubahan zaman. Walaupun tampil tanpa mengenakan ‘uniform rasmi penasyid’, tetapi ia bukan penghalang untuk kami terus berkarya dan menyampaikan dakwah melalui medium nasyid. Kami sedia tampil berbeza untuk sesuatu yang lebih besar di masa akan datang.” Ujar Fadzli, salah seorang ahli kumpulan Aidil.
“Dakwah itu seiringan dengan zaman. Saidina Umar ra juga pernah berkata, didiklah anakmu mengikut zamannya. Disini, kita lihat teknik dakwah itu perlu diseragamkan dengan zaman serta teknologi terkini. Mesejnya tetap sama, mungkin cara ia disampaikan dan diadaptasi mungkin berbeza mengikut golongan usia.” tambah Fadzli.
Kontroversi Bukan Pilihan Kami – AIDIL
Menyentuh persoalan sama ada kontroversi diperlukan oleh artis sebagai batu loncatan untuk dikenali dalam industri, Aidil memilih untuk tidak menjadikan kontroversi sebagai pakaian mereka. Bagi Aidil, kontroversi bukanlah pilihan Aidil untuk berjaya dan dikenali dalam insdustri muzik tanahair.
“Kontroversi itu sendiri ada yang positif dan negatif. Tidak dinafikan, artis perlukan kontroversi untuk cepat dikenali. Tetapi biarlah kontroversi itu datang daripada perkara yang positif, baik-baik dan bukan kontroversi negatif yang boleh mencalarkan imej penasyid. Aidil memilih untuk maju dengan cara yang lebih luas tanpa terlibat dengan sebarang kontroversi. Kami mengutamakan kualiti kumpulan berbanding hal peribadi untuk dijaja kepada media” balas Fadzli dan Jasminor, ahli kumpulan Aidil.
Lagu Cuba Ungguli Carta, Jadi OST Drama
“Alhamdulillah, berkat sokongan peminat, lagu Cuba sudah mencapai 50,000 views di laman Youtube. Lagu tersebut mendapat perhatian ramai apabila ia menjadi lagu OST untuk drama Keranamu Laila di Slot Zehra, TV3. Lagu tersebut juga pernah menjuarai Carta Nasyid IKIM.FM selama berminggu-minggu. Terima kasih kami ucapkan buat para peminat yang tidak jemu menyokong dan mempercayai bakat kami.” Ucap Fadzli sebelum mengakhiri temubual bersama wakil Munsyeed{Dot}Com.
Aidil kini tampil lebih stylish
Aidil kini dianggotai oleh 5 orang jejaka dari kiri Hafrul, Syah, Syam, Jas dan Fadzli. Album terbaru mereka, Cuba telah diterbitkan oleh Arteffects International, syarikat milik Hafiz Hamidun yang beroperasi di Neo Damansara. Selamat berjaya kepada Aidil! -Munsyeed{Dot}Com