Terasa sedikit janggal apabila Rabbani mengumumkan yang mereka tidak lagi membuat persembahan sempena bulan Ramadhan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Ini kerana, sudah hampir 23 tahun Rabbani mengadakan persembahan secara tetap di Hotel Singgahsana setiap kali bulan Ramadhan.
Berikut adalah pengumuman rasmi yang dibuat oleh Rabbani di laman Facebook rasmi mereka:
Assalamualaikum wbt.
Oleh kerana ramai sahabat-sahabat dan mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan Rabbani sepanjang 23 tahun Ramadan di Hotel Singgahsana, ramai yang bertanya masih ada lagi ke (Rabbani ) di sana.
Maka hari ini kami umumkan untuk tahun ini, kami tidak lagi membuat persembahan sempena ramadan di Hotel Singgahsana PJ. Terima Kasih kepada semua staf dan pihak atasan hotel di atas layanan anda dan kerjasama anda selama 23 tahun ini, walaupun tiada ikatan kontrak, namun persahabatan dan silaturrahim antara kita akan terus kekal berpanjangan. – Rabbani.
23 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Keunikan hubungan antara Rabbani dan pihak hotel dilihat akrab hinggakan setiap kali bulan Ramadhan, pasti mereka akan berkolaborasi untuk menjayakan majlis berbuka puasa di hotel berkenaan. Selain juadah yang enak, tidak dapat dinafikan yang Rabbani merupakan antara faktor popular mengapa ramai orang memilih Hotel Singgahsana sebagai destinasi berbuka puasa.
Namun, setiap permulaan pasti menemui pengakhiran. Mungkin sudah tiba masanya untuk Rabbani dan Hotel Singgahsana mencari haluan baru. Dari sudut positif, pengumuman ini mampu memberi peluang kepada hotel lain untuk merebut Rabbani yang saban tahun di’pegang’ oleh Hotel Singgahsana. Rabbani juga mungkin boleh memilih untuk tidak terikat dengan mana-mana hotel dan bebas memenuhi jemputan persembahan sempena Ramadhan di pelbagai destinasi.
Apa pun, kami di Munsyeed pasti merindui suasana berbuka puasa bersama Rabbani di Hotel Singgahsana. Jelas, ada sentimental value yang wujud diantara dua entiti ini sehinggakan berita pengumuman ini sedikit menghibakan kami. Memori bersama Ito Lara, Suffian Amrin, Raihan, Rabbani dan Dj Erwan sewaktu berbuka puasa di Hotel Singgahsana akan menjadi kenangan manis buat kami di Munsyeed.
Selamat maju jaya buat Rabbani dan juga Hotel Singgahsana!
– Munsyeed Dot Com