Connect with us

Berita

MAIWP dan TV AlHijrah Jalin Kerjasama, Terbit Program Realiti Usahawan – “Projek Bangkit”

Diterbitkan

pada

TV AlHijrah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama media, dakwah dan pembangunan insaniah.

Kolaborasi ini memberi penekanan kepada penerbitan kandungan kreatif, promosi program MAIWP, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta inisiatif pembangunan ummah yang menyeluruh.

Antara projek utama yang akan digerakkan hasil pemeteraian MoU ini ialah Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan yang julung kali dianjurkan oleh MAIWP dengan kerjasama TV AlHijrah. Program ini bakal menjadi platform transformasi bagi mengetengahkan usahawan MAIWP, mengangkat produk mereka ke peringkat nasional dan memberi peluang kepada peserta bersaing secara sihat untuk merebut pelbagai insentif serta sokongan perniagaan.

Projek Bangkit akan disiarkan di TV AlHijrah selama lapan minggu, dengan tujuh episod pertandingan berdurasi 60 minit dan episod akhir berdurasi 90 minit. Setiap minggu, tiga peserta akan mempersembahkan produk dan idea perniagaan mereka di hadapan panel juri yang terdiri daripada wakil MAIWP, TV AlHijrah serta usahawan selebriti jemputan.

Juara keseluruhan Projek Bangkit bakal meraih geran RM50,000 daripada MAIWP serta penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1 juta daripada TV AlHijrah. Selain itu, setiap peserta akan mendapat pendedahan eksklusif menerusi slot promosi dan temubual khas dalam program Assalamualaikum, liputan di Berita AlHijrah, penerbitan kapsul media sosial di TikTok dan Facebook TV AlHijrah, serta platform digital seperti YouTube dan AH Plus.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, kerjasama ini adalah langkah penting memperkukuh agenda pemberdayaan ekonomi ummah.

“Projek Bangkit bukan sekadar pertandingan, tetapi medan membina keyakinan dan membuka ruang baharu kepada usahawan untuk berkembang. Kami yakin sinergi bersama MAIWP mampu menjadikan program ini sebagai batu loncatan besar bagi peserta yang terpilih,” katanya.

Beliau turut menegaskan MoU ini selaras dengan misi TV AlHijrah untuk kekal sebagai stesen penyiaran Islam utama negara.

“Kami berbangga dapat menjadi medium penyiaran rasmi yang mengangkat kisah kejayaan usahawan MAIWP. Dengan sokongan produksi dan platform penyiaran TV AlHijrah, Projek Bangkit akan mencipta impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada masyarakat luas yang menyaksikannya,” ujarnya.

Beliau menambah, TV AlHijrah melihat kerjasama ini sebagai bukti bahawa media berperanan sebagai agen perubahan sosial.

“Projek Bangkit bukan sekadar tontonan, tetapi inspirasi. Kami mahu menjadikan televisyen Islam sebagai pemacu lahirnya usahawan baharu yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga membawa nilai keberkatan dalam perniagaan mereka.

“TV AlHijrah amat mengalu-alukan peluang kerjasama dengan badan- badan kerajaan dan organisasi berkepentingan pada masa hadapan, bagi melahirkan program-program transformasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat,” tambah beliau.

Kerjasama yang terjalin di antara TV AlHijrah dan MAIWP adalah penanda aras bermulanya era baharu kolaborasi strategik yang menggabungkan kepakaran MAIWP dalam pembangunan ummah dengan kekuatan TV AlHijrah sebagai medium penyiaran Islam berautoriti.

Majlis ini disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak serta warga kerja yang optimis kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan.

Berita

“Bangga lihat Kumpulan Aeydan mampu pimpin jemaah umrah…” – Rabbani Terharu Aeydan Jadi Mutawif Muda The Mahabbah

Diterbitkan

pada

Kumpulan nasyid Aeydan membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni dan dakwah mereka apabila kini bergelar mutawif, membimbing jemaah Malaysia menunaikan ibadah umrah. Mereka kini berkhidmat di bawah syarikat pengurusan umrah dan ziarah, The Mahabbah.

