“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam
Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang berderet diadakan sejak setahun dua ni. Ella, KRU, M. Nasir. Semuanya sold out dan menjadi bualan pmerhati muzik tanah air. Viral, tak boleh move on, tu yang diperkatakan
Dan untuk Inteam, Ahad ini di Axiata Arena, ia adalah segala-galanya. Kali ini lebih besar daripada konsert tahun lepas di Idea Live Damansara. Rasanya, konsert solo artis nasyid terbesar yang pernah dianjurkan di tanah Air.
Dalam satu pengakuan yang cukup jujur dan menyentuh hati, anggota kumpulan Inteam, Hazamin tidak berselindung tentang magnitud acara ini. Bagi mereka, Konsert Nur Kasih bukan sekadar satu lagi show dalam kalendar tahunan.
“Ini boleh jadi kemuncak kepada kejayaan dan karier kami,” akui Hazamin.
Kata-kata itu berat. Ia membawa makna bahawa selepas 25 tahun mengemudi bahtera nasyid, Ahad ini adalah puncak kepada apa yang telah mereka bina selama ini. “Kami sebelum ini tidak pernah bermimpi sebegitu. Jadi tak salah kalau kita katakan ini boleh jadi konsert terbesar kami, mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini,” tambahnya.
Darah, Keringat & Air Mata
Bagi kami di Munsyeed yang mengenali susuk kumpulan Nasyid ini secara peribadi lebih 20 tahun, kami melihat sendiri dengan mata kepala kami saat jatuh bangun mereka. Bermula dari duduk dibawah Hijjaz Records, kemudian bertatih sendiri dengan Inteam Records Sdn Bhd.
Mereka membina empayar mereka sendiri. Segala apa yang difikir boleh jalan, mereka redah sahaja. Dari penerbitan album, mengasah bakat-bakat baru, hingga ke penjualan buku dan produk-produk lain. Semua mereka dah lalui
Untuk sampai ke kemuncak show berskala besar, apatah lagi di venue prestij Axiata ini, laluan yang mereka daki untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Inteam telah berjalan melalui lurah dan jurang. Naik turun adalah benda biasa bagi Inteam.
Orang luar hanya nampak kilauan lampu pentas, tetapi Hazamin tampil membuka cerita tentang “fasa gelap” yang hampir menamatkan riwayat kumpulan ini.
“Detik paling rapuh? Ketika tonggak utama, Syahril jatuh sakit. Inteam ibarat hilang separuh nyawa”Tanpa berselindung Hazamin meluahkan apa yang terbuku di hati. “Alhamdulillah, kembimbangan tu beransur bila kami lihat perkembangan kesihatannya semakin baik lepas tu”
Namun, skrip Allah SWT itu cantik—kepedihan itu menjadi asbab kembalinya Hisyam, melengkapkan semula kepingan puzzle Inteam. Dan mereka dah tak menoleh kebelakang lagi dah.
Satu lagi fasa yang memeritkan apabila mereka terpaksa berdepan dengan zaman peralihan produk fizikal seperti CD dan kaset kepada dunia digital. Penggunaan Youtube, gejala ‘download’ dan kemunculan platform streaming benar-benar memberi tamparan hebat buat mereka.
“Bayangkan, empayar perniagaan kami yang selama ini bertunjangkan penjualan CD dan kaset tiba-tiba ‘lumpuh’. Aset menjadi liabiliti. Stok fizikal menimbun, tetapi pendengar sudah beralih ke alam maya.”
Hazamin menyifatkan fasa ini sebagai satu ‘kegawatan ekonomi yang teruk’—satu frasa sopan untuk menggambarkan detik nyawa-nyawa ikan bagi sesebuah syarikat rakaman.
Secara lebih terperinci, tempoh ini menyaksikan kemerosotan mendadak dalam jualan fizikal, yang sebelum ini merupakan tunjang pendapatan utama syarikat rakaman. Cetak rompak digital yang berleluasa dan peralihan pengguna kepada platform perkongsian fail secara percuma telah melumpuhkan model perniagaan tradisional.
