Categories: AlbumTerkiniUlasan

Review: Suhaimi Saad – Maksud Hidup

Alhamdulillah, saya diberi peluang sekali lagi oleh Munsyeed untuk menjalankan tugasan review karya-karya terkini tanah air. Namun tugasan kali ini lebih berat nampaknya kerana saya perlu lakukan review album! Ini bermakna rangkuman pemerhatian saya perlulah meliputi setiap lagu yang dimuatkan di dalam album tersebut. Album siapakah itu? Album siapa lagi kalau bukan album konsep terbaharu artis nasyid solo tanah air Suhaimi Saad yang berjudul ‘Maksud Hidup’.

Apa yang istimewa berkenaan album ini ialah ia mengandungi lapan track yang bukan sahaja terdiri daripada lagu-lagu, sebaliknya digabungkan juga dengan track konsep zikir-zikir evergreen. Buat anda yang sudah mendengarkan album ini, boleh sama-sama kita telusuri secara lebih mendalam. Buat anda yang belum mendengarnya, mungkin ini bacaan yang baik untuk anda menilai sama ada album ini tergolong dalam kategori ‘harus’ atau ‘wajib’ dimiliki sebagai koleksi anda.

‘Hasbi Rabbi’, ‘Astaghfirullah’ & ‘Subhanallah’

Sebagai orang awam yang dibesarkan dengan alunan zikir-zikir, saya pasti ramai yang akan familiar dengan tiga buah zikir ini. Menarik sekali, zikir evergreen ini berhasil dialunkan semula oleh suara ‘evergreen’ milik Suhaimi Saad untuk dimuatkan di dalam album terbaharunya. Semestinya dengan sedikit kelainan – gabungan komposisi piano yang ringan beserta alunan suara latar ‘gaya Hafiz Hamidun’ menjadikan zikir ‘Hasbi Rabbi’, ‘Astaghfirullah’ dan ‘Subhanallah’ ini tenang didengar sewaktu hati dilanda resah.

Namun begitu, saya sebagai peminat alunan zikir sentiasa menantikan gubahan-gubahan baharu untuk zikir-zikir harian seperti ini untuk dipersembahkan di dalam sebuah album baharu. Pasti ada kelainan dan kepelbagaian terhadap pengamalan zikir-zikir ini. Walau bagaimanapun, saya yakin album ini telah pun memiliki ‘marketing strategy’ dan golongan pendengarnya yang tersendiri kerana pasti ramai juga yang tercari-cari zikir-zikir yang sudah kebiasaannya didengar sebagai halwa harian. Lagi-lagi dialunkan semula oleh bekas ahli kumpulan nasyid Inteam ini yang memang sedap berlemak suaranya.

Cinta Sidna

‘Cinta Sidna’ merupakan salah sebuah track yang sentiasa saya ternanti-nanti untuk mendengarnya. Sebelum penerbitan album ini, lagu ‘Cinta Sidna’ telah diperdengarkan lebih awal di laman YouTube dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pendengar dan peminat Suhaimi Saad. Lagu gubahan bersama Ito Lara / Alif Lam Ra (selaku penulis lirik) dan Hafiz Hamidun (selaku penggubah melodi) merupakan sinergi yang bagi saya berjaya dan harmoni.

Lagu yang mengisahkan tentang cinta dan kehidupan Rasulullah SAW ini sangat bersesuaian dengan suara gemersik Suhaimi Saad. Malahan lirik yang dikarang oleh Ito Lara tidak pernah sesekali mengecewakan (berturutan selepas lagu ‘Tangis Sebatang Tamar’ nyanyian Dakmie). Kemudian gubahan melodi Hafiz Hamidun kali ini pula penuh dengan elemen kejutan yang mengasyikkan.

Muzik yang melatari lagu ini juga sungguh berharmoni dengan persembahan gabungan string dan gitar akustik. Malahan perkusi-perkusi Arab yang dimainkan juga tidak mengecewakan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Saya tidak pasti sama ada lagu ini telah dijadikan ‘official soundtrack’ untuk mana-mana drama televisyen kerana ia memang berada di level itu! Jika belum, maka haruslah penerbit-penerbit drama tanah air pantas mengambilnya sebagai OST drama islamik mereka.

‘Ilahi Lastu Lilfirdaus’ & ‘Nour El Anwar’

Dua buah zikir lagi yang dimuatkan dalam album terbaharu ini memiliki sedikit kelainan yang boleh diambil perhatian. Walaupun ia merupakan zikir-zikir yang sudah kebiasaannya didengar dan boleh dikategorikan sebagai ‘zikir evergreen’, namun penggubah muzik bijak membawakan pembaharuan komposisi dan suara latar yang mengagumkan. Saya juga kagum dengan latar bunyi-bunyi perkusi arab yang sangat ‘rich’ dan layak diberi pujian. Tidak ramai komposer Malaysia yang berjaya memasukkan elemen muzik padang pasir ke dalam sesebuah karya tempatan.

