Kenyataan Rasmi Komuniti Teman Inteam (KTI) Berkenaan HIMPUN
Komuniti Teman Inteam (KTI) menyokong penuh Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Selamatkan Akidah yang bakal berlangsung pada esok, Sabtu, 22 Oktober 2011 dari jam 2 petang hingga 6 petang di Stadium Shah Alam.
Adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap individu Muslim untuk mempertahankan agamanya dari sebarang bentuk ancaman terhadap akidah mahupun agama. Dalam masa yang sama, tidak pula menyakiti mana-mana pihak ataupun menimbulkan kekacauan yang boleh mengancam ketenteraman dan keharmonian agama di bumi Malaysia yang tercinta ini.
KTI menjunjung tinggi agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan sebagaimana yang telah termaktub dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama oleh penganut agama lain seperti yang dijamin oleh perlembagaan. Namun, adalah menjadi ingatan dan panduan bersama bahawa penganut agama lain tidak dibenarkan menyebar agama mereka kepada orang Islam berdasarkan Artikel 11 (1) yang jelas melarang tindakan seumpama itu. Justeru, kami menggesa agar semua pihak memahaminya dan menghormatinya.
KTI juga menggesa semua ahli Komuniti Teman Inteam (KTI) untuk bersama-sama dengan dengan kumpulan Inteam dan artis nasyid yang lain dalam Munsyid Malaysia untuk turut serta dalam Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Selamatkan Akidah yang akan berlangsung esok sebagai tanda solidariti penyatuan kita terhadap isu ini.
HIMPUN bukan bertujuan mencetuskan provokasi terhadap penganut agama lain, pelanggaran hak mahupun kekecohan sebaliknya himpunan ini bersifat aman, diisi dengan pengisian ilmu dan ucapan penyatuan serta persembahan menarik- nasyid daripada Munsyid Malaysia.
Semoga Allah melapangkan masa kita untuk hadir ke HIMPUN esok. Sekian, terima kasih.
Saf Kepimpinan KTI 2011
Komuniti Teman Inteam (KTI)