Connect with us

Coretan Along Safa

Mengapa Minat Nasyid?

Diterbitkan

pada

“Siapa yang minat nasyid angkat tangan!” saya bertanya kepada sekalian peserta sebuah kursus anjuran syarikat konsultan kami. Kelihatan ramai yang mengangkat tangan. Biasanya pelajar-pelajar sekolah memang meminati nasyid. Terutama sekali pelajar perempuan.

Namun, hati saya agak sayu apabila melihat ada beberapa pelajar lelaki dan perempuan tidak mengangkat tangan. “baik, yang tidak angkat tangan tu, kenapa tidak minat nasyid?”. Saya bertanya soalan itu kepada pelajar yang tidak mengangkat tangan. Risau juga kalau-kalau pelajar itu bertanya pula kepada saya, “kenapa mesti minat nasyid’?. Mujur jawapan mereka lebih jujur. Jawapan mereka, mereka lebih minat genre muzik yang lain seperti pop, rock, searena Akademi Fantasia dan seadik beradik mereka. “yang angkat tangan tadi, kenapa minat nasyid”? saya menghulur microfon ke pelajar-pelajar pilihan bagi menyatakan jawapan mereka. “nasyid ni boleh menenangkan jiwa saya”. “nasyid ni best la.. penyanyi nasyid yang saya minat pun hensem.” (jawapan macam ni pun ada ka??). “saya dibesarkan oleh keluarga yang Islamic, jadi hiburan yang saya ada hanyalah nasyid”.

Sudah tentu jika diaju soalan sebegitu, jawapan yang bakal bertandang berbentuk subjektif. Pelbagai. Ada yang minat nasyid dengan pelbagai sebab. Beribu-ribu sebab barangkali. Tidak kurang juga meminati nasyid kerana personaliti penasyid itu. Juga mengikut-ikut kawan baiknya yang minat akan nasyid, maka dia pun meminati nasyid.

Apa yang saya tanyakan itu adalah sebagai muqaddimah bagi meransang pemikiran pelajar-pelajar di program tersebut. Program yang dihadiri pelajar itu bukanlah Kursus Pemantapan Nasyid. Program tersebut adalah sebuah Khemah Ibadah Kepimpinan. Disebabkan nasyid ini sinonim dengan pelajar dan melambangkan watak yang baik, maka itulah soalan yang diajukan.

Mengapa minat nasyid? Mengapa nasyid diminati? Untuk apa nasyid diminati? Soalan soalan ini sudah pasti mempunyai jawapan. Dan jawapan tersebut ada pada setiap orang yang mengaku meminati nasyid.

Mengapa Minat Nasyid?

1. Menyampaikan Dakwah Melalui Hiburan

Jawapan standart bagi peminat nasyid tegar adalah bagi menyampaikan dakwah dalam bentuk hiburan yang tidak keterlaluan. Jawapan ini adalah jawapan biasa yang selalu kita dengar. Jumlah peminat nasyid yang berpegang pada jawapan ini pada soalan ‘mengapa minat nasyid’ adalah terlalu ramai. Pemegang jawapan ini terdiri dari pejuang-pejuang agama, jemaah Islam, aktivis agama, pelajar IPT, remaja-remaja. Namun agak dikesalkan apabila ada penasyid yang menyatakan ‘aku bernasyid bukan nak berdakwah’.

2. Artis Nasyid kacak dan comel

Jawapan ini juga ada pada soalan di atas. Ianya dizahirkan melalui tindakan mereka, tulisan mereka yang dinilai pada sudut yang lain. Contohnya mempertahankan artis tertentu atas kapasiti peribadi. Menyokong sepenuh hati artis yang dia minati walau apapun yang artis ini lakukan. Hingga kadang-kadang terkeluar ayat mereka melalui komen di Facebook, Shoutbox: “abang ******* ni comel la.. takpe, peminat mesti sokong punyaa”!

3. Meminati muzik

Ada yang minat nasyid kerana irama muziknya yang lebih damai. Tidak bising dan hingar bingar. Dan golongan jenis ini adalah orang yang memilih. Mereka tidak meminati semua kumpulan nasyid / penasyid solo. Ia meminati kepada perjuangan muzik yang penasyid itu persembahkan. Sebagai contoh, ia meminati nasyid berirama ringan seperti Raihan. Maka dia memilih Raihan dan menolak sebahagian kumpulan nasyid yang berirama rancak dan laju.

