Rabbani
Almarhum Muhamad Asri Ibrahim sudah 2 tahun meninggalkan kita. Perginya dia masih dirasakan satu kehilangan yang sangat besar buat insan yang mengenalinya. Biarpun tanpa mengenali dengan mendalam. Almarhum meninggalkan dunia yang fana ini pada tanggal 13 Ogos 2009.
Menyingkap kembali saat-saat ketika itu, saya sedang berYM dengan Hafiz Hamidun. Sedang leka kami berbual, Hafiz menyatakan mahu bergegas ke Hospital kerana menerima berita pemergiaan Almarhum Ustaz Asri. Tersentak dengan itu saya menghubungi beberapa penasyid lain untuk mendapatkan kepastian. Saya menghubungi Hazamin Inteam dan beliau mengesahkan berita itu.
Mendengar perkhabaran berita itu, sepanjang hari dirasakan mendung. Tiada keceriaan melainkan meratap pemergian seorang insan yang boleh dianggap besar dan mempunyai pengaruh di dalam Malaysia.
Siapa yang tidak kenal Asri Rabbani? Satu Malaysia kenal. Negara luar juga ada yang mengenalinya. Personaliti insan ini cukup dikenali ramai dengan wataknya yang disenangi ramai. Sepanjang usianya, tidak kedengaran lansung gosip-gosip liar, cerita-cerita yang tidak elok. Semuanya baik-baik belaka.
Pada hari pemergiannya itu, saya merancang untuk hadir ke majlis pengebumian Almarhum. Tidak silap, saya ada menghubungi beberapa penasyid bertanyakan berita pukul berapa jenazah akan dikebumikan. Saya menerima maklumat bahawa jenazah akan dikebumikan selepas Asar.
Mendengar berita itu, saya terpaksa membatalkan hasrat untuk ke Klang, kerana saya habis bertugas jam 5 petang. Sudah tentu tidak sempat untuk mengejar masa bagi menyaksikan majlis pengkebumian tersebut.
Rupa-rupanya, jenazah dikebumikan selepas Isyak. Dalam hati rasa terkilan juga tidak dapat hadir ke majlis menghormati insan yang telah kembali bertemu penciptanya ini. Saya hanya mengikuti rentetan peristiwa sepanjang hari itu melalui media, internet, menelefon penasyid-penasyid dan sahabat yang ke sana.
Pada malam itu, saya merakam semua laporan berita yang memaparkan detik pemergian Almarhum Asri Ibrahim. Setiap channel TV saya buka untuk merakam setiap laporan. Setiap channel memaparkan laporan pada masa yang berbeza. Disebabkan itu saya dapat merakam hampir semua laporan di dalam segmen Berita Utama, antaranya TV1, TV3, TV9 dan NTV7.
Beberapa hari selepas pemergian Almarhum, peraasaan sayu dan hiba masih menyelubungi perasaan. Entah mengapa pemergian Almarhum sangat dirasa. Seperti seolah-olah saudara rapat sendiri yang pergi menghadap Ilahi. Sering juga bertukar pandangan dengan beberapa penasyid seperti Hazamin Inteam menyatakan masa depan Rabbani selepas kehilangan vokalis utamanya.
Almarhum Ustaz Asri Ibrahim
Jika saya sebagai peminat ini dapat merasa betapa peritnya menerima kehilangan insan bernama Muhammad Asri Ibrahim ini, bagaimana pula penerimaan isteri serta anak-anaknya? Saya tidak dapat menggambarkan penerimaan mereka yang telah kehilangan insan pautan harian mereka dengan sekelip mata, dengan tiba-tiba tanpa adanya apa-apa persediaan. Apatah lagi sahabat-sahabat se-Rabbani yang sekian lama berkongsi perjuangan bersama-sama, tetapi dengan tiba-tiba direntap tali persahabatan dengan sangat pantas. Perginya Almarhum di ketika sama-sama duduk di meja perjuangan untuk program Syahadah yang disiarkan di TV1.
