Ulasan

Review: Maher Zain One Hidang Mesej Tauhid Bertaraf Antarabangsa

Baru-baru ini saya berpeluang untuk hadir sesi soft-launching album terbaharu Maher Zain di Restoran Puteri, Sungai Penchala anjuran Inteam Records. Program turut digandingkan dengan pelancaran single raya terbaharu ‘Tahmid Lebaran’ gabungan Munsyid – Inteam, Hijjaz, Raihan, Rabbani, Fareast, dan Lah Ahmad. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dan setiap wakil media yang hadir turut diberikan CD album terbaharu Maher Zain secara percuma! – Happy ya rabbi.  Selaku peminat dari album pertama, saya dapat rasakan betapa kuatnya pengaruh muzik Maher Zain terhadap identiti muzik Malaysia terutamanya kepada irama nasyid tempatan. Realitinya, penggemar-penggemar nasyid seluruh dunia terutama di Nusantara sangat menerima baik kedatangan Maher Zain serta dilihat memberi sinar dan nafas baharu dalam arena dakwah muzik ketuhanan.

Mesej Tauhid Bertaraf Antarabangsa

Sejauh pemerhatian saya mendengar album terbaharu Maher Zain, saya perlu akui yang Maher Zain sangat berani membawa pembaharuan dalam gaya muziknya. Jika sebelum ini kita dengar album pertama dan kedua yang agak ‘ringan-mendayu’ konten dan muziknya, namun kali ini benar-benar berlainan.

‘Maher Zain : One’ telah mempersembahkan mesej tauhid dalam pelbagai perisa yang enak dan bertaraf antarabangsa. Tidak keterlaluan untuk saya katakan tema muzik untuk album ketiga ini agak cenderung ‘kebaratan’ (seperti ramai yang setuju), namun saya masih berpendapat ia bersifat ‘world class’, masih rencah dengan budaya timur tengah, dan sesuai untuk didengar oleh semua peringkat umur.

Sebelum ini lagu-lagu Maher Zain umumnya lebih mengetengahkan irama pop ballad moden dengan gemersik Timur Tengah. Namun album ketiga ini menghidangkan irama ‘American Pop’ yang agak ‘catchy’ dan ada ‘groove’. Pembaharuan ini boleh didengar melalui track lagu seperti ‘By My Side’, ‘True Love’, ‘Let It Go’, ‘Close to You’, dan ‘Good Day’. Ada beberapa percubaan ‘fusion’  rentak budaya yang juga tidak mengecewakan dalam kebanyakan lagu seperti ‘The Power’, ‘Medina’, ‘I’m Alive’, ‘Rabbee Yebarik’ dan ‘The Way of Love’. Jangkaan saya melihat pada gaya muzik terbaharu ini, Maher Zain mungkin berstrategi untuk meluaskan tebaran pendengarnya di sebelah Eropah pula setelah berjaya menawan pendengar di Asia Tenggara.

Maher Zain ‘Kiblat’ Nasyid Global?

Namun berbalik kepada album, hujung pangkal yang perlu dititikberatkan ialah kandungan album itu sendiri. Adakah mesejnya lebih sampai melalui pendekatan muzik terbaharu ini? Adakah pendengar-pendengar awam boleh menerima buah tangan terbaharu dari Maher Zain ini?

Hal ini menarik untuk kita bincangkan. Industri muzik global hakikatnya ada ‘kiblat’ yang tersendiri. Contoh di Malaysia, zaman ‘rock kapak’ suatu ketika dahulu bertahan agak lama dan sedikit sebanyak telah mempengaruhi cara hidup dan budaya anak muda belia. Kemudian ada zaman muzik ‘hiphop’ mengambil tempat. Walaupun dicemuh pada awalnya, akhirnya kini ia dapat diterima ramai malah dalam penyampaian mesej dakwah sekalipun. Seterusnya pelbagai lagi era muzik bertukar ganti dan begitulah ia mempengaruhi sikap dan cerminan budaya anak muda.