Perkembangan ini dikongsi dengan penuh rasa kesyukuran oleh kumpulan Rabbani selaku mentor dan juga bapa kepada anggota kumpulan Aeydan menerusi satu hantaran media sosial terhadap usaha dakwah Aeydan yang semakin meluas.

“Alhamdulillah, syukur. Malam ini kami berasa bangga melihat anak-anak Kumpulan Aeydan melangkah setapak lagi dalam perjalanan mereka kini sebagai Mutawif The Mahabbah, membawa jemaah serta ahli keluarga MATHAF menunaikan ibadah umrah. Semoga segala urusan kalian dipermudahkan dan perjalanan pergi serta pulang diberkati,” tulis Rabbani dalam hantaran tersebut.

Aeydan, yang sebelum ini dikenali melalui lagu Bintang dan Purnama, kini membawa pendekatan dakwah secara lebih dekat dengan masyarakat melalui bimbingan ibadah di Tanah Suci. Penglibatan mereka sebagai mutawif ini memperlihatkan keupayaan mereka dalam menyatukan seni, spiritual dan khidmat komuniti dalam satu misi yang murni.

Langkah ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada penggiat seni lain, malah menunjukkan generasi baharu kumpulan nasyid kini mampu meluaskan peranan mereka dalam pelbagai medium dakwah demi manfaat ummah.

Dengan semangat dan keikhlasan yang dibawa, Aeydan terus mengukuhkan perjalanan seni mereka dengan penuh erti, moga terus diberkati Ilahi.

Continue Reading

Berita

“Seramnya bukan untuk menakutkan tetapi…” – TV AlHijrah Tayang Telefilem Seram – Bisikan Qarin

Diterbitkan

pada

TV AlHijrah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen penyiaran Islam terulung negara dengan pelancaran telefilem terbaharu berjudul Bisikan Qarin. Karya yang menggabungkan genre seram dan dakwah ini bakal menemui penonton pada Ahad, 9 November 2025, jam 9.00 malam, di saluran TV AlHijrah.

Namun, buat pertama kali dalam sejarah, penonton berpeluang menyaksikan Bisikan Qarin lebih awal menerusi platform penstriman AlHijrah Plus (AH+) bermula 6 November 2025 — tiga hari sebelum siaran rasmi di televisyen. Langkah proaktif ini merupakan sebahagian daripada strategi transformasi digital TV AlHijrah dalam memperluas capaian dakwah melalui kandungan Islamik berkualiti tinggi di ruang maya.

Diarahkan oleh Ayie Mustafa dan diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd., Bisikan Qarin memaparkan kisah Dr. Hilal dan keluarganya yang berdepan gangguan ghaib setelah berpindah ke sebuah rumah lama di kampung. Bagaimanapun, gangguan yang dialami tidak sekadar mencetuskan ketakutan, malah menguji keutuhan iman dan keteguhan akidah mereka.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, telefilem ini melambangkan komitmen stesen tersebut untuk terus menghasilkan kandungan Islamik yang mematuhi prinsip syariah, meskipun dalam genre popular seperti seram.

“Kami tidak sesekali berkompromi dalam soal akidah. Setiap elemen dalam Bisikan Qarin diteliti agar tidak menyeleweng daripada prinsip Islam. Seramnya bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan betapa tipisnya batas antara iman dan ilusi,” jelas beliau.

Zulkarnaen menambah bahawa usaha ini seiring dengan misi TV AlHijrah untuk mendidik hati dan minda penonton melalui karya seni yang mendalam dan memikat.

“Jika selepas menonton telefilem ini, penonton terdorong untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah, maka matlamat dakwah melalui hiburan ini telah berjaya.”

Sesi pratayang media turut menampilkan perkongsian oleh Syed Ali Alattas bin Syed Hassan, Eksekutif Kanan Unit Pematuhan Syariah TV AlHijrah, yang mengupas pendekatan syarak dalam pembikinan telefilem.

