Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!
Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi mengumumkan senarai lagu penuh yang bakal dipersembahkan oleh kumpulan Inteam dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026.
Lebih mengujakan, konsert ulang tahun ke-25 ini turut menampilkan barisan artis jemputan yang cukup istimewa merentas generasi, termasuk maestro muzik Datuk M.Nasir, Nazrey Johani, dan Zizi Kirana, sekali gus memberi bayangan malam penuh kejutan, nostalgia dan momen sing-along yang tak mudah dilupakan.
Berdasarkan poster senarai lagu yang dikongsi, peminat bakal dihidangkan dengan deretan karya ikonik yang membina perjalanan Inteam selama lebih dua dekad. Antara lagu yang tersenarai ialah Dia, Rabiatul Adawiyyah, Kasihku Abadi, Siti Khadijah, Impian Kasih, Damba Kasih, Bisikan Nurani, Allahu Rabbi, Dia Muhammad, Surat Cinta, Iman Aman, Sutera Kasih, Tuhan Yang Esa, Nur Kasih, Az-Ziarah, Pemergianmu, Kasih Kekasih, Bebas Palestin, Satukan Kami Di Syurga, Tiada Tarikh Tamat, Kehidupan, Alhamdulillah, Ya Rabbi Ya, Kalimah Cinta, Mulakan Hari Ini, Ratu Syahidah, Perjalanan 2, Puji-Pujian dan Setanggi Syurga dan lain-lain lagi.
Dengan gabungan set list yang sarat emosi dan tetamu jemputan yang pelbagai warna, Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih jelas bukan sekadar sebuah persembahan biasa tetapi sebuah “pertemuan semula” peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi latar doa, semangat, cinta dan perjalanan hidup ramai orang. Titik pertemuan inilah yang akan menyatukan seluruh peminat Inteam di malam konsert tersebut.
Setiap lagu yang akan dipersembahkan bukan hanya lontaran vokal semata-mata, sebaliknya ia dinyanyikan bersama memori kenangan yang akan turut bermain di minda penonton pada malam tersebut. Mungkin akan ada penonton yang terbayang momen sewaktu di zaman universiti, terkenang aktiviti gotong royong asrama di zaman sekolah dan tidak kurang juga memori sesi muhasabah program motivasi yang menggunakan lagu Damba Kasih dan lain-lain.
Kini, persoalannya tinggal satu: lagu mana yang paling anda tunggu untuk dinyanyikan beramai-ramai di Axiata Arena nanti?
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.