“Tak nafi, Fitri Haris antara yang terbaik malam ini…”, Farihin Ulas Penjurian Anugerah Carta 114
Anugerah Carta 114 telah pun melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu. Anugerah yang julung kalinya diadakan ini merupakan satu platform terbaik dalam menilai dan mengangkat karya terbaik bagi lagu nasyid dan ketuhanan.
Mesej Kemanusiaan – Antara Faktor Kemenangan Selimut Kasih
Kemenangan Inteam melalui lagu Selimut Kasih merupakan satu kemenangan yang turut dikongsi oleh semua pejuang dan aktivis kemanusiaan.
Dalam sidang media yang diadakan, Farihin Abdul Fatah selaku ketua juri tidak menafikan mesej nilai kemanusiaan yang disampaikan dalam lagu Selimut Kasih, merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan lagu tersebut.
“Ada faktor itu (mesej kemanusiaan) juga. Kita tahu sentimen masyarakat secara umum (sekarang) (yang cenderung ke arah itu). Bayangkan kalau lagu terbaik itu, hanya (mengenai) perjuangan lokal sahaja, ia akan jadi tidak relevan.”
“Walaupun lagu sedap tapi (kita lihat) sentimen umum yang lebih tertarik kepada isu semasa. Relevan untuk semasa. Lepas itu arrangement, penyampaian vokal (menjadi faktor kemenangan Selimut Kasih),” ulas Farihin.
“Terus terang saya katakan malam ini saya (pada mulanya) terasa muzik terlalu kuat tetapi (rupanya) tidak berapa tepat kerana rupa-rupanya lontaran vokal (artis) yang tidak keluar. Jadi bila dia (Hisyam) menyanyi, kita dengar seketul-seketul. Opening pun kita dengar seketul (jelas).”
“Jadi kita hairan, kenapa yang lain tak macam tu. Berbeza. jadi apa yang berlaku adalah lontaran vokal. Dia (Hisyam) menjelmakan apa yang nak disampaikan, mesej itu (sampai) dengan baik. Jadi, itu yang (membuatkan markah lagu ini) jauh kedepan.”
“Satu lagi pengalaman. Faktor pengalaman itu yang berbeza. Inteam ini rutin persembahan dia mashaAllah, berbeza. Pengalaman antara satu penyanyi dengan penyanyi itu (dapat dilihat) terbukti malam ini.”
“Dari segi pemarkahan. To my surprise, ada jauh juga (pemarkahan). Walaupun kita tahu masing-masing ada tanggungjawab. Peminat yang mengundi itu ada pengaruh ke atas markah.”
“Kebetulan malam ini berlaku beberapa hal yang kita nampak yang mungkin (menjadi faktor), salah satu adalah off pitch pada suara. Semua ini menyumbang kepada keselesaan pendengar. Itu juga penting bagi kita menghargai dan mendengar lagu (yang disampaikan).”
“Tak nafi, Fitri juga antara yang terbaik pada malam ini sebenarnya,” ujar Farihin.
“Inteam memperoleh markah sebanyak 78 peratus sekali gus meletakkannya di tangga paling atas, mengenepikan Fitri Haris dengan beza markah hanya sebanyak 1.67 peratus”.
Bukti Nasyid Masih Relevan
Penerbit, Nuraina Nabeeha dalam pada itu melahirkan kesyukuran apabila program mingguan Carta 114 dan kemuncaknya Anugerah Carta 114 mendapat respon yang mengujakan dari para peminat.
“Alhamdulillah, sambutan pendengar dan peminat sangat menggalakkan. Jika dilihat, artis nasyid ini, mereka masih relevan. Masih ramai yang menanti-nanti mereka di pentas yang besar”.
74 Lagu Dipertanding, 6 Berjaya Ke Peringkat Akhir
Penerbit bersama, Azhary Ahmad pula berkata, “Ada 74 buah lagu yang dipertandingkan untuk musim ini. 74 lagu ini disaring untuk mendapatkan 6 lagu untuk malam ini”.
“Bukan setakat nasyid, artis mainstream juga ada masuk. (Datuk) Jamal Abdillah pernah bagi lagu (pencalonan), Ezad Lazim dan beberapa orang artis lain. Tetapi kita berdasarkan undian. Akhirnya 6 lagu berjaya ke peringkat akhir.”
