Ketua kumpulan nasyid AIDIL, Syamsul Izzudin telah bertindak keluar dari kumpulan AIDIL berkuatkuasa hari ini, 7 Februari 2013. Berita pengunduran Syamsul telah diumumkan oleh kumpulan AIDIL sendiri melalui laman Facebook rasmi mereka disini: Facebook AIDIL.
Berita pengunduran Syamsul dari AIDIL
Ketika dihubungi oleh pihak Munsyeed, AIDIL menafikan berlaku sebarang perbalahan diantara mereka dengan bekas ketua kumpulan mereka, Syamsul.
“Syamsul memilih untuk berundur dari AIDIL kerana beliau ingin memberi fokus kepada kerjaya beliau sebagai seorang pendidik. Beliau juga kini mengusahakan homestay di Ayer Keroh, Melaka. Jadi kami menghormati keputusan beliau dan menerima dengan hati yang terbuka.” ulas Fadzli Abdullah.
Tambah Fadzli, walaupun AIDIL terpaksa kehilangan Syamsul yang telah mengetuai AIDIL sejak 2003, namun beliau menarik nafas lega apabila anggota lama AIDIL yang pernah mengundurkan diri kini memilih untuk kembali menyertai AIDIL semula.
“InshaALLAH, kami akan meneruskan perjuangan seni kami walaupun tanpa Syamsul. Terbaru, kami dalam proses merakamkan single terbaru kami berjudul Jalan Cintaku. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer tersohor, Hafiz Hamidun. Menerusi lagu ini, kami bercadang untuk mendapatkan khidmat AG Coco sebagai pemuzik bagi lagu ini. Kami harap peminat dapat mendoakan semoga proses rakaman nanti berjalan lancar.” jelas Fadzli.
Ketika ditanya mengenai siapa yang bakal menggantikan tempat Syamsul di dalam AIDIL, Fadzli berkata buat masa ini mereka selesa berempat dan mereka akan umumkan jika ada penambahan ahli baru dari masa ke semasa.
Fadzli turut memaklumkan yang beliau akan menggantikan tempat Syamsul sebagai ketua kumpulan AIDIL yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Munsyeed{Dot}Com mendoakan semoga AIDIL terus sukses dan menggapai bintang kejayaan di arena muzik Malaysia dan nusantara. Buat Syamsul, kami doakan yang terbaik buat beliau di dalam bisnes dan kerjayanya.
-Munsyeed{Dot}Com