Categories: BeritaTempatan

MAIWP dan TV AlHijrah Jalin Kerjasama, Terbit Program Realiti Usahawan – “Projek Bangkit”

TV AlHijrah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama media, dakwah dan pembangunan insaniah.

Kolaborasi ini memberi penekanan kepada penerbitan kandungan kreatif, promosi program MAIWP, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta inisiatif pembangunan ummah yang menyeluruh.

Antara projek utama yang akan digerakkan hasil pemeteraian MoU ini ialah Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan yang julung kali dianjurkan oleh MAIWP dengan kerjasama TV AlHijrah. Program ini bakal menjadi platform transformasi bagi mengetengahkan usahawan MAIWP, mengangkat produk mereka ke peringkat nasional dan memberi peluang kepada peserta bersaing secara sihat untuk merebut pelbagai insentif serta sokongan perniagaan.

Projek Bangkit akan disiarkan di TV AlHijrah selama lapan minggu, dengan tujuh episod pertandingan berdurasi 60 minit dan episod akhir berdurasi 90 minit. Setiap minggu, tiga peserta akan mempersembahkan produk dan idea perniagaan mereka di hadapan panel juri yang terdiri daripada wakil MAIWP, TV AlHijrah serta usahawan selebriti jemputan.

Juara keseluruhan Projek Bangkit bakal meraih geran RM50,000 daripada MAIWP serta penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1 juta daripada TV AlHijrah. Selain itu, setiap peserta akan mendapat pendedahan eksklusif menerusi slot promosi dan temubual khas dalam program Assalamualaikum, liputan di Berita AlHijrah, penerbitan kapsul media sosial di TikTok dan Facebook TV AlHijrah, serta platform digital seperti YouTube dan AH Plus.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, kerjasama ini adalah langkah penting memperkukuh agenda pemberdayaan ekonomi ummah.

“Projek Bangkit bukan sekadar pertandingan, tetapi medan membina keyakinan dan membuka ruang baharu kepada usahawan untuk berkembang. Kami yakin sinergi bersama MAIWP mampu menjadikan program ini sebagai batu loncatan besar bagi peserta yang terpilih,” katanya.

Beliau turut menegaskan MoU ini selaras dengan misi TV AlHijrah untuk kekal sebagai stesen penyiaran Islam utama negara.

“Kami berbangga dapat menjadi medium penyiaran rasmi yang mengangkat kisah kejayaan usahawan MAIWP. Dengan sokongan produksi dan platform penyiaran TV AlHijrah, Projek Bangkit akan mencipta impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada masyarakat luas yang menyaksikannya,” ujarnya.

Beliau menambah, TV AlHijrah melihat kerjasama ini sebagai bukti bahawa media berperanan sebagai agen perubahan sosial.

“Projek Bangkit bukan sekadar tontonan, tetapi inspirasi. Kami mahu menjadikan televisyen Islam sebagai pemacu lahirnya usahawan baharu yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga membawa nilai keberkatan dalam perniagaan mereka.

“TV AlHijrah amat mengalu-alukan peluang kerjasama dengan badan- badan kerajaan dan organisasi berkepentingan pada masa hadapan, bagi melahirkan program-program transformasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat,” tambah beliau.

Kerjasama yang terjalin di antara TV AlHijrah dan MAIWP adalah penanda aras bermulanya era baharu kolaborasi strategik yang menggabungkan kepakaran MAIWP dalam pembangunan ummah dengan kekuatan TV AlHijrah sebagai medium penyiaran Islam berautoriti.

Majlis ini disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak serta warga kerja yang optimis kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan.

Husaini Hussein

Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.

Recent Posts

“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam

Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang…

3 months ago

Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!

Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi…

3 months ago

Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid

Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan…

3 months ago

“Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama…” – ADAM

Kumpulan ADAM, kembali mengukuhkan langkah dalam industri apabila tampil dengan single kedua berjudul “Sudah” -…

3 months ago

Aniq Muhai Puas Hati Dapat Sebarkan Mesej ‘Self Love’ Di Anugerah Carta IKIM 2025

Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang…

3 months ago

Program TV Lebih Interaktif Di Slot Perdana 9 Malam TV AlHijrah

TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program…

3 months ago