Salam Sejahtera, Salam Silaturrahim.
Untuk kali ini EP membelek beberapa stesen radio yang mengambil pendekatan Islamik dalam setiap rancangan yang disiarkan. Bunyi macam banyak tetapi ada dalam 4 stesen sahaja (3 halal 1 hare).
EP telah mengenalpasti beberapa radio Islamik yang kerap memainkan nasyid ketika bersiaran. Dah nama pun Radio Islamik tentulah main lagu Islamik yang mengandungi nasihat-nasihat dan pesanan-pesanan serta peringatan yang baik-baik. Konten-konten radio yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah Nabi. Memainkan tak kiralah lagu nasyid ke, lagu dakwah ke, lagu ketuhanan ke, selawat, zikir dan juga marhaban.
Pertama, Radio Ikimfm (Halal) di bawah kelolaan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersiaran selama 24 jam setiap hari dengan pelbagai slot rancangan yang menarik. Frekuensinya meliputi seluruh tanahair dan dapat juga didengari secara online di seluruh dunia dengan menyasarkan pelbagai golongan pendengar untuk terus mendapat inspirasi dari setiap rancangan yang disiarkan. Pendengar boleh mengikuti kesemua rancangan IKIMfm pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada melalui ‘audio podcast’ yang disediakan.
IKIMfm memperkenalkan slogan (tagline) ‘Inspirasi Utama Anda’ membawa strategi kandungan yang mengangkat tema inspirasi kepada semua. Ikimfm membarisi para penyampai yang bertenaga dan berinovatif, kandungan rancangan yang segar dalam menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat. Antara rancangan-rancangan yang disediakan sepanjang 24 jam itu termasuklah segmen Inspirasi Pagi, Inspirasi Ilmu, Inspirasi Jiwa, Kembara Inspirasi dan Suara Inspirasi. Hebat! Sungguh hebat.
Kedua, Radio Salamfm (Halal) di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Radio ini hanya bersiaran di waktu malam bermula jam 11.00 malam hingga ke jam 8.00 pagi ke esokkan harinya. Pengisiannya hampir sama dengan Ikimfm dengan menyiarkan lagu-lagu nasyid, bual bicara, bacaan Al Quran dengan penyampai atau DJ yang tak kurang hebatnya. Sayangnya waktu siarannya terhad dan pendengarnya juga terhad kepada mereka yang suka berjaga malam sahaja. Gelombang frekuansi dipinjam dari frekuansi Asyikfm yakni frekuansi radio Orang Asli.
Ketiga, Zayanfm (Halal) di bawah Astro Radio Sdn Bhd, sebuah platform digital dan juga radio berkonsepkan kehidupan muslim moden pada masa kini. Slogan Zayan adalah “Destinasi Nasyid Anda” juga bersiaran 24 jam sehari semalam dengan para penyampainya yang lebih agresif dan bertenaga. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan lebih mahu menonjolkan ‘Nasyid’ bila memilih slogan berkenaan. Syabas Zayan.
Biarpun berslogankan “Nasyid”, Zayan lebih terbuka dengan menyiarkan bukan saja lagu-lagu nasyid tetapi juga lagu-lagu ketuhanan, lagu dakwah serta lagu-lagu yang positif dikalangan penyanyi bukan nasyid. Slot bual bicaranya atau forum mengupas isu semasa yang sering berlegar masa kini dan diperbincangkan dengan lebih santai diselangi lagu-lagu nasyid, zikir, selawat dan sebagainya. Sama saja seperti di Ikimfm dan Salamfm yang mana ‘Nasyid’ itu lebih diutamakan.
Keempat, Nasyidfm (Hare), sebuah stesen radio talian (online) juga berkonsepkan Islamik berslogankan “Wadah Hiburan Terkini”. Stesen radio yang agak sendu dengan penyampai yang sendu (tidak dikenali). Terkadang-kadang saja bersiaran dan selebihnya hanya memainkan lagu nasyid dan sedikit pesanan-pesanan khidmat masyarakat.
Mengapa EP melabelkan ‘itu halal ini haram?’ EP ni siapa nak keluar fatwa? Ini adalah kerana mengambil harta intelek (lagu-lagu nasyid) begitu saja tanpa memohon kebenaran (copyright dari pemiliknya yang sah) dan tidak membayar apa-apa royalti atau honorarium yang sepatutnya adalah salah. Senang cakap sama seperti kegiatan menciplak atau cetak rompak. Agak kurang berakhlak di situ.
Ini satu kesalahan di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 bang. Baru-baru ini, kerajaan Malaysia meluluskan rang undang-undang menambah baik Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang mencadangkan mana-mana individu atau perniagaan yang melakukan atau memudahkan pelanggaran hak cipta melalui teknologi penstriman akan dihukum. Pindaan baharu itu memperkenalkan hukuman bagi kesalahan berkaitan teknologi penstriman dan mereka yang didapati bersalah akan didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Itu undang-undang dunia bang. Oleh kerana kegiatan seperti ini juga dikira seperti ‘mencuri’ maka tidak akan terlepas dari hukum Tuhan di akhirat nanti.
Jika di negara Barat hukumannya lebih ketat lagi. Kau mungkin ke dalam bang!. Untuk menghalalkan perkara ini tiada cara lain selain berhubung dengan pemilik harta intelek berkenaan dan meminta kebenaran yang sah. Jika dibenarkan bolehlah disiarkan, jika tidak dibenarkan makan tidak boleh disiarkan. Jika disuruh membayar royalti maka kenalah bayar. Dah tak banyak benda free dalam dunia ni bang. Insaflah…
Epal Pedas – Harta intelek bukan telor ayam kampung yang mudah dicuri tanpa rasa bersalah.
Nota: Gambar sekadar hiasan. Kredit Jabatan Penerangan Malaysia.
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com