Gema Gegar Vaganza (GGV) musim yang pertama telah meletakkan penanda aras yang tinggi melalui siri persembahan hebat dipamerkan terutamanya oleh pemenang tiga teratas iaitu UNIC (juara), Hijjaz (naib juara), dan Mirwana (ketiga). Malahan peserta-peserta solo seperti Hafiz Hamidun dan Azmi Saat juga sangat menonjol di pentas. Kita dapat lihat variasi yang sangat menarik bukan sahaja pada aspek sentuhan rohani, tetapi juga kreativiti dan pembawaan yang berjaya memecah stigma terhadap irama nasyid dan lagu ketuhanan itu sendiri.
Persoalannya, mampukah artis-artis GGV2 mengulangi pencapaian yang sama? Mampukah GGV2 menampilkan versatiliti? Atau ‘concern’ yang lebih berat; mampukah mereka menjadi lebih baik dari GGV1? Hal ini menarik untuk kita bincangkan. Saya sendiri apabila mengetahui akan kembalinya GGV untuk musim kedua, masih ada kesimpulan dari GGV musim pertama yang bermain di minda saya. Salah satunya ialah tentang peserta muslimah yang menyertai GGV.
BANGKIT PESERTA MUSLIMAH GGV!
Dari 3 kepada 2 penyertaan peserta wanita di GGV
Saya melihat pada GGV2 kali ini, tidak pasti sama ada Astro sangat berhati-hati dengan pemilihan peserta wanita atau kurang penyertaan dari penyanyi wanita kerana berlaku pengurangan dari sudut bilangannya (dari tiga penyertaan kepada dua).
Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa GGV2 pasti lebih cermat mengatasi isu yang bakal dibangkitkan netizen berkaitan peserta muslimah GGV seperti isu berhias dan juga pilihan pakaian, apatah lagi peserta-peserta muslimah GGV2 (Farah Asyikin, Heliza & Hazwani) sememangnya selebriti yang menjaga penampilan mereka.
Satu hal lagi, saya sangat berharap peserta muslimah GGV tidak hanya menjadi sekadar ‘penambah rencah’ berbanding peserta-peserta yang lain. Hanya kerana keterbatasan mereka sendiri selaku penyanyi muslimah untuk berkreativiti melalui ‘body language’ dan hal-hal berkaitan dengannya tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mereka menonjolkan diri (almaklum lah, berlebih-lebihan nanti kena kecam pula). Ini terletak dibawah kebijaksanaan dan kreativiti GGV sendiri; bagaimana pihak produksi ingin ‘menjenamakan’ peserta muslimah GGV ini supaya tidak sekadar menjadi ‘second choice’ di dalam pertandingan ini. Semestinya tidak dapat tidak mereka mesti memiliki lontaran vokal yang bagus dan perlu lebih ligat memerah idea ‘luar kotak’ yang boleh menjentik perhatian penonton (tanpa perlu bersifat keterlaluan dan masih tetap menjaga batas-batasnya).
JANGAN JADI BAYANGAN GGV MUSIM PERTAMA
Ada kecenderungan juga peserta-peserta GGV2 mungkin akan mencedok gaya dan idea yang pernah digunapakai oleh peserta-peserta GGV musim pertama. Pandangan saya sendiri, mereka harus keluar dari bayangan GGV1 dan fikirkan sesuatu yang lain daripada yang lain untuk memastikan GGV kekal relevan dan diingati. Manfaatkan kekuatan yang ada pada diri / kumpulan dan pamerkan di atas pentas.
Bukan bayangan peserta terdahulu
Peserta-peserta GGV2 juga tidak perlu untuk menjadi bayang kepada UNIC, Hijjaz, mahupun Mirwana. Mereka perlu yakin bahawa mereka memiliki kekuatan tersendiri yang masih belum ditunjukkan kepada peminat-peminat mereka. Peserta GGV mesti buktikan bahawa dakwah itu banyak cabangnya dan ia boleh menyentuh hati manusia dengan pelbagai cara. Walaupun kita akui durasi persembahan pentas GGV agak singkat untuk menonjolkan semuanya, tetapi itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh peserta-peserta GGV. Push to the limit dan pamerkan sisi lain dari sekadar kemahiran melantun suara.