4. Kerana personaliti penasyid

Penasyid ini merupakan cermin masyarakat. Mereka boleh dijadikan ikutan masyarakat terutama remaja. Kerana itulah, ada yang meminati nasyid kerana personaliti dan imej yang ditonjolkan oleh penasyid itu. Imej yang ditunjukkan oleh penasyid melambangkan imej yang bersih dan melambangkan kesopanan. Disebabkan ini juga sebahagian peminat nasyid meniru niru cara pemakaian penasyid yang mereka minati. Contohnya seperti kopiah Hijjaz, Raihan, Inteam. Baju Raihan. Dan sebagainya.

5. Sebab pengaruh keluarga

Keluarga yang mengamalkan cara hidup Islam sudah pasti akan memastikan seluruh ahli keluarga terhindar dari hiburan yang melalaikan. Tetapi mereka sedar akan perlunya hiburan. Maka, nasyid menjadi pilihan utama keluarga seperti ini dan secara tidak lansung, keluarga ini meminati nasyid atas faktor pengaruh kekeluargaan.

6. Ajakan kawan

Tidak dinafikan, pengaruh kawan juga memberikan peranan yang penting dalam pengumpulan peminat peminat nasyid. Dengan ajakan dari kawan agar meminati nasyid, meminjamkan CD nasyid, maka dia pun meminati nasyid. Tidak kurang juga ajakan menyertai kumpulan nasyid di sekolah, universiti menjadi pengaruh yang kuat seseorang itu meminati nasyid.

Jawapan jawapan bagi soalan :mengapa minat nasyid?; di atas adalah merupakan sebahagian jawapan yang saya rasa akan dijawab oleh kita semua. Mungkin ada lagi sebab lain yang tidak dinyatakan di atas.

Walau apapun jawapan kita, meminati nasyid tidak akan merugikan kita asalkan niat kita itu tidak lain tidak bukan adalah kerana Allah.

Coretan Along Safa

Apakah Punca Hijjaz Tiada Di Anugerah Nasyid IKIMFM 2014?

Diterbitkan

pada

Oleh

“Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”

Majlis Anugerah Nasyid IKIMFM 2014 sudahpun berlalu. Namun, di sebalik selesainya penganjuran anugerah itu, ianya menimbulkan banyak buah mulut dari ramai pihak khususnya peminat nasyid.

Paling menjadi buah mulut adalah isu ketiadaan kumpulan Hijjaz di dalam majlis yang besar seperti itu. Adalah menjadi satu perkara pelik apabila kumpulan Hijjaz yang merupakan antara kumpulan nasyid yang senior di Malaysia tidak hadir ke majlis demikian.

Setakat Hijjaz tidak hadir, tidak mengapa lagi. Perkara ini semakin menjadi tanda tanya apabila semasa slot persembahan penutup yang membawa tema mengenang nasyid otai, artis undangan hanya menyanyikan lagu-lagu Raihan dan Rabbani sahaja sedangkan Hijjaz adalah sezaman dengan 2 kumpulan itu.

 

Anugerah Nasyid IKIMFM

Raihan, Hijjaz dan Rabbani. Tiga lagenda yang banyak menyumbang di dalam industri nasyid tanahair dan antarabangsa.

 

Perkara ini mesti ada sebabnya.

Mungkin ada salah faham atau sesuatu yang perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku. Namun, suasana seperti ini sememangnya satu suasana yang tidak sihat kepada industri nasyid tanahair. Dalam usaha IKIM.Fm mahu menaikkan martabat nasyid dengan penganjuran anugerah ini, tetapi ada pula cerita kurang enak yang kedengaran di telinga penggiat dan peminat nasyid tanahair.

Banyak khabar-khabar angin yang didengar namun saya enggan mempercayainya bulat-bulat. Saya berpendapat, mungkin Munsyeed Dot Com harus bertanyakan hal ini kepada kedua-dua belah pihak supaya ia tidak berterusan menjadi fitnah. Sekurang-kurangnya ia menutup lubang-lubang fitnah dan memuaskan hati para peminat yabg tertanya-tanya.

Buanglah yang keruh. Ambillah yang jernih. 