Ramai gergasi muzik tanah air tumbang dan gulung tikar di era transisi ini kerana gagal beradaptasi. Tetapi Inteam enggan menjadi ‘dinosaur’ yang pupus ditelan zaman. Mereka bangkit, belajar ‘berenang’ dalam gelombang teknologi baru, dan menyusun semula strategi.
Pertaruhan Segala-galanya
Bila kami tanya tentang konsert ini 25 Tahun Nur Kasih yang akan diadakan pada Ahad ini, tersimpan satu pertaruhan yang menggusarkan.
Cabaran utama konsert ialah mencapai sasaran jualan tiket dan sambutan tinggi, memandangkan kos penganjuran yang biasanya tinggi, kebanyakannya dibiayai modal sendiri dengan sedikit geran kerajaan. Oleh itu, strategi pemasaran, pengiklanan, dan kesedaran awam penting untuk memastikan konsert diketahui dan disokong melalui pembelian tiket.
“Ketika kami didekati oleh Iman Tang dari Icon Entertainment, sebuah nama yang tidak asing lagi dan dihormati dalam industri penganjuran acara di Malaysia, kami merasakan satu gelombang emosi yang bercampur-campur—rasa dihargai, diberi penghormatan yang tinggi, dan satu kesedaran baharu tentang potensi muzik nasyid”Kata Hazamin
Penglibatan ini merupakan bukti jelas bahawa genre nasyid bukan sahaja relevan, malah berhak mendapat tempat di pentas acara berprestij dan berskala besar.
Pendekatan strategik daripada tokoh seperti Iman Tang dan syarikat seperti Icon Entertainment telah membuka ruang signifikan untuk seni nasyid menembusi arus perdana. Sokongan padu peminat mengesahkan bahawa mesej nasyid bukan sahaja memberi impak yang besar tetapi juga amat dinantikan oleh khalayak yang lebih luas.
Hazamin menjelaskan, “Oleh itu, kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Iman Tang dan seluruh pasukan Icon Entertainment. Kepercayaan mereka dalam membenarkan Inteam merealisasikan Konsert Nur Kasih ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah projek; ia adalah pengiktirafan penting terhadap genre nasyid. Sokongan padu ini telah membolehkan hasrat kami untuk mengangkat nasyid ke peringkat yang lebih tinggi menjadi kenyataan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran acara nasyid di masa depan. Kerjasama ini merupakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier kami.”
Pengiktirafan Gergasi & Legasi Masa Depan
Tetapi, adakah ini penamat Inteam? Tidak. Amin menegaskan selepas tirai di Axiata berlabuh, fokus mereka akan berevolusi—ke arah penerbitan, pencarian pelapis baru, dan misi antarabangsa.
Mereka mahu melihat pelapis baru bangkit, menjadi mainstream seperti era emas 1996-2000. Mereka mahu mewariskan legasi ini.
Namun untuk malam Ahad ini, ia adalah tentang Inteam. Ia adalah tentang meraikan puncak perjalanan suku abad mereka.
Seperti kata Amin: “Mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini.”
Jika anda mengaku peminat nasyid, anda wajib berada di sana. Kerana sejarah bakal tercipta.
Aizat Ikhwan
Mula mengenali dunia nasyid sejak di bangku sekolah. Pernah berkecimpung dalam bidang produksi beberapa lagu nasyid, namun beliau mendapati dirinya lebih sesuai berkecimpung dalam bidang media. Pengalaman ‘berguru’ dengan orang-orang lama Utusan, Berita Harian dan Bernama sedikit sebanyak mencorakkan gaya kewartawanannya walaupun tidak mendapat latihan kewartawanan secara formal. Beliau juga pernah menghadiri pengajian muzik secara formal bersama pensyarah di Aswara dalam major Bass Guitar