Jika kita dapat perhatikan ‘nature’ peserta-peserta GGV2 kali ini agak menarik. Inteam contohnya mempunyai ‘nature’ gaya yang dibentuk oleh kumpulan Hijjaz. Malahan banyak lagu-lagu malar segar kumpulan Inteam merupakan gubahan dari ‘senior’ mereka. Namun begitu, Inteam mempunyai kekuatan vokal pada semua ahlinya yang menjadikan banyak lagi ‘magis’ yang boleh Inteam persembahkan. GGV2 pastinya menjadi medan yang baik buat Inteam untuk buktikan mereka bukannya ‘Hijjaz’ dan mereka masih ada sesuatu yang belum dipersembahkan kepada peminat.
Kumpulan Mestica juga lahir dari cungkilan bakat Hijjaz Music Entertainment (HME). Disamping pembawakan lagu-lagu pop ballad, kita juga dapat lihat Mestica juga mampu membawa lagu-lagu semangat dan rancak dengan baik seperti lagu ‘Salahudin Al-Ayubi’. Menarik untuk kita saksikan apakah lagi yang Mestica mampu hidangkan di atas pentas GGV. Di samping itu, saya juga melihat pasangan duo adik-beradik Heliza & Hazwani bakal tampil dengan konsep persembahan yang berbeza di pentas GGV ini. Mereka telah tampil di pentas Anugerah Nasyid IKIMFM baru-baru ini dan rasanya mereka tiada masalah untuk berkreativiti di atas pentas dengan bakat ‘serba boleh’ yang mereka ada.
Kumpulan Devotees juga tidak kurang hebatnya. Saya juga ternanti-nantikan apa kejutan yang bakal kumpulan ini tonjolkan. GGV2 adalah pentas yang baik untuk mereka zahirkan identiti mereka kerana kumpulan ini agak moden pembawaannya berbanding kumpulan nasyid yang lain. Mereka perlu tunjukkan mereka bukan sekadar kumpulan nasyid ‘pop’ yang biasa-biasa tetapi juga mempunyai sentuhan magis yang tersendiri. Seperti juga kumpulan Rabithah yang masih ‘fresh’ dalam industri. Mereka memiliki vokal yang ‘clean’ dan diharapkan mereka boleh bertahan lama di dalam GGV dan mampu mencurahkan kreativiti sebaik mungkin.
Sebuah lagi kumpulan ‘otai’ (yang turut saya minati) iaitu kumpulan Brothers juga bakal berentap di pentas ini. Semestinya pemergian sahabat Allahyarham Salleh Brothers dua tahun lepas sedikit sebanyak memberi kesan kepada kumpulan ‘legend’ ini. Salleh boleh diibaratkan sebagai tunjang utama kepada kumpulan Brothers. Namun begitu, perjuangan harus diteruskan. Keberadaaan Brothers di dalam GGV2 pastinya memberi maksud yang besar bahawa Brothers tidak patah semangat dan mereka mampu menonjolkan sesuatu di pentas GGV ini. Adakah ‘abang-abang’ kepada Mirwana ini akan membawa kelainan? Kita tunggu dan lihat.
ADAKAH GGV2 MILIK PENYANYI SOLO?
Saya juga tertarik melihat penyertaan dari penyanyi-penyanyi solo dalam GGV2. Fitri Haris? Ippo Hafiz? Awi Rafael? Farah Asyikin? Adeep Nahar? WOW! Memang langsung tak sangka mereka akan menjadi antara artis-artis yang membarisi GGV2. Apa lagi yang boleh kita harap daripada mereka melainkan lontaran vokal yang baik dan ‘showmanship’ yang padu. Walaupun antara mereka masih baharu atau sudah lama tidak muncul di pentas pertandingan sebesar ini, peluang yang diberikan seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.
Adakah GGV2 milik penyanyi solo? Boleh jadi. Mereka semua mempunyai kekuatan vokal yang tersendiri. Fitri Haris memiliki key suara yang tinggi. Awi Rafael pula sememangnya mempunyai kawalan vokal ‘serak-serak basah’ yang sangat bagus. Ippo Hafiz juga mempunyai vokal yang unik ala-ala penyanyi seberang. Adeep Nahar pun tidak kurang hebat dengan pembawaan pop R&B beliau. Begitu juga Farah Asyikin, bakat yang lahir dari Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM) yang sudah lama tidak muncul di pentas. Pastinya peminat ternanti-nantikan kemunculan beliau dengan imej baharu.
Apa pun yang akan terjadi pada Gema Gegar Vaganza musim kedua ini, kita berharap ia akan terus menjadi medan dakwah yang berkesan buat penonton. Kita mahu tarik lebih ramai pendengar untuk menggemari irama nasyid dan ketuhanan melalui platform ini. Malahan diharapkan ia menjadi ‘pintu’ yang besar buat bakat-bakat baharu yang ikhlas berdakwah dan berkarya melalui lagu, bukan sekadar menempah populariti semata-mata.