Continue Reading

Coretan Along Safa

Fadzli Fareast Seru Penasyid Kawal Berat Badan

Diterbitkan

pada

Oleh

Jika melihat situasi sekarang, semakin ramai rakyat Malaysia yang mengalami masalah berat badan yang berlebihan. Semua sudah sedia maklum, dengan berat badan yang berlebihan itu akan mendatangkan kesan sampingan yang pelbagai. Penyakit-penyakit akan mula timbul satu persatu kesan daripada berlebihan berat badan.

Menyedari hakikat ini, satu tindakan harus dilakukan kepada individu yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Berat badan berlebihan ini bermaksud, berat badan yang yang tidak ideal dan bacaan BMI yang tidak normal.

Fokus seterusnya ditujukan kepada para penasyid kita yang juga tidak kurang mengalami masalah berlebihan berat badan. Tidak mahu menyebut siapa penasyid yang terlibat, tetapi jumlah penasyid yang di dalam kategori ini agak banyak juga jumlahnya. Pembuktian ini dapat dilihat dengan jelas apabila melihat gambar-gambar lama penasyid berkenaan yang kurus dan slim tetapi kini sudah sebaliknya.

Bertanya khabar kepada Fadzli Far East berkaitan permasalahan ini mengundang satu perbualan yang menarik untuk diperbincangkan. Fadzli yang diajukan persoalan berkaitan masalah berat badan ini turut menyokong saranan agar para penasyid yang berkaitan mengambil langkah yang sepatutnya bagi menurunkan berat badan.

Menurut Fadzli yang kini sedang di dalam proses diet dengan penurunan sebanyak 4kg setakat ini, masalah berat badan berlebihan sememangnya satu keadaan yang bukan boleh dipandang ringan. Berpunca dari berat badan yang berlebihan akan menyebabkan mudah mendapat penyakit seperti darah tinggi, gout, sesak nafas dan sebagainya.

Selain berdiet, Fadzli juga menjadikan aktiviti bersukan sebagai rutinnya bagi memastikan proses penurunan berat badan lebih efektif dan melaluinya dapat menterjemahkan cara hidup yang lebih sihat. Selain itu, beliau juga tidak mengamalkan makan makanan yang manis.

Fadzli yang menjadikan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sebagai contoh tauladan baginya untuk menurunkan berat badan juga menyeru kepada para penasyid dan seluruh rakyat Malaysia agar dapat sama-sama berdiet bagi mendapatkan berat badan yang ideal. Terdapat banyak kaedah bagi kita untuk mahu menurunkan berat badan. Pilihlah apa jua cara asalkan matlamat kita tercapai dan baik untuk kesihatan.

Tidak dinafikan, ikon yang dikenali ramai, Ustaz Hasrizal sememangnya menampakkan perubahan yang ketara. Beliau selaku seorang yang mempunyai masalah berat badan berlebihan sebelum ini telah membuktikan bahawa, menurunkan berat badan adalah tidak mustahil asalkan adanya kemahuan dan kesedaran betapa pentingkan menjaga kesihatan.

Selain itu, artis-artis tanahair juga ramai yang mengikuti proses diet bagi mendapatkan berat badan yang lebih baik.

Oleh itu, seruan menurunkan berat badan ini merupakan satu tindakan yang baik bagi mengajak kita semua mengamalkan cara hidup yang sihat melalui cara pemakanan dalam kehidupan seharian.

Continue Reading

Coretan Along Safa

Laman Web Nasyid Suram

Diterbitkan

pada

Oleh

Satu tika dulu, ketika demam internet melanda Malaysia, masing-masing sibuk ‘meneroka’nya. Internet merupakan satu pendekatan dan perkara baru di dalam kehidupan di Malaysia.

Di awal tahun 2000, kebanyakan rakyat Malaysia mula mendekati dengan rapat media  internet ini. Mendaftar email baru, melayari laman web dengan penuh rasa keterujaan.

Di ketika itulah, ramai yang membina laman web sendiri bagi mewakili syarikat, persatuan, kumpulan mahupun laman web peribadi.

Nasyid juga mengambil kesempatan ini dengan membina laman web dan laman komuniti sendiri mewakili kumpulan mereka.

