Setelah selesai menjalankan sesi uji bakat di seluruh dunia bagi sebuah program realiti nasyid antarabangsa, hari ini Sharjah Media Corporation menerusi Sharjah TV telah mengumumkan senarai 16 peserta yang akan mewakili negara masing-masing dalam pertandingan reailiti nasyid peringkat antarabangsa Munshid Sharjah musim yang ke 8.
Berikut adalah senarai 16 peserta Munshid Sharjah bagi musim terbaru:-
Senarai peserta Munshid Sharjah musim baru
Salah seorang peserta Munshid Sharjah, Wahidul Kholis Assaumi, ketika dihubungi sempat berkongsi rasa syukur dan teruja bersama Munsyeed selepas diumumkan sebagai peserta yang akan mewakili Indonesia musim ini.
“Alhamdulillah. Sesuatu yang sangat menggembirakan dan takut. Gembira karena senang bisa ikut dalam pentas Munshid Sharjah, dan takut kalau saya tak bisa memberikan yang terbaik. Tapi saya akan tetap berusaha dan berharap menjadi yang terbaik”
Sama seperti musim-musim terdahulu, para peserta yang terpilih untuk menyertai Munshid Sharjah akan diterbangkan dari negara masing-masing menuju ke Sharjah bagi menjalani latihan setiap minggu sebelum melangkah ke konsert mingguan yang dijadualkan berlangsung mulai 4 Disember 2015. Sepanjang tempoh tersebut, para penonton akan berpeluang untuk menyaksikan perkembangan serta segala aktiviti harian yang dilakukan oleh para peserta selain menyaksikan siri konsert mingguan di saluran Sharjah TV.
Konsert mingguan Munshid Sharjah akan disiarkan secara langsung pada setiap hari Jumaat menerusi saluran televisyen Sharjah TV dan juga melalui pelbagai platform atas talian. Sepanjang program ini berjalan, para penonton juga akan berpeluang untuk menghantarkan undian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) bagi memilih peserta yang layak untuk mara ke konsert yang seterusnya.
Kamal Rizk, juara Munshid Sharjah tahun lalu. sumber: TheNational
Musim lalu telah menyaksikan peserta dari Algeria, Kamal Rizk merangkul gelaran juara mengenepikan kesemua peserta dari seluruh dunia termasuk wakil dari Malaysia Idris Shamsuddin di dalam rancangan realiti Munshid Sharjah. Bersama kemenangan tersebut, beliau telah membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta BMW, kontrak rakaman album bersama Sharjah Media Corporation dan juga wang tunai sebanyak AED 150,000.
– Munsyeed