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com
Salam Ramadhan salam sesuci lebaran buat semua. EP kurang bersiaran pada bulan Ramadhan ini kerana bimbang tersalah kata menambah dosa. Kalau nak bercakap memang berkajang-kajang tapi EP pendamkan saja. Biarlah waktu berbicara. Biar harmoni saja.
EP seperti tak sabar nak habis berpuasa Ramadhan. Banyak perkara nak dibicara. Selepas Ramadhan ada puasa Syawal pulak enam hari dan selebihnya puasa qadha (ABC). Habis semua tu EP akan bercakap semula…
Nak raya ni banyak single nasyid raya dikeluarkan. Ada lagu baru ada lagu lama diperbaharui. Pilih saja mana yang suka semuanya indah-indah belaka. Indah ke? Oop…puasa. Balance la ada yang ok ada yang ko. Ikut selera masing-masinglah.
Sedap tak sedap sesebuah lagu tu subjektif. Namun EP berpegang pada melodi yang sedap (menarik, kreatif & memberi rasa), lirik yang baik (bahasanya indah, kreatif & memberi rasa) serta penyampaian vokal yang bagus (tone suara yang sesuai, kreatif, penghayatan yang baik serta tersendiri tak meniru orang lain) akan menjadikan sesebuah lagu itu sedap didengar, mudah melekat dan malar segar.
Kita orang Melayu Islam dik. Berilah melodi yang sesuai mengikut selera orang Melayu dan Islamik. Melodi Melayu deli pun kau tak khatam tibah nak buat lagu rap, hip hop, Raggae, Hard Rock, Korea, Jepun dan macam-macam lagi. Kau tak boleh paksa orang suka lagu kau dik kalau lagu kau memang tak sedap dan tak sesuai. Bila natizen komen kau mengamuk. Keluar habis sifat-sifat angkuh kau yang selama ini kau tutup dengan tabir ‘nasyid’ kau tu. Cukup-cukuplah bereksperimentasi. Lagu-lagu sekarang mudah nau basi.
Ha! Kan dah terlajak jadi, sempena Hari Raya Aidil Fitri ni EP mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas ketelanjuran kata terlajak bicara sewaktu menulis di ruangan pojok ni. EP pun dah maafkan anda semua yang menyumpah EP atas apa yang telah EP tulis tu. Siapa yang pernah termakan epal pedas tu maaf jua yang dipinta.
Kalau manis semuanya tak sedap jugak nanti kena potong kaki. Biarlah ada masam, masin, manis dan pedas baru enak sesuatu masakan ‘Rendang Tok’ tu.
Epal Pedas – Selamat Hari Raya Minal Eidul Wal Faizin.
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com
Salam Ramadhan bulan mulia penuh keberkatan semua. Apa isu EP di bulan puasa ni? Mungkin itu persoalan yang berligar di kotak fikiran anda semua.
Alhamdulillah, sempena bulan Ramadhan ini EP tak ada isu sangat…sikit-sikit saja. Hormat bulan mulia. Lagipun isu apalah sangat yang EP utarakan selama ini? Sekadar menyatakan kebenaran mencelik mata dan terkadang tercubit kuat sikit saja. Kepada yang merasa diri dicubit tu buatlah perubahan atau berilah penjelasan agar jernih segala kekeruhan.
Sempena bulan Ramadhan ni, penasyidlah yang paling sibuk. Betul tak? Penasyid dari sekecil-kecil anak hingga sebesar-besar bapak sibuk dengan undangan di majlis berbuka puasa di hotel-hotel, rumah-rumah orang kenamaan, Jabatan-Jabatan Kerajaan, syarikat-syarikat swasta yang kaya hingga ke masjid-masjid dan surau-surau seluruh Malaysia.
Bukan saja dijemput mengadakan persembahan nasyid, qasidah, selawat dan seumpamanya sebelum/selepas berbuka puasa malah ada yang dijemput menjadi penyampai tazkirah dan Imam Terawikh ditempat-tempat tersebut. Terutama penasyid yang bertitle ‘hafiz’ (Bukan Hafiz Hazidun ya!). Setelah selesai akan diberi upah atau bayaran tertentu sebagai imbalan.