“Dalam Islam, elemen seram harus diperhalusi agar tidak menyebabkan kekeliruan akidah. Bisikan Qarin berjaya menyeimbangkan hiburan dan kefahaman agama — mengajar kita bahawa gangguan sebenar bukan daripada makhluk ghaib, tetapi daripada hati yang alpa daripada zikir.”

Telefilem ini dibintangi barisan pelakon terkenal tanah air seperti Ashraf Muslim, Nadiya Nisaa, Intan Ladyana, Fezrul Khan, dan Rashidah Jaafar. Ia membawa penonton menyelami gelombang emosi dan kepercayaan dalam keluarga Muslim yang diuji, sambil menyeru masyarakat kembali kepada Al-Quran dan sunnah sebagai pelindung daripada kecelaruan spiritual moden.

Bisikan Qarin merupakan sebuah tazkirah halus yang mengingatkan bahawa ketakutan yang hakiki bukanlah pada makhluk ghaib, tetapi pada hati yang jauh daripada Allah.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan telefilem istimewa ini pada Ahad, 9 November 2025, jam 9.00 malam di TV AlHijrah — atau dapatkan akses tayangan awal bermula 6 November menerusi aplikasi AlHijrah Plus (AH+).

Kerana dalam dunia penuh godaan dan ketakutan… hanya imanlah yang menjadi benteng terakhir kita.

Continue Reading

Berita

“Sebak tengok Hadie layan ibu dia macam itu…” – Netizen Puji Arwah Suhaimi Saad Pandai Didik Anak

Diterbitkan

pada

Hadie dan Ina Naim

Sikap penuh kasih sayang antara anak dan ibu kembali mencuri perhatian netizen apabila satu video tular memperlihatkan penyanyi dan peserta Talk To My Manager, Hadie, menghadiahkan kasut kepada ibunya yang juga personaliti terkenal, Ina Naim, di butik Ijmal.

@hadiefc

Santuni ibumu kerana disitu syurgamu. ❤️ #Hadie #inanaim #ibu #ijmalshoes @Ijmalofficial #ijmal

♬ original sound – Hadie FC – Hadie FC

Apa yang lebih mengharukan, Hadie bukan sekadar menghadiahkan kasut tersebut, malah dengan penuh hormat dan kasih sayang, beliau turut memakaikan sendiri kasut itu ke kaki ibunya – satu tindakan yang ramai netizen sifatkan sebagai simbol “act of service” seorang anak soleh yang menyantuni ibunya.

Video yang dimuat naik di media sosial itu kini telah mencecah lebih 85,000 tontonan dan meraih lebih 5,000 tanda suka, dengan komen-komen positif yang memuji keikhlasan dan kelembutan Hadie dalam melayani ibunya.

Antara komen yang menarik perhatian termasuk:

  • “Sejuk perut ibu mengandung. Moga Hadie terus berjaya dunia akhirat,”
  • “Beginilah cara seorang anak lelaki menghargai ibu tanpa perlu kata-kata.”
  • “bahagianya seorang ibu dilayan macam ini sebab ayahnya pun seorang yang cukup sopan”
  • “Didikan SS (Suhaimi Saad).. seorang bapa yang hebat.. Sejuk mata memandang..”

Sikap Hadie yang terkenal dengan keperibadian sopan dan mesra keluarga ini turut mencerminkan nilai sebenar kasih sayang yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda.

Ramai juga yang memuji hubungan erat antara Hadie dan Ina Naim yang sering ditonjolkan secara semula jadi tanpa dibuat-buat di media sosial.

Hadie yang merupakan finalis program Talk To My Manager Musim Pertama terbitan Astro, kini sedang rancak menyusun karier seninya dengan dibantu oleh Ina Naim yang bertindak sebagai pengurus.

Selain muncul dengan lagu Kias Cinta 2.0 yang dinyanyikan bersama kumpulan nasyid popular, Inteam dan Sallman Elkhoyri, Hadie juga dikatakan sedang dilamar oleh produksi drama yang berminat untuk mengambil Hadie berlakon dalam drama pendek.

Semoga keperibadian Hadie menjadi contoh kepada anak muda di luar sana.

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2025 Munsyeed Edutainment