“Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama…” – ADAM
Kumpulan ADAM, kembali mengukuhkan langkah dalam industri apabila tampil dengan single kedua berjudul “Sudah” – sebuah karya motivasi yang datang tepat pada waktunya buat mereka yang sedang ‘jatuh bangun’ dalam hidup.
Selepas memperkenalkan diri melalui lagu sulung “Percaya” yang diterbitkan pada September 2025, ADAM kini meneruskan momentum dengan mesej yang lebih jelas dan dekat di hati pendengar menerusi lagu Sudah.
Lagu Sudah bukan sebuah karya tangkap muat. Sebaliknya, lagu karya komposer Wasiq Zuhdi ini ingin mengajak pendengarnya untuk ‘move on’ dari segala kesukaran hidup yang berulang. Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama.
“Sudah” – lagu untuk mereka yang sedang diuji
Menerusi “Sudah”, ADAM mengetengahkan tema motivasi diri yang menyeru pendengar agar tidak terus hanyut dalam kesukaran hidup yang berulang. Lagu ini membawa peringatan bahawa di sebalik setiap susah, ada senang yang dijanjikan Tuhan, dan ujian bukan hadir untuk melemahkan, sebaliknya sebagai ruang membina jiwa, menaikkan darjat, serta mematangkan diri.
Dengan nada penceritaan yang jujur serta emosi yang sesuai pada situasi ramai orang, “Sudah” dilihat cukup relevan untuk pendengar pelbagai latar belakang khususnya mereka yang sedang melalui fasa sukar, putus harap, atau rasa seperti hidup asyik mengulang perkara yang sama.
Sudah boleh stream, MV pula di YouTube
Single “Sudah” telah pun tersedia di semua platform penstriman digital bermula 12 Disember 2025. Bagi peminat yang mahu lebih menghayati mesej lagu ini, muzik video rasmi pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi ADAM.
Terus mengangkat mesej positif
Untuk rekod, ADAM dianggotai oleh Amirul Zahid, Danish, Sayyidi Basil dan Muhammad Nun. Kini bernaung di bawah label Soofi Studio, kumpulan ini kekal komited menghasilkan karya yang bukan sahaja menghibur, malah menyuntik inspirasi dan kekuatan seiring identiti mereka yang membawa mesej positif, realistik, dan dekat dengan kehidupan.
Dengan “Sudah”, ADAM seakan menghantar satu isyarat yang mudah tetapi kuat: jangan berhenti di tengah jalan kerana setiap cabaran datang bersama hikmah.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.