Roadshow Anugerah Nasyeed.Com Ke Kedah
Jumaat (23 Mac 2012)
Musafir Bermula
Saya bertolak dari UIA Gombak menuju ke pejabat urusan Nasyeed.Com di Shah Alam dengan niat untuk bermusafir kira-kira jam 7.00 malam. Saya singgah di Stesen Petronas untuk menunaikan Solat Jama’ sebelum memecut laju ke Shah Alam kerana saya sudah lewat! Masakan tidak, pada taklimat lepas, Cik Lyn NC memaklumkan bas akan bergerak tepat jam 8 malam dan pada jam 7.50 malam saya masih di Lebuhraya Persekutuan! Saya menghubungi CEO Nasyeed.Com untuk memaklumkan kelewatan saya. Cik Lyn pun tidak henti-henti menghubungi telefon bimbit saya. Sampai di Nasyeed.Com, Cik Lyn kata, bas akan bertolak lewat sedikit kerana kita menunggu beberapa orang yang masih dalam perjalanan.
Suasana dalam bas. (Ini gambar pada hari Sabtu)
‘Ala-ala Rombongan Sekolah’
Kira-kira jam 10 malam, bas bergerak dari Shah Alam menuju ke Kedah. Doa telah dibaca oleh Amir dari kumpulan Huffaz dan diaminkan oleh semua. (Yang pasti, suara Abg Ito Lara paling kuat mengaminkan doa!).
Suasana di dalam bas sangat meriah! Seakan-akan berada dalam rombongan sekolah pula! Abg Dak Mie, Abg Jef Hazimin dan kawan-kawan berborak mengenai filem 7 Petala Cinta dan beberapa perkara yang tidak saya dengari. Azwan Far East, Shafiq Nur One, Asyraf Nur One, Afnan One Deen dan beberapa orang lagi menyanyi lagu secara acapella dan akustik di tempat duduk belakang sekali.
Ito Lara & Fadzli Far East
Cik Lyn dan beberapa gadis ayu dari Nasyeed.Com pula tidak berhenti mengunyah asam. Yang lain senyap tanpa suara, telahan saya mungkin mereka tidur. Saya? Saya berborak panjang dengan penulis lirik kegemaran saya; Abg Ito Lara! Banyak perkara yang disembangkan. Kadang-kadang, Abg Fadzli Far East turut mencelah dengan loghat Kedahnya. Sedang rancak bersembang, Abg Fadzli menghulurkan sebungkus nasi lemak kepada saya dan sebungkus kuew tiaw goreng kepada Abg Ito. Pucuk dicita, ulam mendatang!
Pertama Kali Jumpa Jef Hazimin
Jef Hazimin – Nama yang acapkali saya dengar dari perbualan beberapa artis nasyid dan penggiat industri nasyid. Walaupun saya sudah ‘Add’ beliau di Facebook, namun saya tidak pernah berjumpa dengan figura bernama Jef Hazaimin ini. Malam itu, ALLAH SWT takdirkan saya bertemu muka dengan insan hebat ini. Kali pertama jumpa, satu perkataan terdetik dalam hati saya – Mudanya! Saya berjumpa dengan Abg Jef apabila saya terdengar Abg Dak Mie menasyidkan lagu Mawlaya yang menjadi salah satu soundtrack dalam filem 7 Petala Cinta. Orangnya memang ramah dan murah dengan senyuman! (Patutlah awet muda).
Minuman Ditaja F&N
Tidak beberapa lama kemudian, bas berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR), ada yang ke tandas untuk memenuhi tuntutan kitaran badan, ada juga yang ke kedai buah-buahan untuk mencari benda yang boleh dikunyah. Apabila semuanya sudah selesai, bas bergerak semula menuju ke destinasi yang dituju. Di dalam bas, kami dibekalkan dengan satu tin air minuman berkarbonat tajaan F&N perisa Oren. Terima kasih F&N yang sudi menaja minuman untuk roadshow Anugerah Nasyeed.Com!
Banglo Besar D’Villa Sebagai Tempat Penginapan
Selang beberapa minit, saya pun tertidur. Apabila sedar, terus sampai ke tempat penginapan kami, sebuah banglo besar yang dijadikan homestay! Badan sudah kepenatan. Semua masuk ke rumah tersebut dan mencari katil untuk merebahkan badan. Saya meluru ke sebuah bilik yang mengadap jalan. Disitu ada katil Queen, penghawa dingin dan beberapa kelengkapan asas dan dekat dengan tandas! hehe. Saya letak barang dan terus tidur. Saya berkongsi bilik dengan seorang rakan dari Pro Media yang bernama Aim.
akan bersambung… -Munsyeed{Dot}Com