Website Rabbani pada tahun 2003

Website Rabbani pada tahun 2003

Kumpulan Hijjaz merupakan antara kumpulan nasyid terawal yang menggunakan medium internet ini sebagai perantara antara mereka bersama peminat dan pelanggan. Dengan menggunakan jenama ‘SahabatHijjaz’ sebagai kelab peminat maya mereka, usaha itu dilihat amat berjaya sehingga mewujudkan fenomena ‘empayar hijjaz’ di seluruh Malaysia.

Dengan berbekalkan laman web utama iaitu (www.hijjaz.com.my) dan juga laman web komuniti (www.sahabathijjaz.com), kumpulan Hijjaz dilihat telah mendominasi ruang internet jika mahu dibandingkan dengan kumpulan nasyid lain.

Dalam masa yang sama, laman web kumpulan nasyid yang lain tumbuh bak cendawan. Masing-masing sibuk membina laman web kumpulan masing-masing walaupun ada yang hanya menggunakan blog percuma seperti blogspot, wordpress dan blogdrive.

 

Kumpulan-kumpulan nasyid lain yang turut membina laman web adalah seperti:

1. Rabbani : http://www.rabbani.com.my

2. Hijjaz: http://www.hijjaz.com.my kini www.hijjazrecord.com

3. Raihan: http://www.raihan.com.my

4. Inteam: http://www.inteam.com.my

5. Mestica http://www.mestica.org

6. UNIC http://www.unic.com.my kini www.unic.my

7. Wildan http://wildan.nasyeed.com

8. Dehearty http://www.dehearty.com

9. Devotees http://www.devotees.com.my

10. FarEast http://www.fareastnasyeed.com

11. Saujana http://www.saujana.net.my

12. Mawaddah http://www.mawaddah.com.my

13. Amar http://www.amar.com.my

14. SaffOne http://saffone.tripod.com/

15. Mirwana http://www.mirwana.com.my / www.mirwana.net

16. Firdaus http://www.firdaus.net

 

webinteam

website Inteam tahun 2002

Banyak lagi laman web nasyid ‘satu tika dulu’ yang tumbuh bak cendawan yang tidak dapat disenaraikan. Pada waktu itu, boleh dikatakan setiap kumpulan nasyid ‘wajib’ ada laman web sendiri. Tiada laman web dilihat agak ketinggalan zaman.

Namun, pada hari ini, dapat dilihat peranan laman web yang satu tika dulu dipuji-puji kini semakin dipandang sepi. Kebanyakan kumpulan nasyid sudah tidak mengendahkan lagi laman web mereka.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas. Jika lihat senarai laman web di atas, yang hanya boleh beroperasi hanyalah sebahagian sahaja. Ada yang sudah tamat tempoh, malah kumpulan nasyid itu sendiri mungkin sudah tidak wujud.

Menyedihkan juga, melihat kumpulan nasyid itu yang namanya masih lagi diterima pendengar seluruh Malaysia, tetapi laman webnya tidak dikemas kini. Hampir keseluruhannya. Perkara ini seharusnya tidak berlaku kerana melalui laman web itulah ‘imej’ dan ‘persepsi’ akan wujud.

Melihat saban hari laman-laman web kumpulan nasyid ini, sentiasa sama sahaja. Tidak berubah. Malah ada laman web yang masih menyiarkan iklan program anjurannya yang telah berlalu setahun yang lepas. Ada juga laman web kumpulan nasyid yang masih menyiarkan gambar ahli kumpulannya yang telah tiada. Juga terdapat laman web kumpulan nasyid terkenal yang memaparkan info terkini aktiviti kumpulan adalah untuk tahun 2010!

Perkara ini seharusnya diambil berat oleh kumpulan-kumpulan nasyid bagi menampakkan kesungguhan penasyid di dalam memperjuangkan nasyid di pentas masyarakat. Dengan adanya laman web yang berkualiti, berinformasi, di samping mesej yang baik, ianya merupakan satu simbol nasyid ini serius dan menampilkan imej yang baik serta matang.

Di dalam banyak-banyak laman web penasyid ini, laman web kumpulan UNIC dilihat lebih unik, menarik dan mempunyai informasi yang baik kepada sesiapa yang melayarinya. Usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan ini diharap mampu dikekalkan di samping informasi yang dikemas kini serta dapat memberi peransang kepada kumpulan nasyid lain untuk turut sama menaik taraf laman web masing-masing.

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2024 Munsyeed Edutainment