Pelakon dan penyanyi lagu berbahasa Arab, Da’i Syed meluahkan rasa syukur apabila masih diberi peluang untuk kembali ke layar perak menerusi filem seram Dajal Satu Malam Di Pedajal.
Menurut Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed, ini merupakan tawaran pertama yang diterimanya selepas melalui tempoh sukar tahun lalu.
“Alhamdulillah, filem ini adalah pembuka rezeki buat saya bagi tahun 2025. Sejujurnya, saya memang tiada tawaran kerja sebelum ini. Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih buat MIG dan pengarah Pierre Andre kerana sudi memanggil saya. Mungkin ini juga rezeki anak dan isteri saya. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” katanya kepada Gempak.
Da’i Syed berkongsi perkara tersebut kepada pihak Astro Gempak ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Dajal Satu Malam Di Pedajal yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Terbuka Untuk Tawaran Seni, Fokus Bisnes Batu Permata
Walaupun sentiasa terbuka untuk menerima tawaran berlakon, Da’i Syed kini lebih selektif dalam memilih watak dan memberikan tumpuan kepada perniagaan yang diusahakan bersama isterinya, pengacara Hana Ismail.
“Walaupun tiada tawaran dalam bidang seni, saya masih ada perniagaan yang menjual batu permata daripada Mesir. Saya dan isteri sedang giat jalankan bisnes tersebut. Walaupun Allah tidak memberikan rezeki di cabang ini, Dia akan bagi di cabang lain. Tangan saya masih terbuka untuk menerima rezeki dalam bidang seni.
“Namun saya memilih tawaran iaitu watak ustaz ataupun pendakwah. Saya masuk dalam industri ini dari tahun 2016 untuk sampaikan dakwah dalam nyanyian atau lakonan,” tambahnya.
Untuk rekod, pada Ogos lalu, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membenarkan permohonan peguamnya untuk membebaskan Syed sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Sumber berita: Astro Gempak.