Rezeki penasyid memang melimpah ruah pada bulan Ramadhan ini. Ada yang dapat membuat persembahan beberapa hari pada satu-satu tempat malah ada yang mendapat undangan sebulan Ramadhan. Murah rezeki penasyid.
Begitulah keistimewaan orang-orang yang sentiasa membuat kebaikan hingga di pandang dan diangkat tinggi. Teruskan usaha-usaha murni ini hingga habis bulan Ramadhan dan dibulan-bulan yang lain juga. Dakwah tiada henti hingga nafas terakhir.
Nasihat EP kepada mereka yang mendapat jemputan tu, galaslah tanggung jawab ini dengan ikhlas dan sepenuh hati. Jangan asal ada bunyi cukup, Tak peduli sumbang mambang menyanyi, tidak betul-betul memenuhi kehendak penganjur dan yang paling penting menepati masa yang ditetapkan. Pamerkan akhlak mulia, penampilan yang sempurna dan imej yang positif (sejuk mata memandang).
Satu lagi yang meriah di bulan Ramadhan ini adalah penghasilan single lagu Ramadan dan hari Raya. Boleh kata setiap minggu banyak single-single yang diterbitkan sekali dengan Muzik Video (MV) di channel YouTube masing-masing. Berbagai genre lagu Ramadan dan raya dihasilkan. Ada yang boleh dipuji tak kurang juga yang didengar dan dipandang ngeri.
EP ada terjumpa sebuah MV penyanyi seperti nasyid dipaparkan di media sosial penasyid. Kolaborasi dua orang penyanyi lelaki. Yang seorang tu nampak jernih mukanya, sedap suaranya dan ada keihlasan di matanya. Seorang lagi tu agak jernih mukanya namun kurang nampak keikhlasan di matanya dan disorok disebalik kacamata bulatnya. Bakat nyanyiannya pun ala-ala saja dan rambutnya yang panjang berserabut mengalahkan baju penyanyi Nina Bendul di AJL 388 baru-baru ini. Apa yang nak tampilkan pun tak tahu tetapi rambut itu melambangkan keserabutan jiwa yang bercabang-cabang ketidaktentuan masa depan di dalam industri. Mungkin anda boleh memakai kopiah atau songkok ataupun topi bagi mengemaskan rambut panjang anda. Contohilah penasyid Daqdemie yang berambut panjang tetapi penampilannya kemas dengan memakai stokin salji kepala (snow cap) atau scarf lelaki. Tunjukkan imej yang bersih dan rapi sesuai dengan genre lagu yang anda dendangkan.
EP: Jangan takut atas penilaian orang lain terhadapmu kerana kehidupanmu adalah milikmu. Tetapi takutlah atas penilaian Allah terhadapmu kerana kehidupanmu adalah milikNya.
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com
Salam bahagia. Hampir 2 minggu EP tak munculkan diri. Kenapa? Takutttt…Lantaran coretan EP sebelum ini mengenai Radio Halal & Radio Hare, EP dikecam tidak hebat dari pendokong sebuah Radio Hare sampai meminta admin Munsyeed Corner menurunkan post tersebut. Hare sungguh!
EP tunggu juga kalau-kalau munsyeed corner menurunkannya dan melibas dengan amaran keras agar EP menghentikan tulisan sebegitu. ‘Makcik’ tu tentu seronok sekejap bila EP tak muncul minggu lalu kan “Kan dah kena hik! hik! hik!
Bagi EP senang saja. Andai angin tak bertiup sekalipun daun yang kering reput akan tetap gugur juga apatah lagi taufan yang melanda habis dahan dan ranting berderapan ke bumi menelanjangkan pohon yang tidak kuat tunjangnya.
Niat tak menghalalkan cara. Tujuan mengadakan radio itu mungkin untuk membantu menaikkan irama nasyid dan lagu-lagu ketuhanan tapi kaedahnya itu biarlah jelas dan halal.
Kepada pendokong radio berkenaan serta ‘Makcik’ tu hati-hati ya. Jangan cuba main gila hingga memetik nama Munsyeed Corner untuk campur tangan.
Seharusnya minta maaf dan cuba cari penyelesaian yang bijak agar tidak lagi terdengar rungutan dari pemegang hakcipta yang sah yang mana karya mereka dicedok dari YouTube tanpa kebenaran. Kepada yang memberi secara percuma tu kita tidak mahu persoalkan tentang bukti pemberian atau curian dengan kebenaran.
Sikit saja untuk kali ini. Harap yang baik-baik saja.
Epal Pedas- Cukuplah pasal radio hare ni.
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com