Dua minggu selepas pemergiannya, saya merakamkan sebuah lagu yang saya cipta sendiri. Dan inilah kali pertama saya merakamkan lagu yang sebelum ini tidak pernah pun saya lakukan. Lagu berjudul Kau Kini Tiada itu saya cipta bagi menggambarkan kehilangan beliau merupakan satu kehilangan yang besar dan sangat dirasai oleh semua makhluk yang mengerti akan keindahan Islam terutama pada bait lunak suaranya mengalunkan dakwah melalui medium seni.
Beberapa hari dan minggu seterusnya, dunia nasyid diselubungi mendung yang sepi. Rabbani kelu tanpa kata-kata. Persembahan yang diterima dipandang sepi dan linangan air mata. Atas konsep ukhwah dan persaudaraan, persembahan yang melibatkan Rabbani di ambil alih oleh beberapa kumpulan Nasyid lain seperti Inteam, Unic, Hijjaz, Far East dan lain-lain. Mereka memahami bahawa Rabbani memang tidak boleh membuat apa-apa persembahan buat masa itu. Ahli Rabbani sugul. Cukup sukar menerima hakikat itu.
Saya mendengar khabar bahawa Sdr Zulkifli akan mengambil alih peranan sebagai vokalis utama Rabbani. Keputusan yang saya anggap cukup sukar untuk dilakukan. Rabbani membuat penampilan pertama selepas ketiadaan Almarhum Ustaz Asri tidak silap saya semasa persembahan berbuka puasa di Hotel Singgahsana. Memang tampak agak janggal terutama Sdr Zul yang kurang serasi dengan kedudukannya sebagai vokalis.
Asri Ibrahim dan Rabbani memang tidak dapat dipisahkan. Walaupun kini beliau sudah tiada pergi meninggalkan kita semua, namun di dalam Rabbani itu masih ada Asri Ibrahim. Seolah-olah Asri Ibrahim turut serta dalam setiap persembahan Rabbani. Tidak hairan, itulah semangat juang yang Almarhum lakukan semasa hayatnya. Bukankah kita ada mendengar pepatah, orang beriman itu walaupun dia mati, tetapi dia akan terus hidup di hati kita semua. Kesan dari itu, semangat juangnya dalam nasyid sentiasa terpahat di hati masyarakat sehingga hari ini.
Asri Ibrahim adalah tokoh yang sangat berjasa dalam dunianya. Perginya insan ini setelah menabur jasa yang sangat banyak di muka bumi ini. Deretan suaranya bertebaran di atas muka bumi ini untuk dinikmati oleh penduduk alam. Sejak zaman remaja, lantunan suaranya sudah berkumandang di udara dunia, sehinggalah usia menjangkau 40 tahun, semuanya dihabiskan semata-mata untuk perjuangan dakwah di dalam bidang seni.
Mengenang sambutan ulang tahun pemergian Almarhum Asri Ibrahim di dalam bulan Ramadan yang mulia tahun 1432 Hijriah ini, marilah kita sama-sama mendoakan keamanan rohnya dan ditidakkan dari azab kubur sebelum kita semua dibangkitkan menuju ke padang mahsyar beramai-ramai nanti. Semoga apa sahaja perilaku dan perbuatan Almarhum di dunia sepanjang hayatnya memberi keinsafan dan pengajaran kepada kita. Segala peninggalannya, lagu-lagu, zikir-zikir kita gunakan ke arah yang bermanfaat.
Almarhum Asri Ibrahim akan tetap terus dalam ingatan kita.
KAU KINI TIADA
Kau kini telah tiada
Kau kini telah berjumpa
Saat kematian oh milik semua
Kau Pergi dulu tanpa petanda
Kau musafir berkenala
Kau berjuang dengan irama
Perginya dikau mengejutkan kita
Satu pemergian yang tak terduga
Oh sangat indah hidup bersamamu
Kau teman satu dalam seribu
Hilangnya dikau tiada pengganti
Tinggallah teman bersama memori
Kau tetap segar dalam ingatan
Sampai bilapun takkan dilupakan.
Lagu & Lirik: alongsafa