“Lagu ini untuk mereka yang sedang berjuang dalam senyap… you’re not alone!” – Aswan Muncul Dengan Lagu ‘It’s Okay’
Ketika muzik sering kali menjadi wadah melarikan diri dari realiti kehidupan, penyanyi solo kelahiran Sabah, Aswan Anwar tampil berani mendedahkan realiti kehidupan sebenar menerusi single terbarunya It’s Okay. Malah It’s Okay hadir sebagai suara yang mewakili mereka yang sedang bergelut dengan kesukaran hidup dalam senyap.
“Pada saya It’s Okay bukan sekadar lagu, ia adalah mantera yang saya ulang-ulang kepada diri sendiri ketika menghadapi kesukaran.
“Selain zikir, adakala kita kena bercakap juga dengan diri sendiri. Pujuk diri dengan kata-kata pujukan.
“Kadang-kadang kita ni terlalu keras pada diri sendiri, lupa yang kita juga manusia yang perlu masa untuk pulih dan bangkit semula,” jelas Aswan lagi.
“Saya percaya bila Tuhan hadirkan setiap kesukaran yang kita hadapi, semua itu pasti ada tujuannya.
“Seperti hujan yang turun untuk menyuburkan bumi, air mata yang mengalir juga ada hikmahnya. Ini antara mesej utama yang cuba saya sampaikan melalui It’s Okay.
“Lagu ini saya tujukan khas buat mereka yang sedang berjuang dalam senyap. Yang tersenyum di luar tapi bergelut di dalam. Saya mahu mereka tahu, it’s okay untuk rasa lemah, it’s okay untuk menangis.
“Tahun baru selalunya disambut dengan azam dan harapan baru. Tapi saya mahu ingatkan, it’s okay juga kalau kita masih membawa luka lama. Yang penting, kita terus melangkah ke hadapan.
“Seperti pohon bambu yang ditiup angin kencang, kita mungkin bengkok tapi tidak akan patah. Inilah kekuatan yang ada dalam diri setiap insan.”
Berkongsi lebih lanjut tentang proses kreatif disebalik lagu ini, Aswan menjelaskan perjalanan kehidupannya yang lalu banyak mempengaruhi karya terbarunya itu.
“Saya mahu mencipta sesuatu yang boleh menjadi pelukan maya kepada pendengar. Untuk itu saya bawakan pengalaman peribadi dan cerita-cerita yang dikongsi rakan-rakan seperjuangan dalam bait-bait lirik lagu ini.
Tambah menarik lagi, kehadiran Adeep Nahar dalam penghasilan lagu itu membawa dimensi baru kepada penyampaiannya. “Adeep memahami sepenuhnya visi saya untuk lagu ini. Dia bukan sahaja membantu dari segi teknikal, tetapi turut menyumbang kepada aspek emosi lagu,” puji Aswan.
Tambah Adeep pula, penyampaian Aswan dilihat istimewa dengan caranya tersendiri. “Bagi saya, setiap artis ada cerita untuk dikongsi, tetapi cara Aswan menterjemahkan pengalamannya ke dalam lagu ni sangat istimewa,” komen Adeep Nahar yang turut membantu menjayakan rakaman It’s Okay.
“Harapan saya mudah. Kalau lagu ini boleh memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar untuk terus melangkah ke hadapan dan move on, ia sudah cukup bermakna buat saya.
“Mudah-mudahan bila orang dengar lagu ini, mereka akan sedar yang mereka tidak keseorangan. Kita semua ada masa sukar, dan it’s okay untuk mengambil masa untuk sembuh.”
Melengkapkan pengalaman audio, It’s Okay turut hadir dengan filem pendek yang memaparkan perjalanan emosi yang digarap dalam lagu.
Single It’s Okay terbitan Tarbiah Sentap Records kini boleh distrim di semua platform muzik. Manakala filem pendek yang mengiringinya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Tarbiah Sentap.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.