Industri nasyid lebih-lebih lagi tidak terlepas dari tempias yang sama. Industri ini dilihat sebagai ‘rumah’ yang diduduki oleh pelbagai jenis orang. Penggiat-penggiatnya saling memilih untuk berpengaruh dan berbeza antara satu sama lain yang kemudiannya disatukan atas satu bumbung – mesej ketuhanan. Ada yang memilih untuk kekal di bawah satu nama. Ada yang memilih untuk berlainan jenama. Ada pula yang memilih untuk ‘keluar masuk’ sahaja. Pelbagai ragam dan warna.

Begitupun apabila Maher Zain berevolusi dengan muzik, adakah kita akan menolaknya? Adakah kita akan bersikap yang serupa dengan penggiat-penggiat nasyid tempatan? Adakah Maher Zain dan artis-artis Awakening Records ‘kiblat’ industri nasyid global?

Karya Matang dan Teliti

‘Maher Zain : One’ adalah penanda aras yang tinggi. Itu perlu kita akui. Ia adalah karya yang matang, mengambil tempoh, dan penuh ketelitian. Terdapat beberapa buah lagu duet yang turut menarik perhatian saya seperti track lagu ‘I’m Alive’ feat. Atif Aslam. Sarat dengan mesej ketuhanan yang diadun dalam rentak Hindi, bersama penyanyi terkenal Atif Aslam yang turut pernah menyumbang suara untuk sebuah lagu di dalam filem Hindi ‘Bajrangi Bhaijaan’. Track lagu ‘The Way of Love’ feat. Mustafa Ceceli juga tidak kurang hebatnya. Lagu berentak Turki ini dilayarkan bersama lirik cinta Rasulullah SAW yang sangat mendalam. Pendek kata, semua lagu duet di dalam album ini semua menjadi!

Akhir kata, selamat mendengar buah tangan terbaharu dari Maher Zain berjudul ‘One’. Saya fikir pelancaran albumnya sangat kena pada masanya kita menyambut Ramadhan kemudian bakal merayakan Aidilfitri. Memang sangat sesuai untuk diulang pasang selalu di dalam kereta atau di dalam majlis. Walaubagaimanapun, saya fikir ia bukan ‘timing’ yang bagus untuk artis-artis religi terbitkan album atau single. Tenggelam!

– Munsyeed

Ajwad Amal

Seorang penuntut jurusan Komunikasi Massa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sering dilihat aktif menjalankan kegiatan seni di universiti. Pernah memenangi anugerah Artis Baru Nasyid Terbaik di Anugerah Nasyid IKIMFM 2014 bersama kumpulan Du'a dan kini bergerak aktif bersama trio The Prism.

Recent Posts

Stories by Muslim Pro Dilancarkan: Penceritaan Digital Tanpa Sempadan, Madina Jadi Pembuka Tirai

Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular dunia, melancarkan inisiatif kandungan baharu Stories by Muslim…

6 days ago

Jalin Ukhwah – Menteri Agama Main Badminton Bersama Inteam, Munsyid Malaysia

Suasana santai penuh ukhuwah tercipta apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB…

4 weeks ago

Ada Pihak Sabotaj Lagu Bianglala Sehingga Tidak Tercalon AIM? Ini Pendedahan Faiesh Syazwan

Nama baharu dalam industri muzik tanah air, Faiesh Syazwan, kini semakin mendapat perhatian selepas kemunculan…

4 weeks ago

Devotees Umum Senarai Lagu Untuk Showcase Devotees 2025

Selepas mengumumkan penganjuran showcase khas sempena ulang tahun ke-20 mereka baru-baru ini, kumpulan nasyid Devotees…

1 month ago

Munsyid Malaysia Raikan Calon Top 5 Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM 24)

Munsyid Malaysia tampil merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas penganjuran…

1 month ago

Hazamin Inteam Terima Anugerah Tokoh Alumni UIAM Sempena IIUM Takrim Day 2025

Penyanyi nasyid Inteam, aktivis kemanusiaan Peduli Insan dan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad…

1 month ago