Datuk Dr Haji Ariffin bin
Dato Haji Mohd Arif, Menteri Sains Teknologi dan Inovatif Sabah bersama Daqmie sewaktu pelancaran album Ramadan 1445. Sumber gambar: 4uWeSeeTV
Daqmie Music Factory mengumumkan pelancaran album terbaru penyanyi dan pemuzik prolifik, Daqmie bertajuk “Ramadan 1445”. Pelancaran album “Ramadan 1445” ini telah disempurnakan oleh Datuk Dr Haji Ariffin bin Dato Haji Mohd Arif, Menteri Sains Teknologi dan Inovatif Sabah, pada 13 Februari 2024 lalu bertempat di Restoran Rebung Bukit Aman.
Album “Ramadan 1445” ini adalah hasil cetusan antara Daqmie dan sahabatnya, Adi Pitang, dengan sokongan kuat dari Datuk Dr Haji Ariffin bin Dato Haji Mohd Arif yang juga berperanan sebagai penerbit eksekutif bersama Puan Syarifah Durrah uzma Syed Jaffar Mohiuddin Shah. Album ini turut menampilkan kerjasama antara Daqmie dengan kumpulan nasyid popular Rabbani dan kumpulan Syahmura.
Tonjol Bakat Kumpulan Nasyid Dari Sabah – Syahmura
Menurut Daqmie, penglibatan kumpulan Syahmura menerusi album ini dilihat satu simbol perpaduan yang boleh dicapai melalui muzik.
“Kumpulan Syahmura merupakan kumpulan nasyid dari Sabah yang mempunyai bakat yang luarbiasa. Mereka komited dan mempunyai masa yang panjang untuk mencipta kejayaan. Gandingan ini akan menjadi suatu simbol perpaduan unik menerusi muzik,” ulas Daqmie.
Bercerita mengenai album ‘Ramadan 1445’, Daqmie berbesar hati dapat bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri.
“Penerbitan album ini melibatkan beberapa nama besar dalam industri muzik termasuk Alfa Booty, Wan Saleh, Amin Nordin, dan Tam Cobain. Rakaman pula diadakan di studio-studio ternama seperti RML Studio, Rekaman Studio, dan Smart Audio Studio.
“Kulit album dihasilkan oleh Baam by Rampage Studioworks, sementara lagu dan lirik dicipta oleh saya sendiri bersama penulis lirik terkenal; ITO Lara, Ustaz Hafiz Nordin, dan Yusof Sabah.
Menteri Turut Menulis Lirik Untuk Daqmie
“Dato Dr Haji Arifin sendiri turut menyerlahkan bakat beliau dengan menulis beberapa lirik yang menggunakan nama pena Mawar Arif dan Abu Sofia.
Selain menyumbangkan lirik untuk album “Ramadan 1445”, Dato Arifin pernah menulis lirik untuk artis-artis lain seperti Datin Camelia dan Datuk Ramli Sarip.
“Album ini merupakan langkah awal Daqmie Music Factory menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan pihak YB Dato Dr Haji Ariffin dalam mengembalikan semula kegemilangan nasyid di Sabah,” ujar Daqmie.
Album ini mengandungi 18 keratan termasuk 10 doa dan 4 lagu dendangan penuh serta 4 minus one oleh Rabbani bersama Daqmie dan Syahmura, menawarkan suatu pengalaman spiritual dan emosional yang mendalam sempena bulan Ramadan.
Penyanyi dan Pemuzik Prolifik
Daqmie, seorang pemuzik yang berpengalaman sejak 1989, telah berkembang dari penyanyi kumpulan East menjadi seorang produser,sound engineer, penulis lagu dan lirik yang disegani. Dengan kerjaya yang merentasi dekad, Daqmie telah memberikan sumbangan besar kepada industri nasyid, bekerja bersama kumpulan-kumpulan terkemuka seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, dan banyak lagi.
Kejayaan beliau termasuk memenangi Anugerah IKIMFM dan menjadi pemenang utama Anugerah Industri Nasyid 2021. Beliau juga merupakan lulusan dari Universiti Utara Malaysia dalam bidang Creative Industry Management.
Tahniah diucapkan kepada Daqmie atas pelancaran album baharu ini.
“Ramadan 1445” ditawarkan pada harga RM69.90 untuk 500 unit pertama. Untuk pembelian, sila hubungi talian 0174882091 atau melalui IG, TikTok, dan laman Facebook Daqmie.