Kontroversi tajuk lagu tak seiring dengan persembahan? Ini Jawapan Fetya!
Kumpulan nasyid Neo Haraki, Fetya, sekali lagi membuktikan dominasi kesungguhan mereka dalam industri muzik apabila berjaya merangkul Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Carta IKIM 2025 yang berlangsung pada 3 Januari 2026. Kemenangan ini diraih menerusi lagu mereka, “Taufan Al-Aqsa”.
Kejayaan ini mengukuhkan pencapaian mereka sebelum ini yang telah memenangi Anugerah Persembahan Terbaik di Anugerah Carta 114 2025 terbitan TV AlHijrah, melalui lagu mereka, “Balaklava”. Kedua-dua lagu ini terus memperkasa genre Neo Haraki, yang kekal menjadi teras identiti kumpulan ini.
Persembahan Tanpa Bendera Palestin?
Selain persembahan mereka yang penuh bertenaga, Fetya pada malam anugerah tersebut turut menarik perhatian dengan penggunaan simbol visual tanpa paparan simbol yang sinonim dengan Palestin.
Menjawab spekulasi dan pertanyaan peminat mengenai simbol yang dipaparkan di skrin LED besar yang mengiringi persembahan mereka (simbol segi tiga terbalik merah), Fetya menjelaskan bahawa setiap apa yang mereka persembahkan membawakan makna tersendiri.
“Ia adalah simbol PERLAWANAN dan PERTEMBUNGAN para pejuang yang ingin kami bawakan bersama dalam persembahan kami pada malam itu,” jelas Fuad mewakili kumpulan Fetya.
Beliau turut menjelaskan mengapa bendera Palestin tidak dipaparkan secara langsung di skrin.
“Memang sengaja kami buat begitu. Kami nak bawa para penonton lebih jauh dan mendalam dari bendera Palestin itu sendiri. Kita tampilkan semangat dan ruh perjuangan supaya hadirin dapat menghayati TEMA PERJUANGAN DAN PERLAWANAN para pejuang di sana,” ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, simbol segi tiga terbalik berwarna merah yang digunakan secara berulang-ulang dalam persembahan tersebut adalah simbol yang sering digunakan oleh para pejuang di sana semasa perang Taufan Al-Aqsa, sebagai tanda meletakkan target kepada musuh.
“Vibe yang sama kami ingin bawakan ke dalam persembahan kami agar para penonton dipasak dengan minda yang mendalam bahawa ini adalah perjuangan dan pertembungan seluruh umat Islam dalam membebaskan Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama kita. Pertembungan ini perlu melibatkan seluruh paksi kekuatan umat Islam agar ia bebas merdeka,” kata Fuad lagi, menegaskan mesej mendalam yang ingin disampaikan melalui karya dan persembahan mereka.
Kumpulan Fetya yang dianggotai oleh Bilal, Fuad, Syed Salahuddin, Muawwidz, Naim dan Nuaim berharap agar kejayaan ini dapat terus menyuntik semangat perjuangan dan kesedaran dalam kalangan peminat dan masyarakat Islam secara amnya
Usamah Kamaruzaman
Berkerjaya sebagai tukang kebun terhebat dunia, beliau juga bertanggungjawab dengan bahan berita penasyid tempatan & antarabangsa di Munsyeed Dot Com.