Cinta Mu

‘Cinta Mu’ merupakan lagu ketuhanan yang khas ditujukan buat Allah. Sangat ringan untuk didengar dan memiliki elemen-elemen dari negara seberang Indonesia yang agak kuat. Sekali lagi vokal Suhaimi Saad perlu dipuji untuk sebuah karya yang hebat ini. Namun saya secara peribadi berpendapat suara latar ‘gaya Hafiz Hamidun’ perlu dikurangkan untuk lagu ini. Let the vocal prove it!

Secara keseluruhan, lagu ini memang sedap didengar. Namun begitu, roh atau berat suara untuk lagu ini boleh di ‘punch’ lebih dalam lagi. Pembaharuan Hafiz Hamidun untuk keseluruhan komposisi perlu dipuji, namun penting juga bagi saya untuk dikekalkan originaliti penyanyi asal. Overall, terbaik!

Maksud Hidup

Saya suka variasi yang dipamerkan oleh gitar akustik di dalam track lagu ‘Maksud Hidup’ ini. Diawalnya saya jangkakan lagu ini pasti memiliki sesesuatu yang berbeza kerana ia turut dipilih sebagai judul album ini sendiri. Ternyata, ia memang lain dari yang lain! Gemersik suara Suhaimi Saad untuk lagu ini juga sangat mengasyikkan. Meremang bulu roma dibuatnya.

Tidak dinafikan lagu ini juga ada iras-iras bunyi dari negara seberang. Namun mesej positif yang terdapat didalamnya itu lebih harus dititikberatkan. Apakah sebenarnya maksud hidup bagi kita? Apa sebenarnya yang kita cari di dalam hidup ini? Sudahkah kita menemui jawapan terhadap asal penciptaan diri kita? Persoalan-persoalan ini berjaya dicuit lembut oleh lagu yang sarat dengan ‘makna’ ini. Menarik untuk diperkatakan, gaya pembawaan lagu ini ada iras-iras penyanyi Indonesia, Afgan juga. Walau bagaimanapun, ‘Maksud Hidup’ merupakan karya pop yang memang ‘best’ untuk dilayan dan diulang dengar. Thumbs up!

Sekian sahaja review album ‘Suhaimi Saad – Maksud Hidup’ untuk artikel kali ini. Maaf jika ada terkurang atau ‘terlebih’ kata dalam menilai album terbaharu ini. Mungkin juga review saya ini berada diluar penilaian anda yang telah pun mendengar lagu ini. Jika ada sebarang penambahan, anda boleh kongsikan pemerhatian dan pengamatan anda terhadap album ini di ruangan komen. Mana tahu anda ada sesuatu yang boleh kita diskusikan. Mudah-mudahan bermanfaat. Hidup Nasyid untuk agama, bangsa, dan negara!

Ajwad Amal

Seorang penuntut jurusan Komunikasi Massa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sering dilihat aktif menjalankan kegiatan seni di universiti. Pernah memenangi anugerah Artis Baru Nasyid Terbaik di Anugerah Nasyid IKIMFM 2014 bersama kumpulan Du'a dan kini bergerak aktif bersama trio The Prism.

Recent Posts

Stories by Muslim Pro Dilancarkan: Penceritaan Digital Tanpa Sempadan, Madina Jadi Pembuka Tirai

Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular dunia, melancarkan inisiatif kandungan baharu Stories by Muslim…

3 days ago

Jalin Ukhwah – Menteri Agama Main Badminton Bersama Inteam, Munsyid Malaysia

Suasana santai penuh ukhuwah tercipta apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB…

3 weeks ago

Ada Pihak Sabotaj Lagu Bianglala Sehingga Tidak Tercalon AIM? Ini Pendedahan Faiesh Syazwan

Nama baharu dalam industri muzik tanah air, Faiesh Syazwan, kini semakin mendapat perhatian selepas kemunculan…

3 weeks ago

Devotees Umum Senarai Lagu Untuk Showcase Devotees 2025

Selepas mengumumkan penganjuran showcase khas sempena ulang tahun ke-20 mereka baru-baru ini, kumpulan nasyid Devotees…

4 weeks ago

Munsyid Malaysia Raikan Calon Top 5 Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM 24)

Munsyid Malaysia tampil merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas penganjuran…

4 weeks ago

Hazamin Inteam Terima Anugerah Tokoh Alumni UIAM Sempena IIUM Takrim Day 2025

Penyanyi nasyid Inteam, aktivis kemanusiaan Peduli Insan dan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad…

4 weeks ago