Hampir 5 tahun kumpulan Firdaus menyepikan diri tanpa sebarang album baru. Dalam tempoh hibernasi itu, Firdaus hanya muncul dengan lagu single, satu demi satu bagi mengubat kerinduan para peminat. Enggan terburu-buru dalam menghasilkan karya, akhirnya Firdaus membuat kejutan dengan kemunculan album terbaru yang cukup istimewa berjudul Saat Terindah.
Firdaus yang dianggotai 5 orang anak muda berbakat ini memulakan karya mereka pada tahun 1997 dengan kelahiran album berjudul Keampunan dibawah label SRC Records. Setelah 4 album dihasilkan, Firdaus dengan berani melakukan perubahan untuk album ke-5 sebagai satu interpretasi baharu bagi muzik yang dibawa oleh mereka.
Single Sabar Sajalah
Album Saat Terindah ini mengandungi 9 track lagu baru yang masih segar untuk dihadam oleh para peminat. Mempertaruhkan lagu Sabar Sajalah sebagai single pertama, lagu ini merupakan hasil kolaborasi kedua Firdaus bersama Cat Farish selepas kejayaan lagu pertama mereka, Ku Berlari. Menariknya, untuk lagu Sabar Sajalah, Firdaus turut menampilkan Zizan Razak dan BeeRu selain Cat Farish dalam lagu tersebut.
“Mereka sangat supportive! Sewaktu saya hubungi mereka untuk projek lagu ini, mereka terus memberi respon positif dan ia cukup memudahkan urusan penghasilan lagu ini.” jelas Idzwan Yaacob yang merupakan salah seorang ahli kumpulan Firdaus.
Selain lagu Sabar Sajalah, Firdaus turut menjemput beberapa artis lain untuk turut sama berkolaborasi bersama mereka. Antaranya Noh Hujan dan Sheila Abdul untuk lagu Ku Bersaksi, Zahid AF di dalam lagu Masihkah Ada Cinta dan Pretty Ugly menerusi lagu Semua Milik Kita. Album Saat Terindah ini juga mendapat sentuhan istimewa dari komposer tersohor antaranya Cat Farish, Faizal Tahir, Yasin Sulaiman, Aiman, Neves Pretty Ugly, Haris Isa disamping kumpulan Firdaus sendiri.
“Di dalam album ini, terdapat sebuah lagu yang cukup bermakna buat kami. Lagu Kerna-Nya Aku Menolakmu bukan sebuah karya yang mudah untuk dihasilkan. Sarat dengan mesej berguna melalui bahasa yang cukup puitis, kami garap lagu ini khas untuk mengajak para peminat untuk menjauhkan diri dari bahaya zina. Ini sebahagian dari tanggungjawab sosial dan usaha dakwah yang boleh kami lakukan melalui seni muzik kami.” ulas Idzwan di Majlis Sidang Media Pelancaran album Firdaus, Saat Terindah.
Industri Nasyid Sebagai Produk Global
Majlis Pelancaran Album Firdaus; Saat Terindah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir. Di majlis tersebut, Dato Mukhriz turut melahirkan hasratnya untuk membawa muzik nasyid dan lagu-lagu ketuhanan ke peringkat global sebagai satu produk Malaysia untuk dunia.
Album Saat Terindah akan mula dipasarkan bermula pada hari Isnin, 4 Jun 2012 di seluruh Malaysia. Album ini diterbitkan oleh syarikat milik Firdaus sendiri, De Firdausi Entertainment dan diedarkan oleh Warner Music.
“Semoga saat memiliki album ini nanti menjadi Saat Terindah yang tidak akan dilupakan oleh semua para peminat yang tidak jemu menyokong kami.” kata Idzwan sebelum mengakhiri perbualan bersama kami.
-Munsyeed{Dot}Com