Hari ini bukan sahaja hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025, tetapi hari ini juga merupakan hari pertama penyampai radio terkenal Tyzo Xander bertugas di konti radio IKIMfm.
Tyzo atau nama sebenar beliau Tuah Zolqarnain Idris mengendalikan segmen Inspirasi Pagi yang bersiaran dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi setiap Isnin hingga Jumaat. Menerusi segmen Inspirasi Pagi IKIMfm ini, Tyzo akan bergandingan bersama 2 penyampai IKIMfm; Suffian Amrin dan Luqman Hakim.
Rata-rata pendengar melahirkan rasa teruja dengan kemunculan semula Tyzo di konti radio. Dengan cara penyampaian bersahaja dan ceria, gandingan Tyzo dan Suffian Amrin serta dibantu Jalal Zaiki pada pagi tadi, nyata memberi nafas baharu untuk segmen Inspirasi Pagi.
Antara komen para pendengar yang sempat kami lihat di media sosial:
“Dah layan pagi tadi. Best. Semoga terus sukses IKIMfm.” – Ku Atikah
“Best. Saya suka. Ceria sungguh IKIMfm pagi ini.” – Nazihah Amerudin
“Saya pendengar baru IKIMfm. Moga kita semua dapat manfaat dari kebaikan ini.” – Akmar Hakim
“Lain macam IKIMfm pagi ni. Suka la.” – Siti Nursyahida
“Tyzo dan Suffian ni saling melengkapi. Tidak ada yang lebih menonjol, tidak ada yang terkebelakang. Perfect match dan ada chemistry antara mereka. Tunggu Luq pula esok.” – Ashri Saleh
“Asbab untuk tarik ramai lagi orang dengar ilmu agama.” – Adnan Ismail
Penulis Lirik prolifik, ITO Lara juga turut memuji gandingan mantap Tyzo bersama Suffian. “Pagi-pagi sudah menjala (roti jala) sambil mendengar celoteh DJ Pian, Jalal dan Tyzo di IKMFM. Mantap Tyzo bersama DJ Pian dan Jalal yang sedia mantap. Syabas Tyzo. Satu pilihan yang tepat.”
Tahniah diucapkan kepada Tyzo dan IKIMFM. Semoga sinergi ini memanfaatkan ummah.