Selimut Kasih – Inteam Menang Besar di Anugerah Carta 114 TVAlhijrah
Inteam mengungguli Anugerah Carta 114 Musim Pertama apabila dinobatkan sebagai Juara Anugerah Carta 114 menerusi lagu Selimut Kasih. Lagu ciptaan Syah Inteam dan lirik oleh Fedtri Yahya itu telah disampaikan oleh salah seorang anggota Inteam iaitu Hisyam, sambil diiringi pemuzik versatil, Fuad Ko.
Menerusi kemenangan ini, Inteam membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 beserta trofi. Disamping itu, Inteam turut merangkul kategori Vokal Terbaik dan Lagu Terbaik, dimana setiap satu menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.
Bagi kategori Persembahan Terbaik, trio pendakwah terkenal; Ustaz 3 Beradik yang menyampaikan lagu Si Bujur Sireh berjaya menawan hati para juri dan penonton seterusnya melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.
Selain Selimut Kasih (Inteam) dan Si Bujur Sireh (Ustaz 3 Beradik), 4 lagu lain yang berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Carta 114 adalah Hadirmu (Shidee Khayran), Hanya Kamu (Fitri Haris), Linangan Laduni (Darwish) dan Laila Majnun (gandingan mantap One Path dan Azwan Far East).
Anugerah Carta 114 juga tidak ketinggalan dalam menghargai jasa dan pencapaian luarbiasa penggiat seni apabila menobatkan penulis lirik terkenal; ITO Lara sebagai penerima Anugerah Khas Carta 114. ITO Lara atau nama sebenarnya Mohd Radzi Sulaiman menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi sebagai tanda penghargaan. Anugerah Khas ini merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian luarbiasa beliau dalam industri nasyid di Malaysia.
Pada majlis berasingan, pihak produksi telah menyampaikan anugerah bagi pemenang kategori yang telah diumumkan lebih awal. Shidee Khayran telah dinobatkan sebagai Artis Solo Terbaik. Manakala Inteam memenangi kategori Artis Berkumpulan Terbaik.
Lagu Laila Majnun, hasil ciptaan sepenuhnya Akmal Mustafa, nyanyian One Path feat Nazrey Johani terpilih bagi kategori Susunan Muzik Terbaik.
Tuah juga menyebelahi Penulis Lirik Hazalinda Harun apabila lagu Si Bujur Sireh nyanyian Ustaz 3 Beradik diangkat sebagai pemenang Lirik Terbaik.
Video Muzik Fitri Haris berjudul Hanya Kamu telah dipilih sebagai Muzik Video Terbaik. Akhir sekali, kategori Pilihan Peminat dimenangi oleh Darwish menerusi lagu Linangan Laduni.
Pada pentas akhir Anugerah Carta 114 tersebut, kumpulan nasyid legenda; Raihan telah membuat persembahan medley lagu-lagu malar segar mereka seperti Assolatuwassalam, Syukur, Allahu, Sesungguhnya, Puji Pujian dan Iman Mutiara. Persembahan istimewa ini sangat dinantikan oleh para peminat dan Raihan telah memberikan persembahan yang terbaik pada malam tersebut.
Persembahan pembukaan telah diserikan oleh Amir Ukays yang menyampaikan lagu Kau Satu-Satunya, Aris Ariwatan menerusi lagu hitsnya Permaidani dan Syafiq Farhain dengan lagu Suci Dalam Debu.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang, finalis, produksi TVAlhijrah dan semua yang menjayakan malam kemuncak Anugerah Carta 114 TVAlhijrah.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.