“Sebenarnya anugerah ini seperti Juara Lagu. Cuma tidak ada semi final. Tetapi insyaAllah kita akan tambah baik.”
Ketika ditanya, adakah fan base Inteam yang kuat, menjadi penyumbang kepada pemarkahan malam ini, beliau tidak menafikan faktor tersebut.
“Kita sentiasa buat promosi supaya minta support dari mereka (artis-artis). Ini adalah program yang sangat bagus untuk nasyid. Inteam (sepanjang) 29 minggu, mereka (menduduki) top 3 sahaja. Itu kita nampak mereka bekerja keras untuk mempromosi lagu mereka untuk dikekalkan (dalam carta).”
26 Tahun Menyanyi Bersama, Tiba-tiba Kena Nyanyi Berseorangan
Hisyam yang hadir pada sidang media tersebut turut ditanya mengenai perasaannya apabila terpaksa menyanyikan lagu Selimut Kasih secara solo tanpa anggota Inteam yang lain.
“Kalau tanya selesa ke tidak, memang tidak selesa sebab kami sudah menyanyi bersama sejak 1998 secara bersama. Bayangkan kalau campur sekarang ini, sudah 26 tahun. 26 tahun menyanyi bersama. Tiba-tiba dalam pertandingan seumpama ini, seorang. Memang tak selesa dan ini kali pertama (perform) seorang selepas 26 tahun.”
#ManaHisyam
Farihin yang duduk di sebelah Hisyam, sempat mencelah, “Mereka (Syah, Rahim dan Amin) kenakan dia. Selalu mereka ada, dia tidak ada. Kenakan secara baik. Bukan secara sengaja. Tetapi dia (Hisyam) boleh buat dengan baik.” ujar Farihin.
Hisyam menambah, “Selalu dalam posting-posting (di media sosial), bila hari kerja, saya tiada (dalam persembahan) sebab saya kerja. Jadi mereka akan buat satu tagline #ManaHisyam. Selalu macam itu. Kali ini saya seorang, mereka pula tidak ada.”
“Memang mencabar sebab lagu yang dinyanyikan empat orang (kini dinyanyikan seorang). Cuma, saya cuba ubah suai sedikit supaya (dapat) mengikut kemampuan saya sendiri.
“Semua arrangement, persiapan sudah dibuat awal oleh semua (anggota). Saya tidak keseorangan. Masih bersama inteam. Cuma di atas pentas itu (sendirian).”
“Walaupun mereka tiada disini, tetapi setiap kali latihan, saya akan record dan hantar dalam group (whatsapp) untuk mereka dengar dan komen. Sebab lagu ini kita sampaikan berempat, setiap orang ada part mereka, tapi kali ini saya seorang. Jadi, saya share untuk dapatkan komen dan menambah baik dari segi vokal, di mana nak buat perubahan dan segalanya.”
Inteam Duta Pertubuhan Peduli Insan
“Lagu ini sebenarnya kerjasama Inteam dengan Pertubuhan Peduli Insan sebab Inteam adalah duta (Peduli Insan). Misinya untuk memberi bantuan kepada pelarian Syria dan yang memerlukan. Lagu ini memang kita buat memandangkan isu ini sedang hangat diceritakan dan kami ini bukan penceramah, kami penyanyi. Jadi, mesej disampaikan melalui nyanyian.
“Alhamdulillah, Syah Inteam ini kelebihan dia memang buat lagu. Fedtri pula, dia bercakap pun sudah macam buat lirik. Jadi, kita tampilkan dua orang ini, jadilah lagu Selimut Kasih.”
Penerbit Jawab Isu Kemenangan Inteam Telah Dirancang Awal?
Menjawab isu kononnya kemenangan Inteam melalui lagu Selimut Kasih telah dirancang awal memandangkan terdapat video ucapan Inteam yag disiarkan sebaik sahaja kemenangan diumumkan, Nuraina bingkas menafikan dakwaan tersebut.
“Kita sentiasa ada plan a dan plan b, back up plan. Ikutkan apa yang ada di LED tu, keenam-enam kita sudah letak (gambar/video). Sebab dari keenam-enam itu, siapa yang menang, kita naikkan sahaja.
“So macam Inteam, kita tahu mereka tidak dapat hadir. Jadi kami ambil inisiatif untuk standby (video) sahaja. Yang lain pun sama. Mana yang tidak dapat hadir, kita standby (video).
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.